Saturday, February 27, 2010

Pengalaman Berpantang Selepas Melahirkan Fahry

Peserta ke-2, kategori B- Mommy Lyna


Fahry adalah anak saya yang kedua. Pengalaman berpantang selepas melahirkannya adalah amat unik. Kerana apa? Kerana bayi saya adalah anak istimewa dan tidak cukup bulan pula. Tambahan pula ketika itu saya berjauhan dari keluarga, nun jauh di Sarawak. Jika orang lain berpantang di rumah ibu/mentua, dengan sepenuh perhatian, meraih pengalaman menyusukan dan menjaga bayi yang baru lahir... tapi tidak saya.

Sepanjang masa berpantang, anak saya tidak berada di sini saya. Fahry ditempatkan di dalam inkubator kerana berat badannya yang sangat ringan, hanya 1.2kg semasa dilahirkan. Jadi saya terpaksa berulang-alik ke hospital setiap hari untuk menjenguknya dan memberikan susu kepadanya. Saya juga pernah tinggal di hospital untuk menjaga dia (untuk bayi pramatang, ibu digalakkan room-in atau tinggal bersama).



Jadinya, pantang seperti orang lain tu saya tak lalui. Namun, saya tetap pergi berurut dan menjaga pemakanan. Cuma saya tidak ada mandi daun kayu seperti yang saya alami semasa berpantang anak pertama dulu.

Untuk memudahkan saya, suami telah membelikan Gamogen, pati ikan haruan dan bengkung moden, supaya saya mudah untuk bergerak. Saya juga mengambil vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan saya. Maklum saja, saya masih menyusukan anak sulung saya yang baru berusia 14 bulan ketika itu. Jadi setiap hari rutin saya ialah menguruskan si abang, mengepam susu buat si adik dan ke hospital untuk memberinya susu melalui tiub. Memang mencabar pada mulanya, kerana saya masih takut2, namun bila dah biasa, saya rasa lebih mudah memberinya minum melalui tiub berbanding dengan menggunakan cawan (setelah keluar inkubator) kerana bayi saya tidak suka kepada susu perahan :)

Saya meneruskan hidup seperti biasa, kadangkala memandu untuk menjenguk Fahry di hospital. Namun saya amat berterima kasih kepada suami yang tak putus2 memberi sokongan kepada saya. Setiap hari kami mendoakan keselamatan Fahry, walaupun dirinya tak sempurna anggota (cacatler) tapi bagi saya dialah permata hati kami. Fahry telah memberi kami kegembiraan dan keberkatan.
Akhirnya tempoh berpantang saya habis (walaupun bukan menjalani pantang yang ketat), dan Fahry dibenarnkan pulang sebaik saja saya habis pantang. Maka kami melalui fasa bersama, setelah lebih sebulan berjauhan. Masa itulah pertama kali saya memandikannya, memeluknya ketika tidur, bermain-main dengannya.

Friday, February 26, 2010

Bertangas : rawatan semasa dan selepas bersalin

Oleh: Masayu Ahmad


Bertangas adalah rawatan yang boleh dilakukan selepas mandi air rebusan. Rawatan bertangas boleh dilakukan setiap hari selama 44 hari.

Manfaat bertangas sangat baik agar luka cepat kering dan jahitan cepat sembuh.

Manfaat yang lain, bahagian sulit cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta, mengelakkan keluar tombong (proplase). Berikut adalah ramuan dan penyediaan bertangas.

Ramuan tangas:

• 10 keping asam gelugur

• 3 helai daun sirih

• 2 sudu besar garam kasar

• Segenggam inai

• 2 cm halia

• 3 biji manjakani

Caranya :

Rebus semua bahan bersama air sehingga mendidih. Rebus di dalam periuk tanah dan kemudiannya bertangas selama 20 minit. Untuk hasil yang lebih baik boleh dilakukan dua hingga tiga kali sehari selepas mandi air rebusan selama 44 hari. Air yang sejuk boleh dijadikan bahan pencuci bahagian sulit.

Wanita yang tidak bersalin dan habis berpantang juga boleh melakukan amalan ini untuk penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.

Tuesday, February 23, 2010

Bagaimana makanan boleh dicemari aflatoksin?


Aflatoksin


Aflatoksin adalah kumpulan mikotoksin yan terbentuk secara semulajadi daripada kulat yang tertentu sahaja terutama sekali Aspergillus flavus dan Asperigillus parasiticus.

Bagaimana makanana boleh dicemari Aflatoksin?

Keadaan yang boleh menyebabakan makanan dicemari Alatoksin ialah:

• Makanan yang terdedah kepada kelembapan persekitaran yang tinggi dalam tempoh masa yang panjang.

• Keadaan penyimpanan makanan yang dilonggokan atau disimpan dalam kuantiti yang banyak boleh menghalang pengaliran udara yang baik.
Apakah kumpulan makanan yang biasa dicemari aflatoksin?

• Kekacang dan hasilannya- kacang tanaha, pistachio, mentega kacang, badam.

• Bijirin dan hasilannya- jagung, beras, gandum, sekoi, minyak kacang soya, minyak jagung, minyak biji matahari.

• Rempah ratus-cili, lada hitam, kunyit, halia dan ketumbar.

Kesan kepada kesihatan

Pendedahan terhadap aflatoksin pada aras yang tinggi dan berpanjangan berkemungkinan boleh menyebabkan barah hati dan keracunan makanan (aflatoksikosis).

Sumber: Risalah Kementerian Kesihatan Malaysia (Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan, Mac 2007)

Monday, February 22, 2010

Fahami label makanan dan kepentingannya


Sumber: Brosur, Seksyen Standard, Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan. Kementerian Kesihatan Malaysia.

Senarai makanan ynag memerlukan penandaan tarikh


• Biskut, roti.

• Makanan berkaling untuk bayi dan kanak-kanak.

• Makanan yang berasaskan bijirin untuk bayi dan kanak-kanak.

• Coklat, coklat putih dan coklat susu.

• Krim kelapa, santan kelapa, pes kelapa, serbuk krim kelapa dan kelapa parut.

• Lemak makan dan mintak makan selain daripada marjerin dalam bekas kedap udara.

• Aditif makanan yang mempunyai tempoh penggunaan kurang dari 18 bulan.

• Rumusan bayi

• Telur cecair, kuning telur cecair, putih telur cecair, telur kering, kuning telur kering dan putih telur kering.

• Makanan tenaga rendah bagi mana-mana makanan yang memerlukan penandaan tarikh seperti yang terdapat di dalam senarai ini.

• Hasil daging dalam bekas tidak kedap udara.

• Susu dan hasil susu kecuali keju keras.

• Minuman ringan Pasteur tak berkarbonar dan minuman ringan U.H.T tak berkarbonat.

• Tambahan zat makanan atau sediaan tambahan zat makanan yang dijual sebagai manakan.

• Jus buah Pasteur.

• Mentega kacang.

• Seri kaya.

• Sos.

• Makanan bertujuang khas.


Makanan yang siap dibungkus untuk jualan mesti mempunyai label.

• Memberi maklumat tentang kandungan produk makanan.

• Membebalkan maklumat penggunaan makanan.

• Memudahkan aktiviti penguatkuasaan dan tindakan undang-undang.

Berhati-hati!

• Belilah makanan yang siap dibungkus yang berlabel.

• Telitilah apakah bahan-bahan yang terkandung di dalam produk makanan.

• Pastikan makanan tidak melewati tarikh luput.

• Baca dengan teliti dan patuhi cara penyimpanan makanan.

• Fahami cara penyediaan makanan.

• Teliti maklumat pemakanan pada label.

• Elakkan membeli makanan dengan pembungkusan yang telah rosak. (Kemek, karat atau menggelembung).


Keterangan di label makanan.

• Nama sebutan sebenat makanan. Makanan perlu dilabel dengan nama yang jelas, tepat dan tidak mengelirukan.

• Bahasan yang digunakan. Produk tempatan dilabel dalam Bahasan Malaysia. Produk yang diimport dilabel dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

• Senarai ramuan. Ramaun yang digunakan dalam produk yang disusun mengikut berat menurun.

• Arahan penyimpanan. Perlu mengikut arahan penyimpanan yang disarankan.

• Maklumat pengeluar. Nama dan alamat pengilang/pembungkus/ejen (termasuk produk import). Maklumat produk import iaitu nama dan alamat pengimport dan negara asal.

• Akuan pemakanan. Menunjukkan nilai pemakanan produk tersebut.

• Pelabelan pemakanan. Membantu pengguna membuat perbandingan dengan kualiti pemakanan di antara satu produk dengan produk yang lain.

• Kaedah penyediaan. Perlu mengikut kaedah yang disarankan.

• Penyataan aditif makanan. Bahan-bahan tersebut adalah seperti bahan pengawet, bahan pewarna, bahan perisa, penambah perisa, antipengoksida dan kondisioner makanan.

• Penyataan mengenai kuantiti/ berat/ isipadu. Penyataan mengenai berat bersih atau isipadu bilangan minimum isi bungkusan makanan tersebut.

• Penandaan tarikh. Pastikan makanan yang dipilih tidak melepasi tarikh luput.

Thursday, February 18, 2010

Kapsul ubat gelatin babi dicop halal

Sumber:http://hpaampang.blogspot.com/2009/11/kapsul-ubat-gelatin-babi-dicop-halal.html

Nov 2, 09 5:01pm Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir. Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman (foto, kanan) berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

 "Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang hari ini.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang. Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas. "Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal. Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn (foto, kiri) berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

 Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir. Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai. Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut. Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram. BERNAMA

Tuesday, February 16, 2010

Nida berpantang ditemani ibu- Peserta pertama kategori B

Gambar anakku Nur Hanisah ketika berusia 10 hari

Peserta pertama kategori B; http://along-nidar.blogspot.com/2010/02/peraduan-pengalaman-berpantang.html

Proses berpantang selepas melahirkan bayi merupakan satu pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan oleh seorang ibu. Sebaik sahaja bayi lahir ke dunia, bermulalah proses berpantang ini.


Aku bernasib baik kerana masih mempunyai ibu di sisi yang menjaga aku ketika berpantang. Sedikit sebanyak ilmu berpantang dapat ku pelajari darinya. Selepas bayiku diazankan dan diiqamatkan, kemudian perlulah ditahnikkan (belah mulut) dahulu.

Aku memulakan proses mengurut pada hari ketiga selepas bersalin kerana menurut ibuku tidak elok seandainya proses mengurut dilakukan awal ini kerana segala urat saraf masih kembang dan badan masih terlalu lemah untuk diurut. Selama tujuh hari aku diurut oleh tukang urut di kampungku.

Dari segi makanan aku tidaklah terlalu berpantang sangat, mungkin kerana ibuku juga begitu. Tetapi ada juga sesetengah makanan yang aku dilarang memakannya selama tempoh berpantang, antaranya ikan yang berbisa (sembilang, pari dan lain-lain), buah-buahan yang sejuk dan tajam (tembikai, nenas dll), makanan yang sudah bermalam, makanan yang terlalu pedas, air minuman hendaklah sentiasa suam, air batu ditegah sama sekali.

Aku wajib meminum air kosong dengan banyak, setiap malam sebelum tidur akan ku isikan 1.0 liter air ke dalam botol dan ku letakkan di meja sisi katil serta ku disiplinkan diri agar sebelum pagi menjelang air tersebut perlulah ku habiskan. Ada pendapat yang mengatakan tidak elok meminum air dengan banyak kerana dikhuatiri rahim akan lambat mengecut, tapi bagi aku air perlu untuk pembentukan susu, menggantikan semula darah yang banyak hilang ketika proses bersalin dan yang paling penting untuk mengelakkan sembelit, dan Alhamdulillah aku merupakan guru Biologi, sekurang-kurangnya ilmu Sains ini dapat ku aplikasikan semasa aku berpantang.

Selepas mandi dengan air suam, bermulalah proses bertungku kerana menurut ibuku ia dapat memecahkan darah-darah yang beku di dalam rahim, dan ia sememangnya benar, setiap kali selepas aku bertungku, aku dapati banyak darah yang akan keluar. Kemudian aku lumurkan param ke seluruh tubuhku.

Untuk bahagian perut, aku lumurkan kapur yang dicampur dengan limau nipis (untuk mengecutkan bahagian perut). Dibahagian dahi pula, aku lumurkan dengan pilis dan ku ikatkan rambut sekuat yang mungkin, ini adalah untuk membuang angin dibahagian kepala. Perkara terakhir yang akan kubuat ialah berbengkung. Aku menggunakan bengkung Jawa, iaitu melilitkan kain yang sepanjang 2.5 meter dari pangkal peha hingga ke bahagian atas perut. Biasanya aku dibantu oleh ibuku semasa dalam proses melilit bengkung Jawa ini. Dalam bab berpantang, aku amat menitik beratkan proses membengkung kerana bagi aku dapat mengekalkan bentuk badan selain membantu proses pengecutan rahim.

Biasanya aku akan memandikan bayi selepas aku menyiapkan diriku. Setelah aku memandikan bayi, aku akan menuam perut bayi dengan daun sirih. Ini dapat membantu mengurangkan angin diperut bayi. Selama dalam proses berpantang juga aku banyak meminum susu (Anmum) dan makan lobak putih untuk memperbanyakkan susu badan.

Selama 44 hari aku tidak lepas dari meminum air akar kayu yang aku beli dari orang kampungku, walaupun rasanya pahit tapi aku rasa bertenaga selepas meminum air ini. Tiga hari pertama selepas aku bersalin, ibuku telah menyiapkan air kunyit yang dicampurkan dengan madu untukku minum kerana menurutnya dalam menyembuhkan luka dalaman. Nasib baik ditambah madu, kalau tidak mustahil dapat ku habiskan air kunyit tersebut.

Aku ini agak aktif orangnya, bila melalui proses berpantang ini, perkara yang aku lemah ialah terpaksa jalan seperti orang Jepun. Bukaan langkah hendaklah kecil, duduk pun tak boleh bersila kena duduk bersimpuh, naik tangga pun perlu perlahan-lahan.

Kebanyakan orang mengamalkan tangas ketika dalam berpantang, tetapi tidak bagiku. Aku lebih menitik beratkan bertungku dan berbengkung. Sehinggakan pada waktu malam juga aku turut berbengkung. Tapi lain orang lain caranya, yang penting pesan ibuku, berpantanglah seboleh yang mungkin kerana ia adalah kunci kebahagiaan suami dan kesihatan diri.

Nota penganjur: Setiap peserta mohon sertakan maklumat berikut,
 
Nama penuh (mengikut kad pengenalan):
Email:
Blog:

Friday, February 5, 2010

Manfaat refleksologi

Teks: Masayu Ahmad



Masyarakat moden hari ini, mula menjadikan refleksologi sebagai saalah satu rawatan kesihatan alternatif. Urutan ini dikatakan mampu mengurangkan tekanan dan mengenalpasti masalah pada sistem tubuh.


Bukti arkeologi di Mesir (2330 SM), China (2704 SM) dan Jepun (690 M) menunjukkan sistem perubatan reflexologi kuno sudah ditemui. Di Barat konsep refleksologi mula muncul pada abad ke-19, berdasarkan kajian ke atas sistem saraf dan refleks.

Secara umum manfaat daripada reflexologi harus dilakukan untuk mengurangkan tekanan dan memulihkan kesihatan. Kerana kaki dan tangan dikatakan memainkan peranan penting mengenalpasti dan memberi isyarat terdapat gangguan terhadap keseimbangan tubuh badan.

Refleksologi dikatakan memberi manfaat untuk mengetahui status kesihatan melalui sistem saraf di telapak kaki. Namun pada masa yang sama, manfaat refleksologi dijadikan sebagai alternatif untuk mencegah dan sebagai pelengkap kaedah rawatan perubatan moden.
Manfaat refleksologi meliputi:


Relaksasi

Pengurangan sakit

Pencegahan untuk masalah kesihatan

Memulihkan kecergasan

Melancarkan aliran darah

Tuesday, February 2, 2010

Persediaan berpantang

Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://nilamberkat.blogspot.com/


Fizikal

Anda akan mengalami proses akhir ketika kandungan menghampiri tarikh kelahiran. Sangat perlu untuk memastikan pengambilan pemakanan seimbang, berat badan tidak berlebihan dan juga anda kekal aktif bertenaga.

Untuk memudahkan proses bersalin, anda harus banyak bergerak, berjalan, turun naik tangga. Jangan beri alasan malas sekiranya anda mahukan prose bersalin yang lebih mudah. Selebihnya mudah atau tidak bergantung kepada rezeki. Namun anda masih boleh bersedia dengan menikmati hari-hari teakhir kelahiran dengan melakukan regangan, berjalan perlahan-lahan dan sebagainya.

Mental

Persediaan mental dengan membaca surah-surah pilihan, agar anda sentiasa tenang dan menikmati hari-hari kandungan yang semakin membesar.

Biarkan fikiran sentiasa relaks dan ketika kontraksi pertama berlaku, sematkan dalam diri bahawa masanya sudah tiba, anda harus tempuhi dengan tenang.

Jangan terbawa-bawa kisah dan pengalaman yang kurang menyenangkan perasan. Setiap wanita hamil mengalami keadaan yang berbeza.

Peralatan bayi

Buat senarai peralatan bayi, untuk memudahkan anda tahu apa yang sudah ada dan apa yang belum. Simpan dan letak di satu sudut yang memudahkan anda untuk mengemas kini.

Kelengkapan berpantang

Kelengkapan berpantang, termasuklah barut, bengkung, tungku, ubatan atau jamu untuk memulihkan kesihatan dalaman dan luaran. Menyediakan bilik berpantang juga adalah memudahkan anda berehat di bilik khusus tanpa gangguan.

Penjagaan semasa berpantang

Sama ada kelahiran sulung, anak ke dua atau ke tiga, anda perlu membuat persediaan siapa yang akan menjaga anda kelak. Sekiranya berada di rumah mertua, anda boleh selidik lebih awal gaya penjagaan ibu mertua melalui adik beradi, ipar duai atau berbincang sendiri dengan ibu mertua.

Begitu juga sekiranya dijaga suami atau adik beradik, anda boleh berbincang terlebih dahulu apa yang anda mahukan dan juga berdasarkan pengalaman mereka.

Hospital bersalin

Sangat penting menyenaraikan maklumat awal berkenaan lokasi atau tempat bersalin. Senaraikan beberapa lokasi pilihan untuk memudahkan anda ketika berada situasi kecemasan ketika kontraksi atau tanda-tanda bersalin sudah ada.

Informasi wanita hamil dan penjagaan bayi

Maklumat dan info berkaitan kehamilan dan penjagaan bayi boleh didapati melalui buku-buku, artikel di majalah, laman web kehamilan, perkongsian pengalaman dan juga pertanyaan kepada pakar perbidanan. Gunakan masa yang ada untuk meningkatkan informasi anda berkaitan kehamilan dan penjagaan bayi, agar memudahkan anda membuat persediaan dengan lebih sempurna dan teratur