Tuesday, December 29, 2009

Khasiat herba untuk wanita berpantang



Ulaman Kunyit Muda

Kunyit muda boleh dihiris halus-halus dan dijadikan ulam. Dimakan bersama hidangan nasi panas. Kunyit muda sangat bermanfaat untuk kecut peranakan bagi wanita yang sedang dalam proses berpantang. Begitu juga lada hitam ditumbuh halus, boleh ditabur di atas nasi panas, atau dijadikan bahan perapan untuk ikan. Kemudian ikan dibakar bersama halia.

Minuman Halia Muda

Halia sangat baik untuk mengeluarkan angin badan dan juga untuk memanaskan badan. Boleh dijadikan ulam dan juga minuman. Ambil halia muda dan direbus airnya. Kemudian diminum dua kali sehari atau sekali sehari, setiap hari semasa berpantang. Antara pilihan lain adalah, jenis halia madu yang mudah disediakan. Ianya sudah banyak pilihan di pasaran. Hanya masukkan dalam satu sudu dalam air panas dan dijadikan minuman dalam pantang. Boleh juga terus diamalkan selepas pantang.

Wednesday, December 23, 2009

Menu dalam pantang

Teks: Masayu Ahmad



Selalunya apabila berpantang, kerapkali wanita yang bersalin didedahkan dengan banyak pantang larang mengenai makanan yang sesuai. Kurangnya pendedahan menyebabkan ramai yang kekurangan zat dan tenaga semasa menjalani pantang.

Apa yang sepatutnya adalah masih boleh mengambil makanan yang seimbang namun jenis sumber yang diambil perlu lebih jelas kegunaan manfaatnya.

Sumber protein

Sumber protein yang baik boleh diambil daripada sumber ikan. Ini membantu anda mendapat zat yang cukup. Manakal kaedah penyediaan boleh dipelbagai sama ada rebus, memanggan atau kukuh. Pilih kaedah mengikut citaras atau pelbagaikan menu setiap hari. Barulah anda tidak jemu dan masih menikmati hidangan walaupun dalam pantang

Sumber serat

Kebiasaannya ada dua kategori iaitu sayur sejuk dan panas. Kebanyakan sayur tikak digalakkan pengambilannya kerana boleh menyebabkan angina masuk atau menyebabkan bentan.

Sumber bahan terbaik serat boleh diambil dari buah tin, kurma dan kismi dan spirulina. Ia berupaya membantu pelawasan. Manakala madu juga sangat baik untuk memansakan badan dan memberi sumber tenaga dan kalori.



Herba untuk mengecutkan peranakan

Masyarakat Melayu sememangnya mempunyai kaedah tersendiri dalam proses tempoh berpantang, namun dengan kemajuan gaya hidup, ada pantang yang masih boleh dipraktikkan dan ada yang kurang sesuai.

Lada hitam, halia muda, kunyit muda adalah contoh herba yang boleh dijadikan ulaman yang dimakan bersama nasi panas. Selain membantu memanaskan badan, memecahkan lemak ia juga berupaya merawat luka dan mengecutkan perananakan.

Monday, December 21, 2009

Herba dan aromaterapi bangkitkan kesegaran minda & tenaga

Teks: Masayu Ahmad

Selalunya wanita semasa menjalani tempoh berpantang banyak kaedah yang digunakan untuk memulihkan dalaman dan luaran. Luka dalaman diubati dengan mengambil ubatan kimia mahupun jenis herba seperti akar kayu, spirulina dan sebagainya.

Jarang sekali atau mungkin kurang pendedahan wanita cuba mengambil inisiatif untuk memberi ruang yang lebih relaks dan mampu membantu kesegaran minda dan tubuh badan. Beberapa tips berikut mungkin boleh membantu;


Mandian herba

Campuran daun serai wangi dan daun pandan sangat membantu untuk memberi bauan yang harum dan wangi. Kesegaran mula terasa apabila air panas atau suam bersama campuran dua daun herba tersebut direbus terlebih dahulu. Kemudian dicampurkan bersama dengan air mandian.

Apabila bangun pagi dan terus mandi, ianya memang menyegarkan badan. Sesetengah wanita hanya melakukan selama tiga hari atau seminggu. Namun bagi memberikan kesegaran berterusan boleh dilakukan sepanjang masa tempoh berpantang iaitu 44 hari atau 100 hari. Bahan tersebut bukan sahaja mudah tetapi murah. Amalkan mandiannya selepas habis berpantang, boleh juga dilakukan selang seminggu atau sekali sebulan. Ianya bergantung pada diri dan usaha anda sendiri.

Aromaterapi


http://www.candlebay.com/CandlePics/Med/596.jpg

Selain mandian herba, bauan aromaterapi juga sangat membantu untuk memulihkan rasa penat yang anda alami. Wanita mahupun lelaki, sememangnya memerlukan rawatan mudah dan murah yang hanya boleh dilakukan di rumah.


Minyak aromaterapi yang hanya berharga RM5 dan juga beka pembakar tanah liat (seperti dalam gambar) juga berharga RM5. Anda hanya perlu menitiskan beberapa titis sahaja minyak aromaterapi dan campur sedikit air. Apabila kepanasan mula mereseap, bauan tersebut akan mula berserakan di dalam ruang atau bilik.

Kaedah ini boleh digunakan oleh wanita dalam pantang dan juga boleh diletakkan di bilik utama bilik tidur. Pastinya tidur anda nyenyak dengan bauan harum yang menyegarkan minda.

Thursday, December 17, 2009

Azam gaya hidup sihat sempena tahun baru

Teks: Masayu Ahmad



Mengamalkan pengambilanan makanan seimbang


Ambillah semua jenis makanan berasaskan piramid makanan Malaysia. Lelaki dan wanita tidak sama keperluan kalori. Ambil makanan dalam semua jenis sumber berdasarkan keperluan kalori harian.

Ambil protin dan karbohidrat untuk keperluan tenaga. Vitamen dan mineral untuk keperluan dan manfaat tubuh. Lebihkan makanan berserat, ulaman yang kaya dengan fiber. Pilih cara memasak mengukus, memanggang dan merebus. Kurangkan menggoreng, bersantan, berminyak dan berlemak. Elakkan makanan segera, produk olahan dan minuman berkarbonat.

Bersenam secara konsisten

Jika di alam persekolahan dan ketika usia remaja, ramai di kalangan kita mengeluarkan peluh dengan pelbagai aktiviti mengeluarkan peluh. Mulakan dengan aktiviti yang anda gemari. Bermain badminton, bola sepak, berlari dan aerobik adalah contoh sukan yang boleh dilakukan secara berami-ramai. Aktiviti ini membuatkan anda tidak cepat bosan dan menjadikan rutin pada waktu petang yang menyeronokkan.
Mula letakkan salah satu acara sukan kegemaran yang boleh anda lakukan tiga kali seminggu dan sekurang-kurangnya 45 minit setiap sesi. Lakukan dengan penuh minat dan untuk mendapatkan tubuh yang cergas dan sihat.

Jauhi stres

Tidak merokok adalah pilihan yang bijak untuk paru-paru yang sihat. Usahakan untuk relaks dan mendapat rehat yang cukup. Sentiasa mengutamakan keluarga dan beriadah bersama.

Dapatkan nasihat pakar

Berjumlah doktor atau pakar pemakanan untuk mengetahui status kesihatan anda. Dengan pandangan pakar mula merancang pelan pemakanan secara sihat dan juga aktiviti senaman yang sesuai dengan minat anda.

Tuesday, December 15, 2009

Santai dan relaks di SPA

Teks: Masayu Ahmad



Kepenatan bekerja, mengasah minda membuatkan anda letih dan lesu. Cari kaedah yang sesuai untuk kembalikan kecergasan diri. Spa adalah pilihan destinasi rawat dan rehat. Cari kelainan untuk mendapatkan rehat dan juga servis badan.

Untuk kekal cergas dalam gaya hidup sibuk, anda boleh memperuntukkan sedikit bajet untuk memulihkan tenaga badan. Tidak perlu terlalu mahal, carilah rawatan yang sesuai dengan bajet dan kocek.

Refleksologi, bekam dan urutan tradisional salah satu rawatan yang cukup mengujakan sekiranya sudah lama tidak dilakukan. Membuang toksin yang berkumpul akibat pemakanan tidak seimbang dan stress membuatkan anda rasa sakit-sakit badan, sukar tidur, daya tumpuan berkurang.

Carilah masa yang sesuai hujung minggu ataupun selepas pulang dari kerja. Sayangilah diri anda sendiri. Masih jauh perjalanan yang akan dilalui. Warnai kehidupan seadanya

Rawatan badan

Setiap rawatan mempunyai ciri-ciri keistimewaan dan kelainan teknik rawatan. Rawatan badan adalah antara paling digemari. Memberi tumpuan kepada masalah utama dengan memilih rawatan yang bersesuaian. Masalah perut mengeleber, tona kulit tidak sekata, badan berbau dan mengembalikan keanjalan kulit.

Rawatan boleh dilakukan dengan memilih rawatan berasingan atau melalui cara gabungan. Bagi kulit yang tidak cantik dan kusam, anda boleh melakukan sauna terlebih dahulu untuk melancarkan perjalanan darah, membuang toksin dan memudahkan pembersihan kulit, disambung pula dengan rawatan skrub badan. Memilih skrub herba yang sejuk dan meresap ke dalam liang-liang kulit. Ini memudahkan untuk menanggalkan daki-daki kotor untuk memberi kesegaran dan kelembutan pada kulit. Anda juga boleh memilih untuk mandian susu, bagi memberi impak kecerahan pada kulit dan kesegaran pada kulit.

Lulur rempah

Disapu pada seluruh badan bertindak untuk membuang daki kotor dan membersihkan badan. Biasanya selepas bersauna, lulur yang dicampur dengan air dilumurkan. Urutan yang diselang seli menggosok pada bahagian yang bermasalah. Lulur akan yang melekat akan luruh semasa aktiviti menyental dilakukan. Sesetengah lulur yang dicampur mempunyai kandungan herba dan terasa dingin dan sejuk. Terasa kulit tubuh nyaman apabila ramuan meresap dalam pori-pori kulit

Sauna

Sauna boleh dijadikan gaya hidup sihat bagi mereka yang bosan dengan aktiviti senaman yang lain. Boleh diubah dengan di selang seli senaman dengan menggantikan sauna, agar tubuh kembali bertenaga. Sebelum dan selepas bersauna, pastikan anda minum air secukupnya. Sauna tidak digalakkan kepada ibu hamil dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan. Setiap orang tidak sama, tempoh masa ketika bersauna, seeloknya sekiranya anda tidak tahan dengan wap panas, boleh berehat seketika dengan berbaring selama 10 minit, kemudian menyambung kembali.

Ketika bersauna, wap panas yang terkumpul akan meransang liang-liang peluh terbuka. Dalam keadaan kepanasan yang dikawal liang-liang roma yang terbuka mengeluarkan toksin melalui peluh yang membawa bersama kotoran dan toksin dari dalam badan. Bersauna berupaya merasang pelancaran aliran darah, memecah lemak, memberi kesan tidur lena, kulit yang lebih sihat dan berseri.

Monday, December 14, 2009

Adakah Boleh Doktor Merawat Pesakit Berlainan Jantina?




Sumber: http://www.faridrashidi.com/2009/12/11/adakah-boleh-doktor-merawat-pesakit-berlainan-jantina/#more-1016

“Siapakah yang bersalah, doktor atau pesakit jika ternampak aurat?” Tanya seseorang.

“Bagaimana hukumnya?”

Saya percaya, ramai di kalangan kita masih samar-samar mengenai hukum berkaitan dengannya. Tambahan pula perkara ini seolah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat sehinggakan perkara sebenar tidak diaplikasikan sebaik mungkin. Di sini kita bukan mahu mencari salah siapa samaada pesakit ataupun doktor, akan tetapi mahu mengambil jalan penyelesaian agar dapat diselesaikan semaksimum mungkin.

BOLEHKAH DOKTOR LELAKI MENGUBATI PESAKIT WANITA ATAUPUN SEBALIKNYA?

Memahami masalah ini pada asasnya perbuatan melihat aurat wanita adalah ditegah sama sekali. Islam mengharamkan lelaki melihat aurat wanita, begitu juga wanita melihat aurat lelaki. Namun dalam masalah mengubati pesakit berlainan jantina diharus bersyarat.

Majma’ al-Fiqhi al-Masihi di bawah Rabitah al-A’lami al-Islami di dalam seminarnya yang ke-14 bertempat di Mekah bertarikh 20 Sya’ban 1415 Hijrah bersamaan 21 Januari 1995M telah mengeluarkan resolusinya seperti berikut:

1. Syariat pada asalnya mengharamkan perempuan mendedahkan aurat kepada lelaki dan mengharamkan lelaki mendedahkan aurat kepada perempuan. Begitu juga perempuan diharamkan mendedahkan aurat sesama perempuan atau lelaki sesama lelaki.

2. Pihak Majma’ sekali lagi menegaskan di dalam resolusinya yang bernombor 85/12/85 di dalam persidangan yang bermula pada 1-7 Januari 1414H bahawa: “Asalnya apabila kedapatan doktor perempuan Islam, dialah yang wajib merawat pesakit wanita. Jika doktor Islam tidak ada, maka mestilah doktor wanita bukan Islam. Apabila doktor wanita bukan Islam tidak ada, maka dibolehkan doktor lelaki Islam.

Apabila ketiadaan doktor lelaki Islam, barulah dibolehkan doktor lelaki bukan Islam merawat pesakit wanita Islam. Ianya mesti disyaratkan melihat bahagian badan perempuan yang diperlukan sahaja bagi menentukan jenis penyakit serta merawatnya, dan tidak boleh melampaui batas keperluan. Hendaklah menutup anggota badan sekadar yang terdaya. Apabila seseorang doktor lelaki merawat pesakit perempuan, maka pesakit perempuan hendaklah ditemani mahram atau suami atau perempuan lain yang boleh dipercayai, dibimbangi berlakunya khalwat.”

Manakala di dalam kita Fiqh as-Sadah as-Syafie’yah oleh Doktor Khalifah Abdul Basit Shahin menyebut bahawa melihat aurat berlainan jantina tanpa sebab adalah haram. Ini berdasarkan dalil al-Quran bermaksud:

“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”
Begitu juga Allah SWT mengharamkan ke atas wanita melihat aurat orang lain:

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat.”
Pengarang juga membahagikan sebab yang diharuskan melihat aurat berlainan jantina kepada tiga bahagian dan ini termasuklah mengenai rawatan oleh para doktor.

Justeru, secara kesimpulannya prioriti bagi merawat pesakit menurut syariat Islam adalah sebagaimana berikut:

1.Doktor wanita Islam
2.Doktor wanita bukan Islam
3.Doktor lelaki Islam
4.Doktor lelaki bukan Islam

DOKTOR YANG MENGAMBIL KESEMPATAN

Dewasa ini kedapatan banyak kes melibatkan doktor ke atas pesakit, ini termasuklah kes cabul, rogol ataupun perzinaan. Inilah natijahnya jika tidak mengguna pakai aturan yang ditetapkan oleh syariat Islam. Doktor-doktor keluaran sistem barat tidak langsung menitikberatkan soal akhlak dan syariat ketika mengubati pesakit berlawanan jantina. Malah doktor berhidung belang seperti ini sanggup mengambil kesempatan dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Pada asalnya tugas sebagai doktor adalah suatu profesyen yang baik dan mulia kerana membantu manusia dari kecelakaan. Namun ianya menjadi haram kerana salahguna tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Sudah tentu ianya mencalarkan kredibiliti sebagai seorang doktor profesional.

Saya yakin, mengambil alasan darurat (sedangkan masih ada jalan penyelesaian) demi memuaskan nafsu syahwat itu bukan etika seorang doktor muslim dan tidak termasuk silibus yang pernah dipelajari bertahun-tahun!

PESAKIT YANG TIDAK PEKA

Masalah ini juga pada asasnya terletak kepada pendirian pesakit itu sendiri. Dalam hal ini, saya melihat ramai di kalangan kita mengambil jalan mudah dan langsung tidak menghiraukan soal penjagaan syariat ketika menerima rawatan. Masakan tidak, terkadang masih wujud klinik yang mempunyai doktor wanita Islam tetapi mereka lebih gemar memilih untuk menerima rawatan dari doktor lelaki malah lebih dahsyat apabila lelaki itu bukan beragama Islam.

Jika sakit itu melibatkan batuk demam mungkin tidak terlalu bermasalah, tetapi jika sakit itu melibatkan aurat mughallazah (aurat berat seperti tubuh badan wanita dan alat sulit) tidakkah ianya sesuatu yang mengundang risiko? Tidak tercalarkah maruah?

Tambahan pula perkara ini melibatkan kesan psikologi pesakit, terutamanya pesakit wanita jika ianya melibatkan aurat sulit. Sudah tentu timbul pelbagai perasaan kelak jika tidak dibendung segera.

Pekalah dengan keadaan semasa, usahlah terlalu mengambil ringan dan memandang enteng tentang perkara ini. Berhati-hatilah!

Mencegah itu bukankah lebih baik dari mengubati?

JADILAH DOKTOR YANG ISLAMIK

Suka saya untuk mengutip kata-kata nasihat beberapa orang doktor buat tatapan pembaca di blog ini.

Kata Dr.Hamdi Mas’ud dalam kitabnya Daur at-Tobib al-Muslim fi nasyri Ta’alim al-Islam bermaksud:

“Adapun bagaimanakah cara untuk seseorang doktor itu membawa pesakitnya ke jalan menuju Allah ketika melaksanakan tugasan dirinya.. hendaklah berusaha dalam kadar waktu yang mengizinkan untuk memasukkan ke dalam benak fikiran dan hati pesakit akan kefahaman Islam yang sebenar.

Bertitik-tolak dari kefahaman Islam yang sebenar inilah, seseorang doktor itu mampu mendekatkan pesakitnya akan hakikat Tauhid dengan menyatakan bahawa segala perkara yang terjadi adalah di bawah kekuasaan Allah.”
Renungilah pula kata-kata dari Dr. Nada Abd Azez Mohamed al-Yusfi, dalam kitabnya Ila at-Tobib wa Tolib at-Tib Kaifa Takhdimu al-Islam:

“Sesengguhnya doktor yang hidupnya adalah untuk dirinya sendiri tanpa memikirkan orang lain di sekelilingnya dan tidak meletakkan di hadapannya tujuan dakwah yang menggunung, juga tidak melapangkan masanya sejam sahaja dalam seminggu untuk mempelajari ilmu agama dan menghafaz apa yang patut dari al-Quran, juga tidak memikirkan apa yang perlu dibuat untuk Islam terhadap ilmu perubatan yang dianugerahkan kepadanya, maka keadaannya kadang-kadang banyak rehat, hidup matinya dalam keadaan jiwanya kerdil.

Adapun doktor yang berjiwa besar sanggup memikul tugasan yang penat ini, tidak mementingkan urusan tidurnya, waktu rehatnya, berada di atas tilam empuk dan kehidupan yang senang-lenang disamping harta benda yang memuaskan.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberitahu keadaan sepatutnya dan bersabda kepada Ummul Mukminin Saidatina Khadijah: Telah berlalu masa untuk tidur wahai khadijah. Maka kami ingin menyatakan di sini: Telah berlalu masa untuk kamu tidur dan pejam lelap wahai penuntut-penuntut bidang perubatan!”

Sunday, December 13, 2009

Etika pengusaha produk kecantikan dan kesihatan



Teks: Masayu Ahmad

Sekiranya anda mengusahakan atau mengedarkan produk kesihatan dan kecantikan terdapat beberapa panduan asas yang boleh digunakan dalam pemilihan produkk. Ianya sangat perlu untuk memastikan kredibiliti dan juga etika dalam bisnes ini. Antaranya

Pensijilan GMP (Good Manufacturing product)
GMP sangatlah perlu, memandangkan sesetengah peniaga menyalahgunakan aturan pengisian produk. Ada sesetengahnya membeli secara pukal membuat label sendiri dan membuat proses akhir mengikut situasi yang kurang selamat.

Diluluskan Farmaseutikal, ini termasuk mengetahui perundangan dan etika pemasaran ubatan dan produk kesihatan. Ianya juga sangat sahaja berkait rapat dengan isi kandungan, peraturan penggunaan dan undang-undang yang berkaitan.

Ingat tak pada satu ketika dahulu, ramai pengguna kosmetik yang melalui trend ingin pemutihan muka secara cepat dan drastik. Akibatnya timbul isu yang berkaitan penggunaan hidrokuinon yang berlebihan dalam sesuatu produk. Bagi pemilik/pengasas produk kosmetik yang lebih mementingkan keuntungan, mereka kurang peduli akan hal ini. Asalkan pengguna mahu cerah dan putih cepat. Akibatnya muka cepat mengelupas dan apabila terkena sinaran semulajadi menyebabkan kulit kemerahan dan ianya menjadi nipis.

Apabila berpeluang menemui ramai pemilik/pengasas produk, kebanyakannya cuba berselindung. Kebiasaannya saya berterus terang, dan memang ya banyak atau sedikit memang ada peratusan hidrokuinon yang mereka campurkan di dalam produk kosmetik yang dijual.Nanti saya kupas beberapa isu dan etika farmasi yang berkaitan dengan produk kesihatan dan kecantikan.

Kebiasaannya apabila ada sahaja produk baru dipasaran tidak kiralah pelancaran
produk atau menemuramah pengusaha produk, kami(wartawan)akan mendapat set percuma. Tetapi memandangkan banyak pendedahan dan maklumat yang diterima, membuatkan hati sudah tidak tertarik menggunakannya, ianya sekadar koleksi dan dibuang begitu sahaja. Walaupun kadang-kadang ianya mencecah ratusan ringgit, tetapi disebabkan sudah tahu akan kesannya, saya memang tidak menggunakan mana-mana produk jika masih kabur dan sangsi tentang isi kanduang bahan.

Nantikan pendedahan yang lebih menarik bagaimana memilih produk kesihatan dan kecantikan mengikut peraturan yang ditetapkan.