Wednesday, April 29, 2009

Makanan sebagai penawar kesihatan




1. Ambillah semua jenis makanan dalam jumlah kalori yang sepatutnya. Seimbang untuk mendapatkan nutrien bagi keperluan sistem tubuh.

2. Berlebihan akan meransang pengambilan kalori yang tidak digunakan sepenuhnya tubuh. Berlebihan menyebabkan punca kegemukan dan meransang pelbagai penyakit kronik.

3. Kurangkan minuman manis. Elakkan mengambil hidangan pelengkap seperti nasi dan air manis. Selalunya nasi hidangan penuh dan air sirap. Gantikan dengan air putih atau air mineral.

4. Mulakan sarapan yang kaya dengan fiber. Oat adalah sangat bagus untuk mengurangkan kolesterol dalam darah. Jus buah segar juga bagus untuk menggantikan minuman panas yang mengandungi kafein.

5. Usahakan untuk meninggalkan makanan yang menjadi penyebab kegemukan dan meransang penyakit seperti makanan segera, masakan berminyak, bergoreng. Tukar hidangan kepada merebus, memanggang dan mengukus.

6. Ambil masa ketika menikmati makanan agar sistem pencernaan berlaku dengan aman dan tenteran. Maksudnya jangan tergesa-gesa, gelojoh dan minum sambil makan. Satu suap makanan dan meneguk air, ianya boleh melemahkan saluran pencernaan untuk bekerja dengan efisien. Nikmati setiap kunyahan dan anda dapat merasakan satu terapi relaks ketika makan. Mengunyah dan merasai nikmat makanan dan menelan agar tubuh menerima kalori untuk tenaga.

7. Ulam-ulaman sangat bagus untuk sumber serat dan mengandungi khasiat yang baik untuk awet muda. Tidak perlu bersusah-susah menggunakan produk yang mahal.

8. Berpuasa isnin dan khamis sebagai hari membuang toksin secara semulajadi. Tidak perlu mengeluarkan belanja yang mahal untuk urut refleksologi.

Tuesday, April 21, 2009

Perubahan yang kecil untuk impak kesihatan berpanjangan



Kita mula menjejaki suku pertama untuk tahun 2009, anda perlu menoleh kembali segala catatan azam yang dilakukan pada awal tahun. Adakah sudah berada pada landasan yang betul atau sebaliknya. Mahu mengambil makanan berkhasiat, menurunkan berat badan atau menyertai semula aktiviti kecergasan yang sudah lama ditinggalkan. Tip berikut memberi panduan mudah untuk anda.


1. Timbang berat badan, lihat sama ada jarum penimbang condong ke kanan atau sebaliknya. Matlamat anda tahun ini adalah mahu menurunkan berat badan sehingga berat ideal. Sekiranya usaha masih belum menampakkan tanda-tanda sukses, usah cepat stress! Senaraikan semula menu sarapan, tengahari dan malam. Ubah semula makanan sihat dan makanan seimbang sesuai dengan keperluan kalori anda.

2. Anda sudah lama tidak berehat dan menenangkan minda. Sempena pesta buku, apakata anda membeli buku-buku motovasi dan kesihatan untuk memberi ubat kepada minda anda. Mendiamkan diri dengan meletakkan mood dalam karektor dan suasanan baris-baris ayat yang anda baca membuatkan diri hanyut dan hilang sebentar dalam dunia sendiri.

3. Anda sukar untuk meninggalkan minuman berkafein dan minuman manis. Mulakan secara perlahan-lahan dan konsisten. Biasakan dengan rutin mengambil segelas air bermula awal pagi. Jauhkan diri sebentar dengan minuman dan makanan manis. Usaha ini adalah satu permulaan untuk amalan diet sihat.

4. Mengeluarkan peluh adalah satu usaha yang bagus mengeluarkan sisa-sisa toksin yang berkumpul dalam tubuh. Usahakan untuk naik turun tangga sebagai senaman di rumah. Berlari-lari di subuh yang hening sambil menyedut udara segar juga sangat bagus untuk rahsia awet muda.

5. Buah-buahan berwarna warni sangat kaya dengan anti oksida untuk menentang tindakan radikal bebas. Memilih tembikai, jus oren dan mempelam sebagai sumber serat dan juga memudahkan sistem pencernaan bekerja.

6. Stress, cepat marah, kecewa dan putus asa adalah sifat-sifat negatif yang sudah lama berkumpul di dalam diri anda. Anda tidak mendapat apa-apa faedah daripada sifat-sifat tersebut. Adalah lebih baik berubah kepada sabar, tenang, bersyukur dan menerima seadaanya. Perubahan kadangkala membuatkan anda seorang yang baru dilahirkan dalam karektor yang berbeza.

Saturday, April 18, 2009

Pasta Buku 17 hingga 26 April di PWTC



Inilah masa yang ditunggu-tunggu bagi mereka yang berada dalam industri ini. Kaki buku dan juga tidak ketinggalan untuk mendekati penulis dan mendapatkan buku-buku baru di pasaran.

Kesempatan ini juga digunakan untuk bertemu rakan-rakan lama Karangkraf. Saya sangat teruja untuk ke sana, tetapi belum lagi berkesempatan.

Jom ke salun, pulihkan kesegaran badan


Rawatan badan

Setiap rawatan mempunyai ciri-ciri keistimewaan dan kelainan teknik rawatan. Rawatan badan adalah antara paling digemari. Memberi tumpuan kepada masalah utama dengan memilih rawatan yang bersesuaian. Masalah perut mengeleber, tona kulit tidak sekata, badan berbau dan mengembalikan keanjalan kulit. Rawatan boleh dilakukan dengan memilih rawatan berasingan atau melalui cara gabungan. Bagi kulit yang tidak cantik dan kusam, anda boleh melakukan sauna terlebih dahulu untuk melancarkan perjalanan darah, membuang toksin dan memudahkan pembersihan kulit, disambung pula dengan rawatan skrub badan. Memilih skrub herba yang sejuk dan meresap ke dalam liang-liang kulit. Ini memudahkan untuk menanggalkan daki-daki kotor untuk memberi kesegaran dan kelembutan pada kulit. Anda juga boleh memilih untuk mandian susu, bagi memberi impak kecerahan pada kulit dan kesegaran pada kulit.

Rawatan Payudara

Bagi wanita yang kerap melahirkan anak dan memberi susu sepenuh masa kepada bayi, memberi kesan keanjalan payu dara yang kurang tegang. Payu dara yang terletak cantik dan tegang menjadi dambaan wanita yang mementingkan penampilan diri. Selain bertujuan sebagai penjagaan berterusan, ianya juga sebagai penambat hati suami agar anda sentiasa Nampak berseri dan cantik. Teknik rawatan untuk memulihkan ketegangan payu dara boleh dilakukan dengan urutan dan juga pemakaian produk. Teknik urutan yang betul boleh dipelajari daripada mana-mana urutan tradisional. Selain itu senaman regangan yang betul juga boleh dilakukan, sebagai salah satu cara penjagaan berterusan.

Bertangas

Lazimnya bertangas dilakukan di rumah, kini ianya juga boleh dilakukan di salun. Bertangas boleh disatukan dalam pakej rawatan bersalin. Boleh dilakukan selepas hari ke sepuluh atau mengikut kesesuaian. Ada wanita yang mempunyai kadar luka yang sedikit dan mudah bergerak boleh melakukan seawal yang boleh. Sauna, bertangas dan urutan boleh dilakukan serentak dan dimasukkan di dalam pakej rawatan bersalin.

Lulur rempah

Disapu pada seluruh badan bertindak untuk membuang daki kotor dan membersihkan badan. Biasanya selepas bersauna, lulur yang dicampur dengan air dilumurkan. Urutan yang diselang seli menggosok pada bahagian yang bermasalah. Lulur akan yang melekat akan luruh semasa aktiviti menyental dilakukan. Sesetengah lulur yang dicampur mempunyai kandungan herba dan terasa dingin dan sejuk. Terasa kulit tubuh nyaman apabila ramuan meresap dalam pori-pori kulit

Sauna

Sauna boleh dijadikan gaya hidup sihat bagi mereka yang bosan dengan aktiviti senaman yang lain. Boleh diubah dengan di selang seli senaman dengan menggantikan sauna, agar tubuh kembali bertenaga. Sebelum dan selepas bersauna, pastikan anda minum air secukupnya. Sauna tidak digalakkan kepada ibu hamil dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan. Setiap orang tidak sama, tempoh masa ketika bersauna, seeloknya sekiranya anda tidak tahan dengan wap panas, boleh berehat seketika dengan berbaring selama 10 minit, kemudian menyambung kembali.

Ketika bersauna, wap panas yang terkumpul akan meransang liang-liang peluh terbuka. Dalam keadaan kepanasan yang dikawal liang-liang roma yang terbuka mengeluarkan toksin melalui peluh yang membawa bersama kotoran dan toksin dari dalam badan. Bersauna berupaya merasang pelancaran aliran darah, memecah lemak, memberi kesan tidur lena, kulit yang lebih sihat dan berseri.

Bagi menurunkan berat badan, gabungan urutan diselang seli dengan sauna adalah sangat mujarab. Boleh juga mengurut tubuh dengan losyen pemecah lemak. Tiga dalam satu. Selepas berurut selama setengah jam, bersauna setengah jam. Lakukan selang sehari. Hasilnya sangat memuaskan. Banyak salon kecantikan dan spa menawarkan pakej sebegini. Bersauna juga boleh dilakukan selepas aktiviti kecergasan yang lain. Ketika berlolahrag otot –otot tubuh menjadi kejang. Sauna dapat membantu mengendurkan kembali otot-otot tersebut. Selepas bersauna peredaran darah mampu memperbaikaki jaringan otot membuatkan tubuh lebih relaks dan anda kembali segar.

Herba terpilih yang dipanaskan untuk sauna dari sudut perubatan tradisional berupaya menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, penat, senak medu, batu karang, ketegangan saraf, sakit buah pinggang, kebas dan penat. Khasiat daripada tumbuhan terpilih ini juga dikatakan mampu melancarkan pengaliran darah dalam tubuh dan paling istimewa bagi kaum wanita ialah menyegar serta menghaluskan kulit.

Bagi wanita yang mengambil berat mengenai kecantikan wajah dan pernah melakukan rawatan muka di salon-salon kecantikan, rawatan berkenaan termasuk juga kegiatan wap tetapi pada bahagian muka sahaja. Sekiranya melakukan mandi wap bukan sekadar menghalus kulit pada wajah tetapi keseluruhan tubuh. Malah herba ini menerbitkan keharuman yang melekat pada tubuh sehingga kembali ke rumah.

Wednesday, April 8, 2009

Lakukan sendiri rawatan kecantikan di rumah


Tidak perlu mengeluarkan belanja besar jika anda masih mahu merawat diri dengan bajet yang murah. Rawatan di rumah tidaklah sehebat rawatan di salon, tetapi jika rajin hasilnya amat memuaskan
Menegang kulit muka

Ambil tisu muka dilebarkan menjadikan jaringan nipis pastikan tidak berlubang dan koyak. Kemudian celupkan dalam putih telur. Letakkan pada bahagian dahi dan kawasan zon T iaitu atas hidung yang berminyak dan banyak noda-noda hitam. Biarkan sehingga kering, tanggalkan tisu muka dan bersihkan dengan air suam. Kotoran akan melekat pada tisu dan anda dapat merasakan kulit muka tegang.

Kulit mulus dan halus

Ambil segengam beras dan secubit kunyit. Kisar sehingga halus. Gunakan sebagai penyental badan untuk membuang daki-daki kotor seluruh badan. Badan bukan sahaja bersih malah kulit halus dan mulus.

Boleh juga dijadikan skrub pada bahagian wajah, dibiarkan sehingga kering dan basuh dengan air biasa. Hasilnya kulit wajah tegang dan bersih.

Sauna muka

Gunakan air mendidih. Letak dalam bekas kecil yang saiz lebar sama dengan muka anda. Masukkan air panas yang baru mendidih. Hendapkan bahagian muka pada wap air. Biarkan seketika, jika tidak tahan alihkan seketika. Lakukan beberapa kali dan dua kali seminggu. Hasilnya anda pasti berpuas hati untuk mendapatkan kulit yang bersih dan sihat.

Penampilan hebat tanpa gangguan masalah kesihatan

Wanita mahupun lelaki sentiasa mengimpikan penampilan hebat dan menarik. Setiap orang teruja untuk memiliki badan yang sihat dan cergas sebagai daya penarik untuk didampingi. Situasi-situasi berikut menyebabkan anda mudah rasa tersisih dan mula menjauhkan diri.

Berat badan semakin bertambah

Setiap kali anda menanam azam untuk mencapai berat badan normal, setiap kali juga rasa kecewa menyelinap apabila pakaian silih berganti bertukar saiz. Pada mulanya saiz m sahaja mula berubah L dan seterusnya XL. Setiap kali anda menimbang berat, jarum mudah sahaja bergerak dan condong ke kanan. Ini menyebabkan azam anda tinggal azam semata-mata.

Rasa malas untuk bergaul dan bersosial mula membataskan anda dengan masyarakat sekeliling. Teori pengambilan makanan seimbang, aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan tangani stress cara sihat seolah-seolah sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

Bau badan

Masalah ini memberi anda satu pandangan negatif sebagai seorang yang selekeh dan kurang menitikberatkan kebersihan. Alahan pada makanan seperti bawang dan juga peluh berlebihan antara penyebab bau badan yang kurang menyenangkan.

Sentiasa memastikan mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Pakai pakaian yang bersih dan mempunyai fabrik menyerap peluh. Sapukan losyen nyah bau badan yang bersesuaian dan mencukur bulu ketiak dijadikan satu rutin untuk mengelakkan masalah ini.

Kulit yang sihat

Muka berjerawat dan kusam menyebabkan anda rasa rendah diri dan malu untuk tampil ke hadapan. Selalunya setiap orang mempunyai jenis kulit yang berbeza iaitu kulit normal, kering dan berminyak.

Nilai pH bagi kulit normal ialah 4.2 hingga 5.6. Penjagaan kesihatan kulit boleh dilakukan dengan melakukan pembersihan rutin. Pemilihan produk yang sesuai berdasarkan jenis kulit boleh dirujuk kepada pakar kulit terlebih dahulu. Ini perlu dilakukan agar anda tidak tersalah memilih produk. Banyak kes yang berlaku produk yang kurang sesuai dengan kulit menyebabkan lebih banyak jerawat, kusam dan muncul noda-noda hitam.

Tidak kurang juga penggunaan hidrokinon yang berlebihan pada sesuatu produk meninggalkan kesan pengelupasan luar biasa dan kemerah-merahan apabila terkena panahan matahari.

Untuk mendapatkan kulit sihat, lakukan pembersihan sekurang-kurangnya dua kali sehari, menggunakan pelembap yang sesuai tetapi bagi kulit yang berminyak pelembap tidak perlu. Makan makanan seimbang dengan melebihkan serat amat bagus untuk mendapat kulit sihat. Bersenam secara konsisten mampu meningkatkan perpeluhan untuk membantu pengeluaran toksin dan melancarkan peredaran darah.

Wednesday, April 1, 2009

Kembalikan tenaga diri


Di saat anda merasakan kehilangan, kekecewaan, keletihan dan rasa tidak bermotivasi. Kadangkala rasa malas membuatkan anda tidak bertenaga dan mahu kembali mood tenaga dalaman. Selongkar perkara-perkara yang boleh membangkitkan mood ceria anda.

Menelefon rakan-rakan lama.

Bersembang mengenang kembali zaman kanak-kanak, persekolahan dan alam remaja. Kadangkala peristiwa lucu yang masih diingati membuatkan anda tidak kering gusi dan terasa bahagia kembali apabila mengamit memori lama

Berkongsi selera

Buka buku resepi. Sediakan resepi hebat dan undang teman-teman paling rapat. Luangkan masa untuk berborak sambil makan-makan. Aktiviti ini boleh juga melibatkan suami dan anak-anak. Kemeriahan berkongsi cerita membuatkan anda rasa masih dihargai dan punyai orang-orang istimewa di sekeliling anda.

Membeli pakaian baru

Dek kesibukan waktu anda tidak mempunyai waktu untuk membeli belah. Pilih satu hari untuk ambil cuti pada waktu bekerja biasa. Anda keluar seperti mereka yang ingin ke destinasi kerja. Tetapi kali ini anda ingin melencong ke pusat membeli belah. Jika mahu lebih terisi, buat temujanji membeli belah bersama-sama suami. Jika ingin sendirian lakukan sahaja. Mulakan dengan bersarapan di mana-mana restoran kegemaran anda. Aktiviti seterusnya, langkah anda kini menuju ke pusat membeli belah. Pilihlah beberapa helai pakaian baru yang berwarna ceria. Bagi wanita keadaan ini memberi satu tenaga baru yang membuatkan bersemangat untuk bekerja sambil menggayakan pakaian baru.

Mulakan perkara baru

Mulakan rutin pagi anda dengan mengambil diet berkhasiat dan kaya fiber seperti oat, jus buah dan sandwich. Atau mulakan waktu di pejabat dengan mengambil 10 minit masa untuk mengemas meja anda yang berselarak atau lakukan sebelum pulang ke rumah. Pastikan tempat kerja anda berkeadaan kemas dan tersusun rapi. Ini memberi semangat untuk sentiasa bersedia.

Lakukan hobi baru

Hobi baru anda mengumpul koleksi senarai tempat percutian hujung tahun di lokasi idaman. Anda sudah memulakan berjimat untuk bajet anda. Jadi anda sudah menyediakan tabung khas percutian bermula awal tahun baru. Sudah tentunya anda sentias ternanti-nanti tarikh percutian tersebut walaupun masih lambat lagi. Keadaan ini membuatkan anda sentiasa bersemangat untuk mengumpul wang dan bekerja dengan penuh ceria.