Monday, December 8, 2008

Ikan untuk wanita hamil

WANITA hamil atau wanita yang menyusukan bayi, sering dinasihati agar mengelakkan daripada mengambil makanan laut secara berlebihan. Mereka perlu mengehadkan jumlah ikan yang dimakan kerana banyak spesies marin atau laut mungkin mengandungi paras plumbum yang tinggi yang boleh membahayakan kesihatan ibu, bayi atau janin.Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, tanggapan konvensional itu digugat oleh satu organisasi yang mem perjuangkan hak ibu dan kanak-kanak yang menasihati wanita hamil dan ibu yang melahirkan anak agar makan lebih banyak ikan bagi memastikan perkembangan otak yang optimum di kalangan bayi mereka. Saranan itu datangnya daripada Gabungan Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak Sihat Kebangsaan, kumpulan bukan ke rajaan di Amerika Syarikat, yang memberi tumpuan terhadap isu kesihatan kanak-kanak.

Penasihat saintifik kumpulan itu, Judy Meehan, yang juga Pengarah Eksekutif gabungan itu berkata, wanita hamil dan yang melahirkan bayi perlu memakan sekurang-kurangnya 12 auns ikan setiap minggu.
Sebelum ini, Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-uba tan Amerika Syarikat menasihati wanita hamil agar me ngehadkan pengambilan makanan laut mingguan mereka tidak melebihi 12 auns, atau kira-kira dua kali pengambilan saja dalam seminggu.

Walaupun kedua-dua pihak itu menyarankan wanita hamil selamat jika mengambil makanan laut sebanyak dua kali dalam setiap minggu, kebimbangan terhadap pencemaran plumbum dalam makanan laut menghalang kebanyakan wanita hamil memilih ikan untuk dimakan.

Penemuan terbaru menerusi kajian mutakhir menunjukkan asid lemak omega-3, yang kebanyakannya ditemui dalam isi ikan, amat penting bagi perkembangan otak janin dan bayi yang baru dilahirkan.

Awal tahun ini, satu laporan dalam jurnal perubatan The Lancet , merumuskan wanita yang memakan lebih daripada 12 auns ikan setiap minggu semasa hamil akan melahirkan anak yang lebih cerdik dan cepat dari segi perkembangan fikiran. “Nasihat agar wanita hamil mengehadkan pengambilan makanan laut mungkin akan mengurangkan pengambilan nutrien yang perlu bagi perkembangan neurologi secara optimum,” kata sekumpulan saintis daripada Institut Ke sihatan Kebangsaan dan Universiti Illinois, Chicago pula.

Menurut Meehan, masalah sebenar dalam hal ini berkaitan dengan wanita yang mengurangkan pengambilan ikan dalam diet mereka.“Oleh itu, jika mereka (wanita hamil) makan 12 auns hasil laut, ia lebih selamat, langkah yang wajar dan tiada siapa akan mempertikaikannya,” katanya yang mengetuai penyelidikan menggunakan geran Institut Perikanan Negara, sebagai lang kah membantu kempen pendidikannya.

Katanya, bagi wanita yang mahu mendapat faedah kesihatan tetapi bimbang mengenai kandungan plumbum dan racun lain dalam hidupan laut, langkah yang bijak memilih ikan yang mempunyai paras plumbum yang paling rendah.

Laporan terbaru dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika merumuskan faedah kesihatan yang amat kaya boleh di peroleh daripada ikan berminyak seperti ikan salmon, hering dan sardin, yang secara umumnya mengandungi plumbum yang rendah.Antara ikan yang perlu dielakkan kerana mempunyai kadar plumbum tinggi ialah ikan yu, ikan layaran dan tenggiri.

Oleh Shukri Matt Ali
Petikan: Harian Metro

Bijirin sarapan makanan untuk otak


SARAPAN adalah makanan untuk otak. Ini kerana sarapan berkait rapat dengan kecergasan mental dan memberi kesan positif terhadap aktiviti otak supaya lebih cergas, peka dan fokus.
Tanpa sarapan, tenaga untuk digunakan sepanjang hari akan terjejas dan mempengaruhi penumpuan anda. Lebih memudaratkan ialah anda akan terlebih makan pada waktu malam.
Ada juga yang menganggap mengambil sarapan diibaratkan seperti memanaskan enjin kereta pada waktu pagi. Dengan bersarapan pagi, dapat mengurangkan rasa lapar dan membantu berfikir dengan lebih baik.

Namun, ramai di kalangan generasi muda hari ini terutama remaja tidak mengambil berat kepentingan mengambil sarapan pagi.
Malah golongan dewasa turut berbuat demikian dan telah menjadi tabiat sekarang kerana mengejar masa untuk pergi bekerja atau leka menjalankan tugas.

Bagaimanapun, pemilihan makanan untuk sarapan juga penting. Pilihlah sarapan pagi yang sihat mengandungi serat yang tinggi, contohnya roti, bijirin, buah-buahan seperti kismis, prun dan pisang.

Elakkan mengambil makanan yang berat terutama makanan bergoreng dan berlemak.
Untuk mereka yang kesuntukan masa, bijirin sarapan adalah sarapan yang terbaik dan senang untuk disediakan. Namun, bagaimana hendak memilih bijirin sarapan yang berkhasiat bagi membantu merangsang minda dan kemampuan tenaga?

Ada pelbagai bijirin sarapan di pasaran. Ada yang mengandungi lebih gula, kurang fiber dan sebaliknya. Pilih bijirin sarapan yang mengandungi karbohidrat dan vitamin yang boleh merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak.

Ketua Komunikasi Penyelidikan dan Pembangunan Nestle S.A, Hilary Green berkata, vitamin B yang diperkaya di dalam bijirin sarapan dikenal pasti mampu memberi kesan positif kepada fungsi otak.
Ia juga mengandungi karbohidrat yang boleh merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak.

‘‘Bijirin sarapan adalah makanan terbaik dan segera untuk memulakan hari anda. Pengambilannya cukup mudah dan khasiat yang dimiliki adalah lengkap bagi memberi tenaga dan mampu meningkatkan fungsi otak.

‘‘Hanya masukkan bijirin itu di dalam mangkuk dan tuangkan susu. Sudah lengkap sarapan pagi anda,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Green, bagi memastikan bijirin sarapan itu mengandungi khasiat yang dikehendaki sentiasa semak melalui label pemakanan di kotak.

‘‘Di sinilah anda boleh mengetahui semua maklumat yang dikehendaki. Sentiasa lihat fakta mengenai gula, fiber, vitamin dan mineral.

‘‘Selalunya pilihlah bijirin sarapan yang kurang gula kerana boleh ditambah dengan buah-buahan seperti kismis atau potongan buah-buahan untuk menambah manisnya.

‘‘Jika gula banyak pada sesuatu bijirin sarapan itu, maka kurang fiber terkandung dalamnya. Fiber amat penting dalam bijirin sarapan untuk mengelakkan sembelit, jadi elakkan memilih bijirin yang kurang mengandunginya,’’ jelasnya.

Menurutnya, semua bijirin sarapan Nestle mengandungi bijirin mil penuh yang berguna untuk tubuh. Ia rendah lemak dan tinggi dengan karbohidrat dan fiber yang membantu meningkatkan kekenyangan.

‘‘Bersarapan dengan bijirin sarapan juga akan mengelakkan tubuh daripada mengalami hidrasi. Ini kerana susu yang dicampurkan itu membekalkan kalsium dan air di dalam tubuh,’’ ujarnya.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Petikan: Utusan Malaysia