Showing posts with label Peserta Peraduan Pengalaman Berpantang. Show all posts
Showing posts with label Peserta Peraduan Pengalaman Berpantang. Show all posts

Saturday, February 27, 2010

Pengalaman Berpantang Selepas Melahirkan Fahry

Peserta ke-2, kategori B- Mommy Lyna


Fahry adalah anak saya yang kedua. Pengalaman berpantang selepas melahirkannya adalah amat unik. Kerana apa? Kerana bayi saya adalah anak istimewa dan tidak cukup bulan pula. Tambahan pula ketika itu saya berjauhan dari keluarga, nun jauh di Sarawak. Jika orang lain berpantang di rumah ibu/mentua, dengan sepenuh perhatian, meraih pengalaman menyusukan dan menjaga bayi yang baru lahir... tapi tidak saya.

Sepanjang masa berpantang, anak saya tidak berada di sini saya. Fahry ditempatkan di dalam inkubator kerana berat badannya yang sangat ringan, hanya 1.2kg semasa dilahirkan. Jadi saya terpaksa berulang-alik ke hospital setiap hari untuk menjenguknya dan memberikan susu kepadanya. Saya juga pernah tinggal di hospital untuk menjaga dia (untuk bayi pramatang, ibu digalakkan room-in atau tinggal bersama).



Jadinya, pantang seperti orang lain tu saya tak lalui. Namun, saya tetap pergi berurut dan menjaga pemakanan. Cuma saya tidak ada mandi daun kayu seperti yang saya alami semasa berpantang anak pertama dulu.

Untuk memudahkan saya, suami telah membelikan Gamogen, pati ikan haruan dan bengkung moden, supaya saya mudah untuk bergerak. Saya juga mengambil vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan saya. Maklum saja, saya masih menyusukan anak sulung saya yang baru berusia 14 bulan ketika itu. Jadi setiap hari rutin saya ialah menguruskan si abang, mengepam susu buat si adik dan ke hospital untuk memberinya susu melalui tiub. Memang mencabar pada mulanya, kerana saya masih takut2, namun bila dah biasa, saya rasa lebih mudah memberinya minum melalui tiub berbanding dengan menggunakan cawan (setelah keluar inkubator) kerana bayi saya tidak suka kepada susu perahan :)

Saya meneruskan hidup seperti biasa, kadangkala memandu untuk menjenguk Fahry di hospital. Namun saya amat berterima kasih kepada suami yang tak putus2 memberi sokongan kepada saya. Setiap hari kami mendoakan keselamatan Fahry, walaupun dirinya tak sempurna anggota (cacatler) tapi bagi saya dialah permata hati kami. Fahry telah memberi kami kegembiraan dan keberkatan.
Akhirnya tempoh berpantang saya habis (walaupun bukan menjalani pantang yang ketat), dan Fahry dibenarnkan pulang sebaik saja saya habis pantang. Maka kami melalui fasa bersama, setelah lebih sebulan berjauhan. Masa itulah pertama kali saya memandikannya, memeluknya ketika tidur, bermain-main dengannya.

Tuesday, February 16, 2010

Nida berpantang ditemani ibu- Peserta pertama kategori B

Gambar anakku Nur Hanisah ketika berusia 10 hari

Peserta pertama kategori B; http://along-nidar.blogspot.com/2010/02/peraduan-pengalaman-berpantang.html

Proses berpantang selepas melahirkan bayi merupakan satu pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan oleh seorang ibu. Sebaik sahaja bayi lahir ke dunia, bermulalah proses berpantang ini.


Aku bernasib baik kerana masih mempunyai ibu di sisi yang menjaga aku ketika berpantang. Sedikit sebanyak ilmu berpantang dapat ku pelajari darinya. Selepas bayiku diazankan dan diiqamatkan, kemudian perlulah ditahnikkan (belah mulut) dahulu.

Aku memulakan proses mengurut pada hari ketiga selepas bersalin kerana menurut ibuku tidak elok seandainya proses mengurut dilakukan awal ini kerana segala urat saraf masih kembang dan badan masih terlalu lemah untuk diurut. Selama tujuh hari aku diurut oleh tukang urut di kampungku.

Dari segi makanan aku tidaklah terlalu berpantang sangat, mungkin kerana ibuku juga begitu. Tetapi ada juga sesetengah makanan yang aku dilarang memakannya selama tempoh berpantang, antaranya ikan yang berbisa (sembilang, pari dan lain-lain), buah-buahan yang sejuk dan tajam (tembikai, nenas dll), makanan yang sudah bermalam, makanan yang terlalu pedas, air minuman hendaklah sentiasa suam, air batu ditegah sama sekali.

Aku wajib meminum air kosong dengan banyak, setiap malam sebelum tidur akan ku isikan 1.0 liter air ke dalam botol dan ku letakkan di meja sisi katil serta ku disiplinkan diri agar sebelum pagi menjelang air tersebut perlulah ku habiskan. Ada pendapat yang mengatakan tidak elok meminum air dengan banyak kerana dikhuatiri rahim akan lambat mengecut, tapi bagi aku air perlu untuk pembentukan susu, menggantikan semula darah yang banyak hilang ketika proses bersalin dan yang paling penting untuk mengelakkan sembelit, dan Alhamdulillah aku merupakan guru Biologi, sekurang-kurangnya ilmu Sains ini dapat ku aplikasikan semasa aku berpantang.

Selepas mandi dengan air suam, bermulalah proses bertungku kerana menurut ibuku ia dapat memecahkan darah-darah yang beku di dalam rahim, dan ia sememangnya benar, setiap kali selepas aku bertungku, aku dapati banyak darah yang akan keluar. Kemudian aku lumurkan param ke seluruh tubuhku.

Untuk bahagian perut, aku lumurkan kapur yang dicampur dengan limau nipis (untuk mengecutkan bahagian perut). Dibahagian dahi pula, aku lumurkan dengan pilis dan ku ikatkan rambut sekuat yang mungkin, ini adalah untuk membuang angin dibahagian kepala. Perkara terakhir yang akan kubuat ialah berbengkung. Aku menggunakan bengkung Jawa, iaitu melilitkan kain yang sepanjang 2.5 meter dari pangkal peha hingga ke bahagian atas perut. Biasanya aku dibantu oleh ibuku semasa dalam proses melilit bengkung Jawa ini. Dalam bab berpantang, aku amat menitik beratkan proses membengkung kerana bagi aku dapat mengekalkan bentuk badan selain membantu proses pengecutan rahim.

Biasanya aku akan memandikan bayi selepas aku menyiapkan diriku. Setelah aku memandikan bayi, aku akan menuam perut bayi dengan daun sirih. Ini dapat membantu mengurangkan angin diperut bayi. Selama dalam proses berpantang juga aku banyak meminum susu (Anmum) dan makan lobak putih untuk memperbanyakkan susu badan.

Selama 44 hari aku tidak lepas dari meminum air akar kayu yang aku beli dari orang kampungku, walaupun rasanya pahit tapi aku rasa bertenaga selepas meminum air ini. Tiga hari pertama selepas aku bersalin, ibuku telah menyiapkan air kunyit yang dicampurkan dengan madu untukku minum kerana menurutnya dalam menyembuhkan luka dalaman. Nasib baik ditambah madu, kalau tidak mustahil dapat ku habiskan air kunyit tersebut.

Aku ini agak aktif orangnya, bila melalui proses berpantang ini, perkara yang aku lemah ialah terpaksa jalan seperti orang Jepun. Bukaan langkah hendaklah kecil, duduk pun tak boleh bersila kena duduk bersimpuh, naik tangga pun perlu perlahan-lahan.

Kebanyakan orang mengamalkan tangas ketika dalam berpantang, tetapi tidak bagiku. Aku lebih menitik beratkan bertungku dan berbengkung. Sehinggakan pada waktu malam juga aku turut berbengkung. Tapi lain orang lain caranya, yang penting pesan ibuku, berpantanglah seboleh yang mungkin kerana ia adalah kunci kebahagiaan suami dan kesihatan diri.

Nota penganjur: Setiap peserta mohon sertakan maklumat berikut,
 
Nama penuh (mengikut kad pengenalan):
Email:
Blog: