Showing posts with label Rawatan bersalin. Show all posts
Showing posts with label Rawatan bersalin. Show all posts

Saturday, May 1, 2010

Khasiat senduduk

Pic: Google

Pokok senduduk, nama botani Melastoma Malabatrhricum. Nama lain dikenali juga sebagai pokok keduduk atau senggani. Ini adalah tumbuhan tempatan yang boleh didapati di hutan.

Khasiat perubatan tradisional

Digunakan pengamal perubatan tradisional untuk mengembalikan kecergasan wanita berpatang atau ibu selepas bersalin. Digunakan untuk air mandian iaitu mandi teresat selepas bersalin.

Daun senduduk bersama daun mengkudu, pandan, limau purut dan akar perut gagak dicampur bersama air panas dan dijadikan mandian herba. Boleh digunakan selama tiga hari berturut-turut atau seminggu.


Tuesday, March 2, 2010

Tuam pasir untuk masalah kembung bayi dalam pantang

Teks: Masayu Ahmad
Foto: Tungku yang sudah dikomersialkan menggunakan bahan-bahan herba. Produk Leesa Formula

Tuam pasir untuk masalah kembung bayi dalam pantang





Salah satu kaedah yang digunakan apabila bayi kembung ialah menggunakan tuam pasir.

Pasir pantai yang bersih dan halus dipanaskan di dalam kuali atau periuk. Pasir sekadar segenggam atau dua genggam.

Kemudian pasir tadi dibalut kemas-kemas dan jadikan bulatan seperti tungku kecil.

Kemudian sesuaikan kadar kepanasan dengan menuam pada lengan atau tangan.

Tuam perlahan-lahan pada bayi yang kembung. Untuk kesan lebih mujarab sapu minyak herba dan tuam perlahan. Bayi akan selesa.

Arwah ibu saya pernah membuat tuam pasir ini semasa saya dalam pantang. Kali pertama saya mendapat petua ini ketika anak yang ke tiga.

Friday, February 26, 2010

Bertangas : rawatan semasa dan selepas bersalin

Oleh: Masayu Ahmad


Bertangas adalah rawatan yang boleh dilakukan selepas mandi air rebusan. Rawatan bertangas boleh dilakukan setiap hari selama 44 hari.

Manfaat bertangas sangat baik agar luka cepat kering dan jahitan cepat sembuh.

Manfaat yang lain, bahagian sulit cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta, mengelakkan keluar tombong (proplase). Berikut adalah ramuan dan penyediaan bertangas.

Ramuan tangas:

• 10 keping asam gelugur

• 3 helai daun sirih

• 2 sudu besar garam kasar

• Segenggam inai

• 2 cm halia

• 3 biji manjakani

Caranya :

Rebus semua bahan bersama air sehingga mendidih. Rebus di dalam periuk tanah dan kemudiannya bertangas selama 20 minit. Untuk hasil yang lebih baik boleh dilakukan dua hingga tiga kali sehari selepas mandi air rebusan selama 44 hari. Air yang sejuk boleh dijadikan bahan pencuci bahagian sulit.

Wanita yang tidak bersalin dan habis berpantang juga boleh melakukan amalan ini untuk penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.

Tuesday, February 2, 2010

Persediaan berpantang

Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://nilamberkat.blogspot.com/


Fizikal

Anda akan mengalami proses akhir ketika kandungan menghampiri tarikh kelahiran. Sangat perlu untuk memastikan pengambilan pemakanan seimbang, berat badan tidak berlebihan dan juga anda kekal aktif bertenaga.

Untuk memudahkan proses bersalin, anda harus banyak bergerak, berjalan, turun naik tangga. Jangan beri alasan malas sekiranya anda mahukan prose bersalin yang lebih mudah. Selebihnya mudah atau tidak bergantung kepada rezeki. Namun anda masih boleh bersedia dengan menikmati hari-hari teakhir kelahiran dengan melakukan regangan, berjalan perlahan-lahan dan sebagainya.

Mental

Persediaan mental dengan membaca surah-surah pilihan, agar anda sentiasa tenang dan menikmati hari-hari kandungan yang semakin membesar.

Biarkan fikiran sentiasa relaks dan ketika kontraksi pertama berlaku, sematkan dalam diri bahawa masanya sudah tiba, anda harus tempuhi dengan tenang.

Jangan terbawa-bawa kisah dan pengalaman yang kurang menyenangkan perasan. Setiap wanita hamil mengalami keadaan yang berbeza.

Peralatan bayi

Buat senarai peralatan bayi, untuk memudahkan anda tahu apa yang sudah ada dan apa yang belum. Simpan dan letak di satu sudut yang memudahkan anda untuk mengemas kini.

Kelengkapan berpantang

Kelengkapan berpantang, termasuklah barut, bengkung, tungku, ubatan atau jamu untuk memulihkan kesihatan dalaman dan luaran. Menyediakan bilik berpantang juga adalah memudahkan anda berehat di bilik khusus tanpa gangguan.

Penjagaan semasa berpantang

Sama ada kelahiran sulung, anak ke dua atau ke tiga, anda perlu membuat persediaan siapa yang akan menjaga anda kelak. Sekiranya berada di rumah mertua, anda boleh selidik lebih awal gaya penjagaan ibu mertua melalui adik beradi, ipar duai atau berbincang sendiri dengan ibu mertua.

Begitu juga sekiranya dijaga suami atau adik beradik, anda boleh berbincang terlebih dahulu apa yang anda mahukan dan juga berdasarkan pengalaman mereka.

Hospital bersalin

Sangat penting menyenaraikan maklumat awal berkenaan lokasi atau tempat bersalin. Senaraikan beberapa lokasi pilihan untuk memudahkan anda ketika berada situasi kecemasan ketika kontraksi atau tanda-tanda bersalin sudah ada.

Informasi wanita hamil dan penjagaan bayi

Maklumat dan info berkaitan kehamilan dan penjagaan bayi boleh didapati melalui buku-buku, artikel di majalah, laman web kehamilan, perkongsian pengalaman dan juga pertanyaan kepada pakar perbidanan. Gunakan masa yang ada untuk meningkatkan informasi anda berkaitan kehamilan dan penjagaan bayi, agar memudahkan anda membuat persediaan dengan lebih sempurna dan teratur

Sunday, January 3, 2010

Bahaya herba tradisi pada ibu

Sumber: Utusan Malaysia


Dr. Azriani Ab.Rahman Pensyarah Perubatan Jabatan Perubatan MasyarakatPusat Pengajian Sains PerubatanUniversiti Sains Malaysia, Kelantan.

ADAKAH anda peminat setia ubatan tradisional? Anda perlu befikir dengan berhati-hati sebelum meneruskan niat untuk mengambil ubatan herba tradisional terutamanya jika anda disahkan berbadan dua.

Ubatan tradisional adalah ubatan yang mengandungi keseluruhan atau sebahagian daripada bahan aktifnya bersumber daripada tumbuhan ubatan (herba). Ia digunakan dengan tujuan untuk menghalang atau merawat penyakit atau juga untuk meningkatkan tahap kesihatan.

Ubatan herba diambil sama ada dalam bentuk asal bahagian tumbuhan tersebut seperti buah, bunga, rizom (ubi) atau dalam bentuk air rebusan seperti rebusan akar, batang atau daun atau juga dalam keadaan yang telah diproses di kilang ubatan sama ada dalam bentuk serbuk, ekstrak air atau ekstrak pelarut kimia yang dikeringkan dan dijadikan kapsul, pil herba atau bentuk cecair.

Kajian yang dijalankan oleh para penyelidik daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (PPSP, USM) menunjukkan bahawa pengambilan ubatan tradisional yang mengandungi tumbuhan herba adalah popular di kalangan wanita hamil di negara ini. Kajian yang dijalankan di sebuah daerah di Kelantan pada 2005 ini menunjukkan 51 peratus daripada 316 wanita yang disoal selidik mengakui mereka mengambil ubatan herba semasa hamil.

Dalam satu kajian berbeza, dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) oleh Puan Law KS dan rakan-rakan antara bulan September dan Disember 2007 menunjukkan 34.3 peratus wanita Melayu yang dimasukkan ke wad antenatal HUSM mengakui mengambil ubatan herba semasa hamil dan 73 peratus daripada mereka mengambilnya semasa bersalin.

Kajian yang dijalankan oleh penulis dan rakan-rakan pada 2005 telah cuba menyelidiki tujuan utama pengambilan ubatan herba tradisional oleh golongan wanita tersebut. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, wanita mengambil ubatan herba tradisional boleh dibahagi kepada dua golongan.

Golongan pertama ialah wanita yang mengambil herba sebelum mereka hamil. Hasil kajian menunjukkan bahawa tujuan golongan ini mengambil ubatan herba adalah untuk menjarakkan kelahiran, mengatasi masalah sakit-sakit badan serta membantu meningkatkan kepuasan hubungan kelamin. Di antara herba yang dilaporkan popular untuk memenuhi keperluan tersebut adalah manjakani, kacip fatimah dan mas cotet.

Walaupun mereka mula mengambil ubatan herba sebelum disahkan hamil lagi, ramai yang dengan tidak sengaja telah meneruskan pengambilan ubat herba tanpa menyedari yang mereka telah hamil disebabkan tidak merancang kehamilan. Apabila disahkan hamil, ada yang segera berhenti daripada mengambil ubatan herba. Namun begitu, ketika mereka membuat keputusan untuk berhenti, usia kehamilan telah mencecah beberapa minggu atau bulan.

Golongan wanita yang kedua adalah wanita yang memang mengetahui bahawa diri mereka hamil dan sengaja mengambil ubatan herba khas untuk kehamilan. Di antara ubatan herba tradisional yang menjadi pilihan golongan ini adalah sanggul fatimah, bunga kembang semangkuk yang direbus dan diminum airnya atau minyak kelapa yang dibacakan doa atau disebut 'minyak selusuh' untuk mempermudahkan proses kelahiran.

Ada juga yang beranggapan ubatan herba dapat meningkatkan tahap kesihatan dan kecerdikan janin serta mengatasi masalah lekat uri (retained placenta). Di samping itu, ada juga segelintir wanita yang mengakui pernah mengambil tumbuhan dikenali sebagai pokok celaka untuk menggugurkan kandungan atau melawaskan haid.
Persoalannya, apakah ada kajian yang telah membuktikan keberkesanan ubatan herba untuk tujuan tersebut?
Kesan

PENGAMBILAN ubat moden dan tradisional perlu dipantau bagi memastikan tidak menjejaskan kesihatan ibu dan juga janin yang dikandung.

Setakat ini tiada lagi kajian yang dijalankan di kalangan wanita hamil di negara kita untuk membuktikan keberkesanan herba tempatan dalam memenuhi keperluan dan hasrat tersebut kerana kajian sebegini agak berisiko.

Selain daripada keberkesanan, persoalan yang jauh lebih penting adalah tahap keselamatan ubatan herba tempatan! Jika anda beranggapan bahawa ubatan herba ini sudah tentu selamat daripada kesan sampingan kerana ia adalah daripada tumbuh-tumbuhan semulajadi, anda tersilap.

Menurut hasil tulisan saudara Husin, A dalam artikelnya bertajuk Adverse effects of herbs and drug-herbal interactions yang diterbitkan di dalam Malaysian Journal of Pharmacy pada 2001, keracunan dan kesan sampingan herba yang pernah dilaporkan kepada Pusat Racun Negara di antara tahun 1995 hingga tahun 2000 meliputi lapan kes pada 1995, tiga kes (1996), lima kes (1997), 11 kes (1998), tujuh kes (1999) dan sembilan kes (sehingga tahun 2000).

Di antara herba terlibat adalah jering, kulat kayu, kecubong, ubi kayu, daun mambu dan 'gel pelangsing'. Kementerian kesihatan Malaysia melaporkan 37 peratus daripada 5,000 pesakit buah pinggang di Malaysia turut dikaitkan dengan penggunaan ubatan tradisional dalam jangka masa panjang.

Walaupun bersumberkan tumbuh-tumbuhan, ubatan herba juga tidak terkecuali daripada kesan yang membahayakan kesihatan kerana beberapa faktor seperti:

tumbuhan itu sendiri mempunyai bahan aktif yang kadang kala boleh memberi kesan toksik atau bahaya kepada ibu mahupun janin. Misalnya, Jus mengkudu dilaporkan mengandungi kandungan garam kalium yang tinggi yang membahayakan sesiapa yang mempunyai masalah buah pinggang. Garam kalium yang tinggi dalam darah juga boleh mengganggu proses denyutan jantung.

ubatan herba itu boleh tercemar dengan kuman atau logam berat seperti plumbum semasa proses pengambilan, penyimpanan atau proses pemprosesan ubat itu sendiri.

Kementerian Kesihatan melaporkan 95 peratus produk ubatan herba tradisional yang tidak berdaftar mengandungi steroids

Interaksi di antara ubatan herba dan ubatan moden jika diambil pada masa yang sama boleh mengganggu proses penyerapan dan perkumuhan ubatan moden. Misalnya, ubatan tradisional yang mengandungi salicylic acid boleh berinteraksi dengan ubat aspirin yang diambil oleh pesakit jantung untuk menghalang pembekuan darah. Ini boleh mengakibatkan risiko perdarahan terutama jika pesakit mengalami luka atau menjalani pembedahan.

Sebenarnya tidak banyak kajian yang telah dilakukan terutamanya keatas herba-herba tempatan untuk menentukan kesannya kepada janin jika diambil semasa mengandung. Tumbuhan herba mengandungi bahan-bahan aktif yang boleh menyeberangi uri (plasenta) dan seterusnya meninggalkan kesan kepada janin.

 Keguguran - Kajian ke atas tikus hamil yang dijalankan oleh Profesor Madya Siti Amrah Sulaiman, pensyarah di PPSP, USM menggunakan herba yang biasa diambil oleh Komuniti Orang Asli di Negeri Sembilan sebagai herba perancang keluarga mendapati herba tersebut boleh menyebabkan keguguran janin kerana bahan aktifnya menyebabkan ketidakseimbangan hormon estrogen dan progestron yang penting dalam mengekalkan kehamilan .

Kecacatan - Ada wanita yang mengambil herba jika terlewat datang haid dengan tujuan untuk menggugurkan kandungan mereka. Ada yang berjaya, iaitu kandungan tersebut gugur. Namun begitu, tidak kurang juga yang gagal - keguguran tidak berlaku. Janin akan terus hidup dalam rahim ibu dengan pelbagai risiko akibat daripada kesan ubatan herba yang diambil tadi. Salah satu daripadanya ialah risiko kecacatan. Sekiranya ubatan herba diambil dalam tempoh awal kehamilan (3 bulan pertama), bayi yang dilahirkan mungkin akan mengalami kecacatan teruk kerana tempoh 3 bulan pertama ini adalah tempoh di mana anggota utama janin terbentuk. Bahan aktif atau toksik daripada sesetengah ubatan herba boleh mengganggu proses pembentukan anggota janin. Hasil penyelidikan yang diketuai oleh Prof Madya Siti Amrah ke atas tikus hamil turut menunjukkan sejenis herba tempatan yang begitu popular digunakan untuk rawatan darah tinggi, kencing manis dan jantung menyebabkan janin tikus cacat dengan dagu bawah yang kecil (micrognathia) dan kecacatan pada tempurung kepala janin tikus.

Bayi lemas - Ada wanita yang mengambil produk herba tempatan untuk mempercepatkan proses kelahiran bayi. Biasanya mereka akan mengambil herba ini selepas usia kehamilan mencecah 6 bulan ke atas kerana percaya herba ini boleh membantu mempercepatkan bukaan pangkal rahim. Setakat ini, tiada lagi kajian ke atas herba tempatan untuk membuktikan fakta tersebut! Namun begitu, kajian di negara lain ke atas produk ubatan herba tempatan mereka menunjukkan tumbuhan yang diambil dan dipercayai boleh mempercepatkan proses kelahiran ini memang terbukti mengandungi bahan aktif yang meningkatkan pengecutan rahim yang seterusnya membantu bukaan pangkal rahim. Bagaimanapun, pengambilan herba secara berlebihan berisiko menyebabkan peningkatan pengecutan rahim yang berlebihan dan boleh menyebabkan janin lemas kerana kekurangan oksigen. Jika pengecutan rahim yang berlebihan ini berlaku sebelum kandungan cukup matang, kelahiran 'tidak cukup bulan' boleh berlaku yang akan menimbulkan banyak masalah kepada bayi.

Kematian janin - Mengikut kajian oleh penulis sendiri dan rakan-rakan di sebuah daerah di Kelantan, pengambilan ubatan herba dalam tempoh 3 bulan pertama kehamilan menunjukkan ada kaitan dengan kadar kematian bayi semasa di dalam kandungan atau dalam tempoh 6 hari kelahiran (kematian awal bayi - early neonatal death). Namun begitu, kajian kami turut mendapati pengambilan herba seperti 'minyak kelapa' yang lebih dikenali sebagai 'selusuh' oleh ibu hamil dalam tempoh 3 bulan terakhir kehamilan (trimester ketiga) menunjukkan kaitan pengurangan kadar risiko kematian awal bayi. Walaubagaimanapun kedua-dua penemuan di atas memerlukan kajian lanjutan untuk menentukan kandungan sebenar herba tersebut dan memastikan kesannya ke atas janin.

Waspada
Memastikan sesuatu ubatan tradisional adalah benar-benar selamat sebelum mengambilnya adalah penting kerana kebanyakan ubatan tradisional boleh dibeli di kedai, farmasi atau dipesan daripada bidan kampung atau dibuat sendiri tanpa memerlukan preskripsi daripada doktor. Sebelum membeli atau mengambil sebarang Ubatan Tradisional, semak maklumat berikut:

perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia

maklumat tentang kesan sampingan

maklumat tentang kesan kepada janin

 boleh atau tidak boleh diambil oleh ibu hamil

Langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian kesihatan untuk memastikan ubatan herba selamat kepada pengguna meliputi:

Pendaftaran ubat-ubatan - Di bawah peraturan Kawalan dadah & kosmetik (Control of drugs and cosmetics regulation), sebelum boleh didaftarkan, kementerian telah menetapkan kriteria bahawa produk hendaklah telah diuji dan dipastikan selamat daripada pencemaran kuman, logam berat dan mempunyai label. Pendaftaran adalah penting kerana jika berlaku sebarang kesan sampingan, mudah bagi pihak kementerian untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap produk dan juga pengeluar produk tersebut.

Pemantauan - Bahagian penguatkuasa kawalan dadah (Drug Control Authority) adalah badan yang bertanggungjawab memantau keselamatan ubatan moden (farmaseutikal) atau pun ubatan tradisional. Anda hendaklah memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang kesan sampingan ubat-ubatan jika berlaku. Maklumkan kepada Doktor jika anda mengalami sebarang kesan sampingan daripada Ubatan Tradisional. Doktor akan melakukan pemeriksaan dan membuat pengesahan mengenai kemungkinan kesan sampingan tersebut. Doktor juga akan membuat laporan kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dengan mengisi borang khas yang terdapat di mana-mana hospital atau klinik kesihatan.

Kesimpulannya, keselamatan ubatan herba tempatan masih lagi menjadi tanda tanya kerana hanya sedikit kajian yang telah dijalankan untuk menentukan sama ada ubatan herba tempatan selamat kepada janin. Kajian yang sedia ada, walaupun dijalankan ke atas tikus, telah menunjukkan risiko kecacatan kepada janin. Oleh itu, berhati-hatilah dan ikutilah nasihat berikut:

 seboleh-bolehnya, elakkan mengambil ubatan herba semasa hamil

jika anda masih hendak mengambilnya, pastikan anda mengambil produk yang diiktiraf oleh kementerian kesihatan, ada maklumat yang sahih tentang kesan kepada kehamilan

jika anda mengambilnya dalam keadaan anda tidak hamil, pastikan anda betul-betul merancang kehamilan anda supaya dapat berhenti mengambil sebarang ubat sebelum anda hamil.

Berbincang dan dapatkan nasihat doktor sebelum anda mengambil sebarang Ubatan Tradisional semasa hamil

Penulis ingin merakamkan penghargaan kepada Prof Madya Siti Amrah Sulaiman, pensyarah di Jabatan Farmakologi, PPSP, USM.

Arkib:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0103&pub=utusan_malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm&arc=hive

Tuesday, December 29, 2009

Khasiat herba untuk wanita berpantang



Ulaman Kunyit Muda

Kunyit muda boleh dihiris halus-halus dan dijadikan ulam. Dimakan bersama hidangan nasi panas. Kunyit muda sangat bermanfaat untuk kecut peranakan bagi wanita yang sedang dalam proses berpantang. Begitu juga lada hitam ditumbuh halus, boleh ditabur di atas nasi panas, atau dijadikan bahan perapan untuk ikan. Kemudian ikan dibakar bersama halia.

Minuman Halia Muda

Halia sangat baik untuk mengeluarkan angin badan dan juga untuk memanaskan badan. Boleh dijadikan ulam dan juga minuman. Ambil halia muda dan direbus airnya. Kemudian diminum dua kali sehari atau sekali sehari, setiap hari semasa berpantang. Antara pilihan lain adalah, jenis halia madu yang mudah disediakan. Ianya sudah banyak pilihan di pasaran. Hanya masukkan dalam satu sudu dalam air panas dan dijadikan minuman dalam pantang. Boleh juga terus diamalkan selepas pantang.

Wednesday, December 23, 2009

Menu dalam pantang

Teks: Masayu Ahmad



Selalunya apabila berpantang, kerapkali wanita yang bersalin didedahkan dengan banyak pantang larang mengenai makanan yang sesuai. Kurangnya pendedahan menyebabkan ramai yang kekurangan zat dan tenaga semasa menjalani pantang.

Apa yang sepatutnya adalah masih boleh mengambil makanan yang seimbang namun jenis sumber yang diambil perlu lebih jelas kegunaan manfaatnya.

Sumber protein

Sumber protein yang baik boleh diambil daripada sumber ikan. Ini membantu anda mendapat zat yang cukup. Manakal kaedah penyediaan boleh dipelbagai sama ada rebus, memanggan atau kukuh. Pilih kaedah mengikut citaras atau pelbagaikan menu setiap hari. Barulah anda tidak jemu dan masih menikmati hidangan walaupun dalam pantang

Sumber serat

Kebiasaannya ada dua kategori iaitu sayur sejuk dan panas. Kebanyakan sayur tikak digalakkan pengambilannya kerana boleh menyebabkan angina masuk atau menyebabkan bentan.

Sumber bahan terbaik serat boleh diambil dari buah tin, kurma dan kismi dan spirulina. Ia berupaya membantu pelawasan. Manakala madu juga sangat baik untuk memansakan badan dan memberi sumber tenaga dan kalori.



Herba untuk mengecutkan peranakan

Masyarakat Melayu sememangnya mempunyai kaedah tersendiri dalam proses tempoh berpantang, namun dengan kemajuan gaya hidup, ada pantang yang masih boleh dipraktikkan dan ada yang kurang sesuai.

Lada hitam, halia muda, kunyit muda adalah contoh herba yang boleh dijadikan ulaman yang dimakan bersama nasi panas. Selain membantu memanaskan badan, memecahkan lemak ia juga berupaya merawat luka dan mengecutkan perananakan.

Monday, December 7, 2009

Home Nursing Service

Sumber; http://azzahrah.my/my/pakej-a-promosi/26-home-nursing-service.html

Az-Zahrah Home Nursing Service merupakan perkhidmatan terkini yang menawarkan khidmat rawatan susulan di rumah. Perkhidmatan ini merupakan pilihan yang lebih murah untuk merawat pesakit yang memerlukan penjagaan jangkamasa yang panjang.

Menawarkan khidmat:

Pemeriksaan selepas bersalin

Pemeriksaan kesihatan (v sign)

Penjagaan bayi dan penyusuan

Penjagaan selepaspembedahan

Penjagaan lanjutan kes perubatan

Urut tradisional selepas bersalin

Yang paling utama orang yang anda sayangi berada disisi anda sepanjang tempoh rawatan.

SYARAT PENYERTAAN

Dirujuk oleh pakar perubatan, pakar bedah, pakar perbidanan dan sakit puan dan lain-lain pakar yang merujuk untuk rawatan susulan di rumah.
Pesakit yang bermasalah untuk datang ke hospital dari segi kos rawatan, pengangkutan, penjagaan, masa dan beberapa hal lain.

JENIS RAWATAN / PENJAGAAN

Kes Perubatan, Pembedahan dan Kecederaan
Pengawasan tekanan darah, pengiraan nadi pernafasan dan suhu badan
Penjagaan usus besar dan penukaran beg air kencing
Penggunaan tiub (gastro feeding)
Penjagaan luka (dressing)
Pemberian ubat-ubatan dan suntikan
Program bimbingan Pelajar Kesihatan

Kos rawatan:

Termasuk kos penjagaan / rawatan, pengangkutan dan peralatan dari RM50.00++ setiap lawatan

Caj tambahan sebanyak RM0.60 setiap KM dikenakan jika jarak dari AZIM melebihi 10km
Penjagaan Selepas Bersalin (Postnatal care)
Pemeriksaan tekanan darah dan vital sign
Penjagaan bayi, memandikan bayi dan rawatan tali pusat bayi
Pemeriksaan dan penjagaan rawatan selepas pembedahan termasuk jahitan, luka serta penjagaan payudara
Program bimbingan Pelajar Kesihatan

Kos rawatan:

Pakej 3 hari RM135.00 setiap lawatan
Pakej 5 hari RM205.00 setiap lawatan
Caj tambahan sebanyak RM0.60 setiap KM dikenakan jika jarak dari AZIM melebihi 10km
Khidmat Penjagaan Ibu Selepas Bersalin
Penjagaan ibu selepas bersalin amat penting demi kesihatan jangkamasa panjang ibu dan menjamin suami bertambah sayang.
Rawatan termasuk mandian serum semulajadi, urutan regangan, bertungku, barut dan bengkung, berbedak, berpilis, sapuan minyak dll.

Pakej-pakej:
Pakej CEMPAKA - 3 hari RM180.00
Pakej DAHLIA - 3 hari RM300.00
Pakej KENANGA - 3 hari RM400.00
Pakej MELOR - 10 hari RM1,000.00
Pakej MAWAR - 40 hari RM3,800.00

Friday, December 4, 2009

Perlu mandi wajib selepas bersalin

Sumber:http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/FikrahDrSalam/20090814085720/Article/index_html

SOALAN

SAYA ingin tahu mengenai mandi wajib selepas bersalin. Selepas berapa hari bersalin, bolehkah saya mandi wajib atau menunggu sehingga habis pantang?

Seperkara lagi, jika suami ke luar kawasan hingga berbulan-bulan, berdosakah seorang isteri melakukan onani untuk menghilangkan stres daripada melakukan zina dengan orang lain?

KELIRU,
Sabah.

JAWAPAN

SEBABb mandi wajib yang membabitkan wanita sahaja ialah keluar haid, kerana bersalin (wiladah) dan keluar darah nifas (Haji Mohamed bin Jusoh 1990: 26).

Mandi wajib kerana keluar haid dan keluar darah nifas disepakati semua. Syaratnya ialah putus atau kering darah haid atau nifas.

Berkenaan bersalin, mazhab Maliki, Hanafi dan Shafie berpendapat wajib mandi wajib apabila melahirkan anak.

Mazhab Hanbali berpendapat tidak wajib apabila tidak keluar darah. Dengan itu anda boleh terus mandi wajib selepas bersalin kerana melahirkan anak.

Sekiranya ada darah nifas, anda sekali lagi mandi wajib apabila kering darah nifas atau habis pantang.

Mengenai onani, kebanyakan ulama menyatakan ia haram dan berdosa. Ini berdasarkan ayat al-Quran berkenaan sifat seorang mukmin yang berjaya, antaranya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” (al-Mukminun (23): 5-7).

Bagaimanapun menurut pendapat mazhab Hanbali, onani dibenarkan dalam dua keadaan iaitu takut melakukan zina dan ketiadaan cara untuk berkahwin, contohnya miskin dan sebagainya. Hanya keadaan seperti ini onani dibenarkan terutama apabila syahwat memuncak yang mengarah kepada zina (Qaradawi 1995: 170-71).

Jalan terbaik dalam menangani masalah ini ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah terutama amalan solat berjemaah dan berpuasa sunat. Puasa dapat mendidik diri supaya mengawal nafsu, disiplin diri dan mengawal maruah diri.

Rasulullah s.a.w pernah menyarankan kalangan pemuda supaya berkahwin agar dapat menjaga maruah diri sekiranya berkemampuan.

Sekiranya tidak mampu, mereka digalakkan berpuasa. Puasa dapat mengawal diri daripada terjerumus dalam perkara maksiat.