Monday, December 8, 2008

Ikan untuk wanita hamil

WANITA hamil atau wanita yang menyusukan bayi, sering dinasihati agar mengelakkan daripada mengambil makanan laut secara berlebihan. Mereka perlu mengehadkan jumlah ikan yang dimakan kerana banyak spesies marin atau laut mungkin mengandungi paras plumbum yang tinggi yang boleh membahayakan kesihatan ibu, bayi atau janin.Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, tanggapan konvensional itu digugat oleh satu organisasi yang mem perjuangkan hak ibu dan kanak-kanak yang menasihati wanita hamil dan ibu yang melahirkan anak agar makan lebih banyak ikan bagi memastikan perkembangan otak yang optimum di kalangan bayi mereka. Saranan itu datangnya daripada Gabungan Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak Sihat Kebangsaan, kumpulan bukan ke rajaan di Amerika Syarikat, yang memberi tumpuan terhadap isu kesihatan kanak-kanak.

Penasihat saintifik kumpulan itu, Judy Meehan, yang juga Pengarah Eksekutif gabungan itu berkata, wanita hamil dan yang melahirkan bayi perlu memakan sekurang-kurangnya 12 auns ikan setiap minggu.
Sebelum ini, Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-uba tan Amerika Syarikat menasihati wanita hamil agar me ngehadkan pengambilan makanan laut mingguan mereka tidak melebihi 12 auns, atau kira-kira dua kali pengambilan saja dalam seminggu.

Walaupun kedua-dua pihak itu menyarankan wanita hamil selamat jika mengambil makanan laut sebanyak dua kali dalam setiap minggu, kebimbangan terhadap pencemaran plumbum dalam makanan laut menghalang kebanyakan wanita hamil memilih ikan untuk dimakan.

Penemuan terbaru menerusi kajian mutakhir menunjukkan asid lemak omega-3, yang kebanyakannya ditemui dalam isi ikan, amat penting bagi perkembangan otak janin dan bayi yang baru dilahirkan.

Awal tahun ini, satu laporan dalam jurnal perubatan The Lancet , merumuskan wanita yang memakan lebih daripada 12 auns ikan setiap minggu semasa hamil akan melahirkan anak yang lebih cerdik dan cepat dari segi perkembangan fikiran. “Nasihat agar wanita hamil mengehadkan pengambilan makanan laut mungkin akan mengurangkan pengambilan nutrien yang perlu bagi perkembangan neurologi secara optimum,” kata sekumpulan saintis daripada Institut Ke sihatan Kebangsaan dan Universiti Illinois, Chicago pula.

Menurut Meehan, masalah sebenar dalam hal ini berkaitan dengan wanita yang mengurangkan pengambilan ikan dalam diet mereka.“Oleh itu, jika mereka (wanita hamil) makan 12 auns hasil laut, ia lebih selamat, langkah yang wajar dan tiada siapa akan mempertikaikannya,” katanya yang mengetuai penyelidikan menggunakan geran Institut Perikanan Negara, sebagai lang kah membantu kempen pendidikannya.

Katanya, bagi wanita yang mahu mendapat faedah kesihatan tetapi bimbang mengenai kandungan plumbum dan racun lain dalam hidupan laut, langkah yang bijak memilih ikan yang mempunyai paras plumbum yang paling rendah.

Laporan terbaru dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika merumuskan faedah kesihatan yang amat kaya boleh di peroleh daripada ikan berminyak seperti ikan salmon, hering dan sardin, yang secara umumnya mengandungi plumbum yang rendah.Antara ikan yang perlu dielakkan kerana mempunyai kadar plumbum tinggi ialah ikan yu, ikan layaran dan tenggiri.

Oleh Shukri Matt Ali
Petikan: Harian Metro

Bijirin sarapan makanan untuk otak


SARAPAN adalah makanan untuk otak. Ini kerana sarapan berkait rapat dengan kecergasan mental dan memberi kesan positif terhadap aktiviti otak supaya lebih cergas, peka dan fokus.
Tanpa sarapan, tenaga untuk digunakan sepanjang hari akan terjejas dan mempengaruhi penumpuan anda. Lebih memudaratkan ialah anda akan terlebih makan pada waktu malam.
Ada juga yang menganggap mengambil sarapan diibaratkan seperti memanaskan enjin kereta pada waktu pagi. Dengan bersarapan pagi, dapat mengurangkan rasa lapar dan membantu berfikir dengan lebih baik.

Namun, ramai di kalangan generasi muda hari ini terutama remaja tidak mengambil berat kepentingan mengambil sarapan pagi.
Malah golongan dewasa turut berbuat demikian dan telah menjadi tabiat sekarang kerana mengejar masa untuk pergi bekerja atau leka menjalankan tugas.

Bagaimanapun, pemilihan makanan untuk sarapan juga penting. Pilihlah sarapan pagi yang sihat mengandungi serat yang tinggi, contohnya roti, bijirin, buah-buahan seperti kismis, prun dan pisang.

Elakkan mengambil makanan yang berat terutama makanan bergoreng dan berlemak.
Untuk mereka yang kesuntukan masa, bijirin sarapan adalah sarapan yang terbaik dan senang untuk disediakan. Namun, bagaimana hendak memilih bijirin sarapan yang berkhasiat bagi membantu merangsang minda dan kemampuan tenaga?

Ada pelbagai bijirin sarapan di pasaran. Ada yang mengandungi lebih gula, kurang fiber dan sebaliknya. Pilih bijirin sarapan yang mengandungi karbohidrat dan vitamin yang boleh merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak.

Ketua Komunikasi Penyelidikan dan Pembangunan Nestle S.A, Hilary Green berkata, vitamin B yang diperkaya di dalam bijirin sarapan dikenal pasti mampu memberi kesan positif kepada fungsi otak.
Ia juga mengandungi karbohidrat yang boleh merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak.

‘‘Bijirin sarapan adalah makanan terbaik dan segera untuk memulakan hari anda. Pengambilannya cukup mudah dan khasiat yang dimiliki adalah lengkap bagi memberi tenaga dan mampu meningkatkan fungsi otak.

‘‘Hanya masukkan bijirin itu di dalam mangkuk dan tuangkan susu. Sudah lengkap sarapan pagi anda,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Green, bagi memastikan bijirin sarapan itu mengandungi khasiat yang dikehendaki sentiasa semak melalui label pemakanan di kotak.

‘‘Di sinilah anda boleh mengetahui semua maklumat yang dikehendaki. Sentiasa lihat fakta mengenai gula, fiber, vitamin dan mineral.

‘‘Selalunya pilihlah bijirin sarapan yang kurang gula kerana boleh ditambah dengan buah-buahan seperti kismis atau potongan buah-buahan untuk menambah manisnya.

‘‘Jika gula banyak pada sesuatu bijirin sarapan itu, maka kurang fiber terkandung dalamnya. Fiber amat penting dalam bijirin sarapan untuk mengelakkan sembelit, jadi elakkan memilih bijirin yang kurang mengandunginya,’’ jelasnya.

Menurutnya, semua bijirin sarapan Nestle mengandungi bijirin mil penuh yang berguna untuk tubuh. Ia rendah lemak dan tinggi dengan karbohidrat dan fiber yang membantu meningkatkan kekenyangan.

‘‘Bersarapan dengan bijirin sarapan juga akan mengelakkan tubuh daripada mengalami hidrasi. Ini kerana susu yang dicampurkan itu membekalkan kalsium dan air di dalam tubuh,’’ ujarnya.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Petikan: Utusan Malaysia

Sunday, November 23, 2008

Bonda Tersayang Kembali Ke Rahmatullah

Al-Fatihah.Jam 3.00 pagi bersamaan 12/11/2008 bonda kesayangan menghembuskan nafas terakhir. Hanya iringan doa dan ayat-ayat suci buat pengubat rindu untuk bonda tersayang.

Terasa masa begitu singkat, rupanya syawal lalu, adalah yang terakhir kami sekeluarga beraya bersama arwah. Moga-moga arwah aman bersemadi di sana. Rasanya belum puas lagi memberi khidmat bakti kepada arwah.

Tiada lagi tempat mengadu, tiada lagi tempat bermanja, tempat mencurah segala masalah.Saya akan rindukan pelukan dan kasih sayang arwah. Saya masih terkenangkan arwah apatah lagi apabila melihat setiap sudut rumah dan tempat arwah berehat. Saya redha atas pemergiannya. Moga-moga roh arwah dicucuri rahmat.

Al-Fatihah

Terapi tubuh dan minda untuk cergas seharian



Bekerja jam 8 pagi hingga 6 petang. Setiap hari menempuh kesesakan lalu lintas. Sampai di pejabat perlu pula menyelesaikan timbunan tugas. Itu tidak termasuk melayan kerenah manusia. Arahan bos perlu diikut, kerenah teman sepejabat kadangkala juga membuatkan anda pening kepala.

Pulang ke rumah, perlu berhadapan dengan tugasan rumah dan kerenah anak-anak. Situasi ini sesiapa sahaja tidak boleh mengelak. Menempuh suasana sibuk sepanjang hari memerlukan anda bersiap sedia dengan perisai tenaga yang sepatutnya. Tenaga perlu dipulihkan selalu agar anda setiasa nampak tenang dan ceria sepanjang hari. Apa rahsianya, tip berikut boleh membantu.


Tidur dan rehat yang cukup

Tetapkan waktu tidur setiap hari. Rutin ini memberikan peluang kepada sistem tubuh untuk berehat. Tidur yang berkualiti mampu memulihkan tenaga kembali cergas. Pilih ruang tidur yang bersih dan lapang. Elak meletakkan pelbagai alatan yang tidak sepatutnya di ruang tidur anda.

Elak perkara-perkara yang boleh mengangu tidur anda seperti pakaian kotor yang berselerak, cadar yang tidak bertukar berbulan-bulan dan habuk di sana sini.
Harmonikan ruang istirehat dengan warna yang menyamankan seperti biru lembut. Sebelum tidur boleh menyalakan lilin wangian. Bagi yang beragama islam membaca quran dan berzikir sebelum tidur adalah penawar paling mujarab untuk ubat tidur lena.


Tubuh yang bersih

Mandi adalah satu terapi sihat untuk memberikan kesegaran pada tubuh. Pada masa yang sama membuang kekotoran yang melekat. Peluh dan keringat yang melekat, bau yang kurang menyenangkan perlu dinyahkan segera. Gunalah mandian dan pembersih yang bersesuaian dengan kulit anda.

Saat air bersih mengalir dan membasahi seluruh tubuh anda mampu merasakan satu terapi yang baik untuk menenangkan diri anda. Usap tubuh badan untuk mengeluarkan kotoran yang tidak diperlukan. Seusai mandi gunakan haruman yang sepatutnya mengikut kegemaran anda. Pilih pakaian yang bersih. Nah kali ini anda sudah bersedia untuk rutin harian yang sibuk.

Bersenam

Bersenam selepas bangun tidur selama 5 hingga 10 minit sangat bagus untuk kesihatan. Lakukan sedikit aktiviti regangan, kaedah yang sangat praktikal untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Boleh juga berlari setempat atau turun naik tangga untuk beberapa ketika. Hanya menggunakan ruang dan kemudahan yang sudah ada di rumah. Kebiasaan sihat sebegini sangat bagus untuk melancarkan peredaran darah.

Tiga tip mudah di atas tidak memerlukan kos yang besar hanya kemahuan sahaja yang boleh menggerakkan usaha anda. Pastikan anda mendisplinkan diri melalukan perkara-perkara yang mudah ini agar anda sentiasa sihat dan gembira.

Saturday, November 1, 2008

Tip mudah ketika menghadiri majlis makan-makan

Walaupun Syawal sudah berlalu, jemputan rumah terbuka masih lagi berlangsung dengan meriah di sana sini. Disebabkan kebanyakan tuan rumah memilih hujung minggu sebagai hari untuk mengajak jiran tetangga dan rakan taulan menjamu selera, tidak terlayan pula untuk menghadiri kesemuanya. Kadangkala satu hari melebihi lima jemputan. Tidak tergamak pula untuk tidak bertandang. Tip mudah dibawah boleh digunakan untuk tidak mengecewakan tuan rumah dan anda masih lagi konsisten menjaga pemakanan pada musim-musim perayaan.

1.Rancang perjalanan sebelum keluar rumah. Pilih lokasi, tarikh dan waktu yang bersesuaian untuk penyusunan jadual pemakanan anda.

2.Pada sebelah pagi anda boleh mengambil hidangan ringkas sahaja di rumah sebagai alas perut, seperti jus buah yang kaya dengan serat atau air putih bersama sekeping sandwich.

3.Jika rumah pertama pada waktu tengahari, anda terus mengambil menu utama sahaja. Seusai beramah mesra bersama tuan rumah, boleh teruskan kepada rumah kedua. Pilihlah pemanis mulut seperti buah-buahan. Ambillah sedikit satu jenis kuih sahaja dari setiap jenis yang ada. Ambil sekadar untuk merasa dan tidak terlalu kenyang.

4.Untuk rumah ke tiga. Pilihlah menu yang ringan-ringan. Sekiranya waktu ini hari sudah petang pilihlah minuman yang rendah kalori seperti teh o. Elak mengambil minuman manis yang berais berulang kali.

5.Rumah yang ke empat, boleh pilih menu yang ringkas sebagai makan malam, seperti bihun sup. Pilih buah-buahan sebagai pencuci mulut.

6.Pastikan anda tidak terlalu ghairah makan sehinggakan terlebih makan.
Kunjungan rumah terbuka bukan semata-mata untuk menjamu selera, tetapi kunjungan untuk merapatkan silaturrahim.

Friday, September 12, 2008

Puasa cara terbaik nyah toksin

Kita sudah melewati minggu pertengahan ramadhan. Banyak di kalangan kita yang menggunakan kesempatan di bulan ini untuk meningkatkan kesihatan badan. Tidak terkecuali bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan.

Selain menjalani ibadah, berpuasa dari sudut kesihatan adalah salah satu cara terbaik untuk memperbaiki sistem pencernaan dalaman. Pada bulan-bulan yang lain enjin pencernaan bekerja hampir 24 jam dan 11 bulan lamanya.

Boleh juga diumpamakan sebuah kenderaan, jika digunakan tanpa diservis boleh cepat rosak. Begitu juga halnya dengan tubuh badan manusia, sistem dalamannya juga perlu berehat seketika. Ini sangat memberi manfaat kepada tubuh untuk memperbaiki mana-mana sistem yang rosak dan untuk memberi kekuatan semula untuk bekerja.

Pengambilan makanan yang tidak seimbang, pengaruh ubatan, bahan kimia dan merokok boleh menyebabkan berlakunya pengumpulan toksin dalam organ tubuh. Toksin perlu dikeluarkan secara semulajadi. Usus dan hati memainkan peranan penting dalam pembersihan sisa toksin.

Justeru adalah penting untuk menjaga kesihatan usus dan hati. Manfaat puasa, mampu meningkatkan proses membuang zat-zat beracun atau toksin. Hati berfungsi untuk menapis toksin di di dalam badan. Enzim yang dikeluarkan boleh membuang atau mengurangkan toksin.

Pelihara usus dengan mengambil makanan yang berserat dan minum banyak air untuk memudahkan lagi pengeluaran toksin dari badan melalui proses pencernaan. Elak sumber makanan berlemak, bergoreng, segera, kafein dan minuman bergas.
Gunakan sepenuhnya disiplin di bulan ini untuk penjagaan kesihatan terbaik pada bulan-bulan seterusnya. Pastikan juga anda mengambil makanan seimbang, air secukupnya dan jus buah amat digalakkan.

Tuesday, August 19, 2008

Mulakan hari dengan aura positif

1. Mulakan dengan doa
Memulakan hari dengan doa. Doa untuk bangun awal dan capai matlamat untuk hari esok dengan cara yang terbaik. Tetapkan masa tidur, tidur awal dan bangun awal. Ini membuatkan anda tidak tergesa-gesa dalam menempuh hari yang sibuk.

2. Berfikiran positif
Walaupun berada dalam lingkungan negatif, cuba membiasakan diri dengan menuturkan ayat-ayat positif. Persekitaran negatif, biasanya membuatkan anda lumpuh semangat, mendengar gosip yang tidak berasas, dimarahi, berdepan dengan orang-orang berfikiran negatif. Dalam keadaan ini cuba bawa bertenang.

3. Work Smart
Perlu merancang pekerjaan, namun adakalanya juga banyak situasi yang akan menyebabkan rancangan anda gagal. Cuba membiasakan diri bersedia dengan perancangan A, B dan C. Jika anda bijak mengurus masalah, anda adalah pengurus yang baik. Situasi yang bermasalah kadangkala memberi satu pengalaman baru, jika masalah itu berjaya diselesaikan. Anggap masalah adalah perkara rutin yang perlu diselesaikan. Jika hasilnya adalah baik, anda boleh memberi ganjaran kepada diri sendiri. Tidak perlu menunggu orang lain meraikannya. Jika sebaliknya, berlapang dada dalam memperbaiki kelemahan.

5. Hormat pemimpin

Tidak perlu membuta tuli untuk mengambil hati ketua jabatan, atau siapa sahaja yang berada di atas. Elak sikap talam dua muka, walaupun anda bukan seorang yang gemar menunjuk-nunjuk dengan kebolehan anda. Pemimpin yang professional boleh menilai dengan adil dan saksama kakitangan yang benar-benar boleh membuat kerja atau tugasan yang diberikan. Jangan mudah berkata tidak boleh sekiranya apa yang di suruh bukan kemahiran anda. Jika diberi sesuatu tugasan penting, letakkan syak wasangka baik, anda mungkin boleh pelbagaikan kemahiran yang ada. Sebaiknya mohon bantuan daripada mereka yang lebih arif. Sekiranya hasil yang dibuat kurang memuaskan, usah gusar masih ada peluang dan ruang untuk memperbaikinya.

6. Berkongsi ilmu
Sebaik-baik ilmu adalah diamalkan, disebar dan dikongsi manfaatnya. Bukan hanya untuk memandaikan diri sendiri, tetapi boleh berkongsi kepada mereka yang gemar menuntut ilmu. Jika anda dijadikan pakar rujuk dalam sesuatu bidang, tidak salah jika berkongsi kemahiran. Satu pasukan yang hebat adalah apabila setiap ahli mengambil bahagian dan menggunakan kemahiran yang ada semaksima yang mungkin.

7. Berlapang dada menerima kritikan
Bukan mudah untuk menerima kritikan. Jika anda dikritik jangan cepat panas punggung. Sebaiknya, bawa bertenang dan berfikir secara rasional. Walaupun kadangkala rasa kecewa akan menyelinap, tetapkan gambaran positif, bahawa tugasan yang dibuat tidak memenuhi kehendak ketua.

8. Ikhlas dalam tugas
Keberkatan dalam rezeki yang diperolehi sangat berkait rapat dengan tugas diamanahkan. Apabila ikhlas dalam melakukan kerja-rutin, segalanya akan berjalan lancar dan mudah.

Saturday, July 26, 2008

Aerobik senaman yang mengujakan

Gema alunan muzik rancak, tumpuan dan irama bergerak seiring beramai-ramai. Peluh memercik, denyutan nadi kian pantas. Lagu rancak diudarakan kemudian lagu berirama perlahan dimainkan. Gerakan pantas dan perlahan mengikut panduan coach di hadapan.

Senaman ini boleh diikut oleh remaja mahu pun dewasa. Di padang mahupun di studio, ianya amat mengujakan jika dilakukan beramai-ramai. Selama satu jam pun masih lagi tidak terasa. Apabila selesai, peluh sudah membasahi baju. Aktiviti ini sangat digemari kaum hawa, namun lelaki juga tidak perlu malu jika ingin mencuba.

Kini banyak pilihan dan tempat. Mahu berbayar atau tidak, itu pilihan anda. Pada hujung minggu sudah banyak lokasi terutamanya di kawasan rekriasi, pada waktu pagi sudah ramai yang berhimpun untuk beraerobik. Jika anda berwang, pilih saja mana-mana studio yang menyediakan kelas berbayar.

Wednesday, July 23, 2008

Kepentingan pengambilan sayur dan buah

KITA semua tahu bahawa sayur-sayuran dan buah-buahan sememangnya mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan tubuh badan. Namun, berapa ramai daripada kita yang
mengamalkan pengambilan dua bahan ini dalam pemakanan seharian malah ada juga yang tidak menyentuhnya langsung. Alasannya, sayur-sayuran dan buah-buahan ‘tiada rasa’ berbanding hidangan lain seperti nasi, daging, ayam dan makanan laut.

Biarpun berkali-kali maklumat mengenai khasiat buah-buahan dan sayur-sayuran didedahkan, kesedaran tentangnya masih rendah di kalangan masyarakat kita.
Puncanya mungkin daripada amalan pemakanan kita yang sekian lama kurang menitikberatkan pengambilan dua bahan ini. Menjadikan kita lebih selesa dengan ‘piramid’ makanan rekaan sendiri dan meminggirkan saranan oleh mereka yang pakar.

“Secara asasnya saya percaya kebanyakan penyakit berpunca daripada sel yang berfungsi secara tidak sempurna, disebabkan kekurangan nutrisi seperti vitamin, mineral, asid amino, asid lemak dan fitonutrien, sejenis bahan yang terkandung dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Ini ditambah pula dengan keracunan bahan kimia dan metal yang mempengaruhi aktiviti enzim seterusnya menjejaskan fungsi sel,” kata pakar perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan Pencegah Marin, California, Dr. Elson Haas.

Beliau berkata demikian dalam satu bengkel kempen hidup sihat anjuran Elken Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang turut memperkenalkan produk Fitorac, keluaran syarikat tersebut.

Dr. Haas yang menjurus kepada kepakaran perubatan nutrisi dan keluarga, serta detoksifikasi dan program kesihatan individu berkata, berdasarkan fakta rakyat Malaysia sememangnya tidak mengambil hidangan buah-
buahan segar dan sayur-sayuran yang betul iaitu antara tujuh hingga sembilan hidangan setiap hari terutama sayuran hijau.

Katanya, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2003 menunjukkan secara purata 88.3 peratus rakyat Malaysia mengambil kurang daripada saranan harian pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Peratusan ini sangatlah rendah berbanding saranan Institut Kanser Kebangsaan yang mencadangkan pengambilannya sebanyak tujuh hingga 12 hidangan setiap hari bagi mengelak masalah kesihatan kronik.

Statistik daripada Kementerian Kesihatan pula menyatakan satu daripada empat rakyat Malaysia berisiko mendapat kanser dan perkara ini disebabkan kekurangan pengambilan sayur dan buah dalam diet mereka.

Kata Dr. Haas yang pernah menulis tujuh buah buku mengenai kesihatan dan nutrisi, fitonutrien yang terkandung dalam buah-buahan dan sayur-sayuran terkenal kerana keupayaannya menggalakkan liang-liang kesihatan.

Ia mengandungi bahan antioksidan kuat yang berkesan dalam menyeimbangkan radikal bebas, menggalakkan fungsi sel imunisasi dan menyuburkan pemulihan liang-liang rongga.
“Jika kita menyeimbangkan sel dalam badan dengan mengambil makanan seperti apa yang badan perlukan, ia dapat mengelak toksin sebanyak yang mungkin. Bukankah ia mudah?” soalnya.

Menurut beliau lagi, yang menjadi masalah di kebanyakan tempat ialah sikap individu yang gemar mengambil satu atau lebih bahagian gula, nikotin, alkohol, kafein dan bahan kimia dalam pengambilan makanan harian mereka.
Seperti di Asia katanya, masyarakat di sini terlalu gemar kepada makanan dan minuman yang diproses.

“Saya bersenam dan mencari makanan terbaik untuk menyeimbangkan kesihatan tubuh badan.
``Pengambilan makanan tidak seimbang menyekat fungsi badan normal. Cara kita memasak makanan juga menyebabkan bahan berkhasiat yang terkandung di dalamnya hilang,” ujarnya.
Beliau menyarankan buah-buahan dan sayur-sayuran dimakan mentah atau dibuat salad dan juga boleh dimasak dengan cara stim, panggang, rebus tetapi jangan terlebih masak.
Jelas Dr. Haas lagi, pengambilan buah-buahan dan sayuran yang secukupnya mengurangkan risiko berkaitan kanser termasuk menghalang sesetengah jenis kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes dan lain-lain penyakit kronik.

“Kita perlu memastikan pengambilan sayur dan buah datangnya daripada lima jenis kumpulan warna berlainan iaitu merah, kuning-jingga, putih, hijau dan biru-ungu,” saran Dr. Haas.
Fitonutrien berlainan katanya mempunyai fungsi pengoksidaan berbeza dalam sel kita, di mana lebih warna yang diambil, lagi tinggi tahap perlindungan yang kita peroleh.

Jelas beliau, mengambil makanan yang kaya antioksidan memang baik untuk kesihatan. Namun, bagaimana kita menyukat kadar antioksidan yang terkandung dalam makanan?

“Kapasiti Penyerapan Radikal Oksigen (ORAC) boleh menyukat kebolehan makanan untuk melawan radikal bebas. Kajian menunjukkan memakan makanan yang tinggi kandungan ORAC boleh meningkatkan kuasa antioksidan dalam darah manusia sebanyak 10 hingga 25 peratus,” tambah beliau.
Sebagai penggantian kepada pengambilan sayur dan buah yang secukupnya, beliau turut menyarankan pengambilan suplemen yang mengandungi bahan fitonutrien yang terdapat di pasaran.

Petikan Utusan Malaysia : 20/07/2008

Kawal peningkatan kolesterol dengan herba

‘‘SAYA mempunyai badan yang berisi. Dua minggu yang lalu saya membuat pemeriksaan kolesterol dan mendapati terdapatnya peningkatan kolesterol dalam darah.
Mengikut doktor, ia masih boleh dikawal dengan perubahan diet dan membuat senaman. Ahli farmasi turut mencadangkan saya menambahkan suplemen herba agar pengawalan lebih baik sebelum ia dikategorikan berkolesterol tinggi memandangkan saya mempunyai sejarah keluarga dengan kolesterol tinggi dan berisiko tinggi menghidap masalah serupa’’.

JAWAPAN:
Pokok guggulu (Commiphora mukul) iaitu tumbuhan asal dari India, menghasilkan guggul yang juga dikenali sebagai guggulu atau guggulipid.

Guggul telah digunakan dalam perubatan Ayurveda selama beribu-ribu tahun untuk merawat artritis dan obesiti, selain mengawal peningkatan kolesterol.

Kesan penurunan kolesterol dipercayai disebabkan oleh keupayaannya menghalang sintesis (penghasilan) kolesterol dalam hati dan juga meningkatkan pemecahan serta penyingkiran kolesterol.

Penggunaan dalam jangka panjang membantu merendahkan kolesterol secara keseluruhan, kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol berketumpatan tinggi (HDL).
Guggulipid juga mempunyai bahan mencairkan darah yang bermanfaat untuk merendahkan tekanan darah.

Suplemen guggulipid yang mengandungi 2.5 peratus guggulsterone (bahan aktif) adalah bermanfaat dan selamat digunakan.
Diet dan gaya hidup

Antara tip untuk mengekalkan paras kolesterol yang sihat:

1. Buangkan semua lemak dan kulit daripada daging, ayam dan itik sebelum makan. Tukar cara masakan dari menggoreng kepada membakar atau memanggang.

2. Elakkan kuah dan sos yang berlemak. Gantikan krim dengan yogurt sebagai sos dan hiasan. Pilihlah buah-buahan segar sebagai pencuci mulut dan bukannya kek atau biskut.

3. Guna minyak sayuran seperti kanola, kesumbar dan zaitun dalam kuantiti yang kecil untuk menggoreng. Kurangkan penggunaan marjerin kerana ia mengandungi minyak separa ter-hidrogen (asid lemak trans).

4. Hadkan pengambilan makanan yang mengandungi minyak kelapa sawit, minyak kelapa, minyak khinzir, mentega, telur kuning dan lemak susu.

5. Udang dan kerang-kerangan boleh diambil sekali-sekala kerana kandungan kolesterolnya lebih rendah daripada yang disangkakan dan ia mengandungi lemak tepu yang rendah.

6. Tambahkan serat ke dalam diet anda terutamanya serat oat. Pilih bijirin penuh apabila membeli roti atau bijirin.

7. Hadkan pengambilan organ dalaman haiwan seperti hati, ginjal, otak dan limpa yang tinggi dengan kolesterol.

8. Senaman adalah senjata penting untuk menentang kolesterol tinggi dan penyakit jantung. Kajian menunjukkan senaman yang kerap (kira-kira 30 minit sebanyak tiga hingga lima kali seminggu) dapat meningkatkan paras HDL serta menyingkirkan kolesterol LDL berlebihan daripada darah. Anda boleh melakukan senaman aerobik, berenang, angkat berat, berjalan kaki dan menari.

Petikan Utusan Malaysia 20/07/2008

Saturday, July 12, 2008

Hari Minggu Yang Indah

Alhamdulillah hari ini, masih lagi diberi kesempatan untuk bernafas dan menghirup udara segar pagi hari. Syukur, kepadaNYA kerana masih lagi mampu meneruskan kudrat untuk berlegar meraih rezeki dan bersama keluarga tersayang.

Pagi yang menyegarkan, kabus masih lagi berlopak-lopak di balik pokok-pokok rimbun. Kebetulan kedudukan rumah saya berdepan dengan matahari naik. Terjahan sinarannya, mampu membangkitkan suasana pagi yang cukup harmoni.

Seusai menyediakan keperluan keluarga, sebagaimana biasa menyediakan sarapan dan perlu menyenaraikan beberapa keperluan untuk minggu ini. Tugasan di rumah perlu diselesaikan sebelum membuat perkara-perkara lain. Itu perlu diutamakan. Kepada yang sudi menjengah ke blog ini salam singgah, salam ziarah dan salam ukhwah. Moga-moga setiap apa yang dititipkan di sini dapat dikongsi untuk kebaikan.

Tuesday, May 20, 2008

Khasiat teh hijau untuk nyah toksin

green tea

Urutan refleksologi mampu lancarkan aliran darah

reflexology

Refleksologi lazimnya dikenali sebagai seni pijatan atau urutan untuk meransang urat saraf. Bagi penggemar dan pengamal kesihatan, inilah salah satu terapi tradisional Cina yang semakin digemari kini. Urutan ini memberi tumpuan kepada titik refleks untuk meredakan ketegangan.

Titik-titik saraf pada bahagian kaki yang bermasalah diberi tumpuan, dengan urutan yang melegakan. Pada bahagian tertentu yang bermasalah, terasa sedikit kesakitan apabila diurut dengan lebih teliti. Tapak kaki adalah kawasan yang merangkumi seluruh anggota badan. Manfaatnya amat baik untuk melancarkan peredaran darah, lenguh-lenguh anggota badan dan melegakan tekanan.

Refleksologi berasaskan kepercayaan setiap bahagian kaki adalah cermin kepada anggota badan (kaki kiri untuk anggota belah kiri dan kaki kanan pula menggambarkan anggota kanan badan. Pakar terapi refleksologi juga mampu boleh mengesan pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, usus, buah pinggang, migrain dan sukar tidur.

Urutan bermula pada bahagian kaki, tangan dan telingga. Untuk lebih mengesankan, urutan pada bahagian belakang, bahu dan tengkuk amat melegakan. Apatah lagi bagi mereka yang saban hari sentiasa sibuk dengan urusan kerja. Sesuai juga pada anda yang kurang gemar bersenam. Inilah salah satu cara untuk memanjakan tubuh agar relaks dan kembali bertenaga.

Monday, May 19, 2008

Kongsi pengalaman sihat

Kepada anda yang mempunyai masalah,pengalaman, petua dan apa-apa pandangan tentang penjagaan kesihatan, bolehlah berkongsi pengalaman tersebut di blog ini. Hantarkan terus kepada saya melalui email: pn.masayu@gmail.com. Artikel yang menarik akan disiarkan di blog ini dan akan disunting terlebih dahulu.

Sunday, May 18, 2008

Tangani stress dengan bijak

spa_floating

Arif adalah seorang eksekutif muda di sebuah syarikat besar dan berprestij. Semestinya dia ingin memberi komitmen yang tinggi pada syarikat. Namun diluar jangkaan apabila rakan-rakan sepejabat lebih senior mengambil kesempatan memberi beban tugas yang tidak sepatutnya dia lakukan. Keghairahan untuk menyiapkan tugasan dengan baik dan cepat, tergendala kerana beban tugas tidak pula makin menyusut, tetapi makin menimbun. Selalunya Arif sangat bermotivasi untuk ke tempat kerja. Tetapi lama-kelamaan semangat juang semakin merudum. Tambahan pula pada waktu malam dia sukar untuk melelapkan mata, lantaran memikirkan tugasan yang tidak selesai dan semakin banyak. Pernahkan anda menghadapi situasi seperti Arif?

Sakit kepala, keletihan, tidak fokus, insomnia (tidak boleh tidur), sakit pada bahagian bahu adalah tanda-tanda anda mengalami stress. Dalam situasi ini mungkin mengambil masa di antara dua hingga tiga jam untuk kembali pulih kepada keadaan normal. Kadangkala ketegangan sebegini memberi beban kepada badan setiap hari tanpa disedari. Masalah kewangan, situasi di tempat kerja, bebanan tugasan, konflik dalam keluarga adalah antara faktor yang menjadi punca stress.

Keadaan ketegangan yang semakin hari semakin bertambah menyebabkan badan cepat letih, kurang fokus, kadangkala sakit kepala. Jika berlaku terlalu kerap badan akan berada dalam kesakitan. Tekanan dalam kadar sederhana adalah perlu untuk memacu diri agar bertindak dengan cepat dan berkesan. Tetapi jika keterlaluan, ianya membahayakan kesihatan.

Sebaik-baiknya dalam apa situasi dan masalah, belajarlah untuk relaks dan tenang. Regangan badan adalah salah satu cara untuk menjadikan badan setiasa dalam keadaan relaks. Regangan pada lengan, muka, bahu, perut dan kaki boleh dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Menarik nafas dan menghembus dengan cara yang betul mampu memberi ruang aliran oksigen ke dalam tubuh. Jika tekanan sudah tidak terkawal lagi, anda perlu menemui pakar untuk nasihat selanjutnya.

Saturday, May 17, 2008

Monday, May 12, 2008

Kekebalan sistem tubuh dengan sayuran

alien-salad

Pemakanan seimbang adalah tabiat memilih makanan bertujuan memperbaiki atau mengekalkan kesihatan. Makanan seimbang mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin, garam galian, dan serat dalam kadar yang betul. Ini dapat diperolehi daripada buah, sayuran, daging, ikan, susu, bijiran dan lain-lain.

Serat atau serabut dalam diet permakanan membantu penghadaman dan mengelak sembelit. Sayuran dan buah segar (termasuk buah kering) dan bijirin adalah sumber serat penting. Untuk meningkatkan kebaikan serat, amat penting untuk minum banyak air.

Zat galian yang mengandungi bahan bukan organik yang penting untuk pemakanan manusia. Ia berperanan dalam pembentukan struktur tulang dan unsur yang diperlukan dalam tisu organik dan cairan badan seperti hemoglobin darah. Zat mineral banyak terdapat dalam susu dan telur. Ia juga banyak terdapat dalam buah dan sayuran.

Sayur-sayuran biasa boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja. Ini termasuklah sayur-sayuran seperti timun, kubis dan terung. Selain daripada sayur-sayuran biasa, terdapat satu lagi kumpulan ulam iaitu ulam tradisional. Ulam tradisional lebih meluas penggunaannya termasuk digunakan sebagai ulam biasa, sebagai bahan masakan seperti dalam penyediaan nasi ulam atau nasi kerabu dan masakan sayur lemak. Ianya juga sebagai bahan perubatan seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Oleh kerana ulam dimakan tanpa dimasak lama terlebih dahulu, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama seperti kalsium, fosforus , besi natrium dan kalium di dalam ulam tidak termusnah oleh haba. Ulam juga membekalkan serat yang amat di perlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan pergerakan najis dalam saluran usus.

Bahaya Msg dalam makanan segera

burger

Monosodium glutamat (MSG), juga dikenali sebagai Ajinomoto atau Vetsin, ialah sejenis garam natrium berasaskan asid glutamik yang dipergunakan sebagai sejenis bahan tambahan makanan dan dipasarkan secara umum sebagai "penambah perisa". Nama-namanya yang lain termasuk:
natrium glutamat
penambah perisa 621
Kod bahan tambahan makan EU: E621
Kod HS: 29224220
IUPAC: asid 2-aminopentanedioik, juga dikenali sebagai asid 2-aminoglutarik.
MSG ditemui dan dipatenkan pada tahun 1909 oleh Perbadanan Ajinomoto di Jepun. Dalam bentuk tulennya, ia merupakan sejenis serbuk berhablur putih, tetapi apabila dilarut di dalam air (atau air liur), ia berpisah dengan pantas menjadi ion-ion natrium dan glutamat yang bebas. Glutamat ialah anion asid glutamik, sejenis asid amino yang wujud secara semula jadiWalaupun glumat dan asid-asid amino yang lain wujud secara semula jadi di dalam banyak makanan rasa yang disebabkan oleh kesemua ini hanya dikenal pasti secara saintifik pada awal abad ke-20.

Pada tahun 1907 Kikunae Ikeda, penyelidik Jepun dari Universiti Imperial Tokyo mengenal pasti hablur-hablur perang yang ditinggalkan selepas menyejatkan sejumlah besar sup kombu sebagai asid glutamik. Hablur-hablur ini apabila dirasai, menghasilkan rasa tidak terperi yang dikesani dalam banyak makanan, terutamanya rumpai laut. Profesor Ikeda mengistilahkan rasa ini sebagai rasa "umami." Beliau kemudian mempatenkan suatu kaedah untuk menghasilkan asid glutamik berbentuk hablur secara besar-besaran.

Rujukan: Wikipedia Melayu

Sunday, May 11, 2008

Pakar syor makan segenggam nasi jimat beras

KUALA LUMPUR 11 Mei – Rakyat Malaysia dinasihatkan mengamalkan makan hanya segenggam nasi atau separuh pinggan setiap kali mengambil makanan itu demi menjaga kesihatan selain mengurangkan penggunaan beras.

Jumlah pengambilan nasi yang ideal untuk seorang dewasa adalah pada kadar segenggam atau 20 peratus daripada mangkuk sukatan nasi yang biasa digunakan di restoran-restoran.
Penasihat pemakanan terkenal, Kevin Zahri berkata, langkah itu perlu memandangkan pengambilan nasi tidak boleh diberhentikan serta-merta sebaliknya ia menjadi makanan ruji pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, pengurangan pengambilan nasi setiap hari oleh setiap rakyat sekurang-kurangnya dapat mengatasi masalah kekurangan beras di negara ini.
“Jika makan di kedai atau restoran, orang ramai perlu melatih diri dengan memesan nasi separuh pinggan. Oleh itu, para peniaga juga perlu mengenakan separuh harga.
“Ada sesetengah restoran didapati mengambil kesempatan dengan mengenakan harga penuh walaupun pelanggan mereka hanya memesan nasi separuh pinggan. Mereka memberi alasan harga beras sudah naik,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai golongan yang bekerja kuat seperti buruh binaan, Kevin menasihatkan supaya golongan itu mengekalkan makan nasi pada kadar sederhana dan mengambilnya pada kadar yang lebih kerap.
Jelasnya, ini kerana golongan tersebut memerlukan tenaga yang lebih tinggi dan ia perlu ditampung melalui kekerapan pengambilannya.

Kevin turut menggalakkan golongan itu mengambil makanan dari sumber lain seperti buah-buahan, roti, air yang bergula dan sebagainya bagi meningkatkan tenaga.
Antara lain, beliau mendapati usaha mengurangkan jumlah nasi dalam setiap hidangan seperti itu dapat menggalakkan orang ramai meminimumkan pengambilan nasi dan seterusnya mengelakkan pembaziran.

“Jika pengambilannya dihentikan serta-merta, ia akan memberi satu kesan psikologi kepada seseorang akibat kekurangan sumber tenaga yang berpunca karbohidrat walaupun ia boleh diperoleh dari roti,” jelasnya.
Menurut Kevin lagi, beliau tidak menafikan bahawa nasi boleh digantikan dengan makanan alternatif yang lain seperti roti, pasta, kentang dan buah-buahan.
Namun, katanya, kalori yang dibekalkan oleh nasi dapat memberi lebih vitamin dan zat dalam membantu mengekalkan kesihatan.

Beliau yang juga penulis buku Cergas 24/7 memberitahu, pengambilan makanan alternatif yang mempunyai kandungan fiber yang tinggi digalakkan tetapi bukan memberhentikan terus pengambilan nasi kerana ia akan menyekat kadar metabolisme badan.
Jelasnya, selain menjimatkan kos dan mengurangkan pembaziran, pengambilan nasi yang sedikit juga secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko penyakit seperti obesiti, osteoporosis dan juga barah.

“Apa yang paling penting ialah setiap orang perlu mengamalkan gaya hidup yang seimbang dengan memilih makanan yang sihat dan berkualiti supaya kita dapat menikmati makanan kegemaran kita sepanjang hayat,” ujarnya.
Petikan, Utusan Malaysia 12 Mei 2008.

Syukuri nikmat Tuhan

pisang goreng

Terkedu dan terkesima buat seketika apabila membaca laporan taufan Nargis yang melanda negara Myanmar minggu lalu menyebabkan lebih 22,500 mangsa korban manakala lebih 41,000 lagi hilang.
Apa tidaknya dalam keadaan rakyat Malaysia hidup dengan aman sejahtera, bermewah-mewah dengan makanan, kita hanya menerima tempias masalah kekurangan beras sahaja. Tetapi itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada mereka yang asyik dengan dunia sendiri. Kemewahan yang dinikmati sepatutnya diselit rasa syukur kepadaNya.
Baru-baru ini saya berkesempatan untuk membuat satu bancian kemiskinan di kawasan bandar. Hati dipagut secebis kasihan melihatkan masih ada anak-anak kecil di bumi bertuah ini yang masih tidak dapat menikmati kenikmatan hidup.
Sewaktu tiba di kediaman mereka, saya melihat ibu anak-anak comel ini menghidangkan mee maggi sebagai hidangan sarapan pagi. Mereka tekun menikmati hidangan tersebut tanpa soal. Mungkin bagi si ibu hidangan yang tidak seberapa itu adalah menu terbaik untuk mengalas perut pada pagi itu. Berkhasiat atau tidak itu bukan soalnya. Tiada pilihan dan pilihan yang terbaik adalah mee maggi. Terkedu saya seketika. Lantaran membandingkan anak-anak sendiri yang setiap kali tiba waktu makan sudah ada menu sihat yang akan disediakan setiap hari. Mungkin bukan saya sendiri, bagi ibu-ibu di luar sana yang mementingkan kesihatan dan kecerdasan anak-anak, penyediaan makanan berkhasiat sangat dititikberatkan. Mungkin tidak sukar bagi mereka yang mampu. Tetapi, bagaimana pula bagi mereka yang tidak berkemampuan?

Friday, May 2, 2008

Nikmatilah makanan

Walaubagaimana sibuk anda, apabila tiba sahaja waktu makan beri perhatian pada masa penting ini. Semat dalam fikiran untuk dapatkan kesihatan terbaik bermula dengan kunyahan pertama yang betul-betul dinikmati. Sebaik-baik kunyahan adalah 40 kali kunyahan, agar makanan betul-betul hancur dan membantu proses penghadaman.

Pencernaan bermula dari dalam mulut ketika mengunyah dan menghancur makan. Lebih lama makanan dikunyah, lebih banyak enzim daripada air liur bercampur dengan makanan. Ianya sangat membantu proses pencernaan.

Ajaran Islam sejak zaman Rasulullah s.w.t turut menekankan amalan makan secara perlahan mampu membantu mengurangkan berat badan. Bukan hanya memperlihatkan tentang sopan dan adab ketika menjamah rezeki. Ia turut berkait secara biologi memberi ruang kepada tubuh untuk berfungsi dengan baik. Isyarat akan diberi dan dikenalpasti bahawa kita sudah kenyang secara tidak langsung mendisplikan kita makan sekadar yang cukup.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.” Baginda juga menasihatkan: “Berpuasalah! Nescaya kamu akan sihat.”

Dalam sebuah hadis lain ada menyebut: “Janganlah dibunuh hati kamu seumpama buah, malah seumpama ladang yang binasa akibat terlampau banyak air. Begitulah hati akan binasa dengan banyak makan dan minum."

Gerakkan badan anda

Mulakannya sekarang! Anda hanya bermimpi jika hanya memberi perhatian menjaga disiplin pemakanan semata-mata. Kaedah untuk menurunkan berat dengan lebih efektif adalah dengan melakukan aktiviti fizikal yang berterusan tetapi tidak keterlaluan.

Maksudnya jalani apa- apa aktiviti riadah yang kegemaran anda sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi tiga kali seminggu. Ia sangat bagus untuk menurunkan paras glukosa darah serta lipid yang tidak baik, di samping meningkatkan jumlah kolesterol HDL yang baik.

Berjalan laju, aerobik, bermain badminton, berenang adalah contoh senaman yang boleh dilakukan mengikut minat individu. Mula dengan aktiviti kecergasan yang paling anda gemar lakukan. Selain membantu anda konsisten setiap minggu, ia juga mempengaruhi usaha untuk tampil sihat dan cergas.

Thursday, May 1, 2008

Amalkan pemakanan seimbang, senaman konsisten





Dalam penjagaan kesihatan yang baik, amalan pemakanan seimbang dan senaman konsisten sekurang-kurangnya tiga kali seminggu amat disyorkan oleh pakar-pakar pemakanan. Tidak ramai di kalangan kita yang mempunyai disiplin yang tingi dalam soal pemakanan. Ditambah pula dengan selera kita yang begitu memberi keutamaan tentang soal makan. Sebagaimana rutin pagi tidak sah rasanya jika tidak menjamah nasi lemak dan teh tarik gelas besar.

Ayam goreng berempah, gulai masak lemak, kari kepala ikan antara pilihan untuk santapan tengahari. Jika tiba waktu senggang, kononnya ingin melepaskan lelah seketika pisang goreng dan cekodok goreng pula menunya. Inilah senarai menu yang seringkali menjadi kegemaran rakyat Malaysia umumnya. Tidak cukup dengan itu istilah makan lewat malam dengan pilihan gerai mamak yang begitu menjadi trend ketika ini. Capati, roti canai dan pelbagai pilihan lagi menjadi alas perut walaupun larut malam sudah pun menjengah.

Alasan tiada masa untuk bersenam, ditambah pula kesibukan mengejar waktu bekerja sehingga petang membuatkan ramai di kalangan kita terlupa soal senaman atau apa sahaja aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh.

Disiplin mengambil nutrien yang secukupnya banyak memberi manfaat untuk meningkatkan tahap kesihatan, selain memberi tenaga secukupnya kegiatan sepanjang hari. Namun ianya menjadi satu cabaran yang besar di kalangan kita yang mempunyai gaya hidup yang sibuk.
Aktiviti fizikal dapat membantu menurukan tekanan darah dan paras kolesterol, selain menguatkan jantung dan otot-otot tulang. Jika dilakukan secara kerap membantu melancarkan darah dan memudahkan kelenturan sendi-sendi.

Wednesday, April 30, 2008

Jangan abai sarapan pagi

Awal pagi memerlukan tenaga yang sebaiknya untuk memulakan hari cemerlang anda. Kadar kandungan gula dalam darah adalah elemen penting untuk fungsi otak. Maknanya jika anda tidak mengambil sarapan, ianya membuat anda kurang fokus dan kurang bertenaga untuk menjalani rutin harian.

Milo panas dan sekeping roti sudah memadai untuk keperluan tenaga anda sebelum menjamah hidangan tengahari. Mengantuk dan kurang daya tumpuan adalah simptom biasa bagi mereka yang gemar mengabaikan sarapan pagi.

Pelbagaikan menu sarapan setiap hari dan pastikan ianya berkhasiat. Oat ada adalah sumber terbaik untuk mengurangkan kolesterol. Serat mudah larut membantu mengurangkan risiko penyakit jantung. Tea herba kurang manis membantu untuk anda lebih relaks dan tenang sepanjang hari. Kandungan antioksida, mampu melambatkan proses penuaan.

Selera masyarakat kita

Punca penduduk makan nasi banyak

KUALA TERENGGANU 29 April - Penduduk Terengganu dan Kelantan paling banyak makan nasi kerana mereka tidak suka memasak sendiri, sebaliknya lebih gemar membeli makanan di gerai yang kebanyakan menu pilihan mereka adalah berasaskan nasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, sikap tersebut merupakan antara faktor penduduk kedua-dua negeri ini banyak makan nasi selain ia merupakan makanan ruji.

Menurutnya, Terengganu dan Kelantan terkenal dengan jualan nasi berlauk, nasi dagang dan nasi minyak untuk sarapan pagi, manakala tengah hari dan malam pula adalah nasi campur dan pelbagai lagi seperti nasi goreng.

Katanya, ini berbeza dengan penduduk di Pantai Barat Semenanjung yang mempunyai menu pelbagai seperti karipap dan mi goreng untuk sarapan pagi.
''Orang Terengganu dan Kelantan apabila mahu bersarapan mereka beli nasi dagang atau nasi berlauk yang sudah siap dibungkus.
''Ini budaya penduduk di kedua-dua negeri ini, mereka suka membeli tetapi tidak suka memasak dan kebanyakan gerai pula menjual menu berasaskan nasi sepanjang masa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Md. Yusof Maidin berkata, penduduk Terengganu dan Kelantan paling banyak makan nasi dengan setiap seorang daripada mereka menghabiskan 86 kilogram beras sepanjang tahun lepas.

Dr. A. Rahman berkata, makan nasi banyak tidak mendatangkan masalah kepada mereka yang tidak mempunyai penyakit seperti kencing manis dan masalah kegemukan, cuma kenaikan harga beras akan menyebabkan harga nasi juga akan meningkat.

Bagaimanapun, ujarnya, di Terengganu dan Kelantan walaupun penduduknya paling banyak makan nasi, namun menu yang diambil tidak mengandungi diet yang seimbang daripada segi membekalkan keperluan zat untuk tubuh badan.

''Nasi berlauk dan nasi dagang umpamanya, hanya ada lauk ikan seketul dengan kuah tetapi tidak ada sayur dan daging. Ia bukan diet yang seimbang," ujarnya.
Menurutnya, pengambilan nasi yang baik adalah pada waktu pagi dan tengah hari iaitu untuk tujuan membekalkan tenaga sepanjang hari.

''Malam pula adalah waktu untuk tidur, jadi kalau makan nasi berlebihan kita akan jadi gemuk kerana karbohidrat yang ditukar menjadi gula tidak digunakan sebagai tenaga.
''Untuk orang yang mempunyai kencing manis dan masalah kegemukan, perkara ini tidak bagus selain menyebabkan pernafasan terganggu apabila berbaring kerana perut terlalu kenyang," ujarnya lagi. Petikan Utusan Malaysia