Monday, February 23, 2009

Spa pilihan rehat gaya hidup moden

Seharian suntuk memberi tumpuan menyiapkan kerja pejabat. Anda kusyuk menekuni skrin komputer menyiapkan tender, proposal dan laporan kerja. Timbunan fail di atas meja yang perlu diselesaikan tidak termasuk beberapa panggilan penting yang perlu anda lakukan pada hari itu.

Bermula jam 9 pagi menjengah tengahari, anda belum boleh bergerak walau beberapa minit untuk berborak-borak atau lepak sebentar bersama teman sepejabat. Mahu berborak dalam talian internet juga belum berkesempatan. Anda pendamkan sebentar kemahuan lantaran tugasan yang belum selesai. Sesekali nafas dihelakan untuk melepaskan beban penat. Konsentrasi masih lagi untuk menyiapkan kerja. Perut lapar berkeroncong, tengahari anda masih tidak berkesempatan untuk mencari ruang masa untuk makan. Hanya biskut dan air kopi panas sebagai alas perut.

Ramai antara kita pernah berada dalam situasi ini. Sentiasa memberi alas an sibuk, sibuk dan sibuk. Pulang ke rumah jika boleh mahu melayang sahaja di atas tilam empuk dan terus lena. Sambung pula rutin sebegitu untuk keesokkan harinya. Penat tidak terkata.

Indahnya jika tubuh dan minda anda berada dalam ruangan yang relaks dan mendamaikan. Badan terbaring dalam suasanan redup dan tenang. Desiran air atau muzik klasik untuk memberi ubat kepada minda yang tenat untuk rehat.

Urutan lembut pada bahagian kepala, bahu dan lengan. Sesekali anda terasa geli, sesekali terasa sakit apabila bahagian badan yang diurut mengena pada urat saraf yang tenat.

Keenakkan badan diulit, diurut membuatkan anda terlena kerana kepenatan kini sudah berganti sedikit demi sedikit dengan kenikmatan urutan aromaterapi. Selama satu jam anda dilayan bak puteri raja. Mahu terlena dan seakan-akan tidak mahu bangun lagi.

Selesai sesi urutan anda diberi minuman teh herba untuk memberi kesegaran badan. Mandi wap atau bersauna pilihan seterusnya. Boleh juga untuk melakukan rawatan tangan dan kaki. Atau teruskan sahaja niat anda untuk berjakuzi.
Kesegaran mula menyelubungi tubuh anda. Kini anda tampil bertenaga untuk pulang ke rumah. Kembali kepada rutin sibuk anda setiap hari. Namun yang pastinya jangan kedekut untuk melabur sedikit untuk merawat diri setelah kepenatan bekerja

Memilih snek yang sepatutnya

Friday, February 13, 2009

Aktiviti santai kukuhkan ikatan keluarga



Hujung minggu adalah waktunya anda meluangkan masa untuk bersama keluarga. Biarpun pada inilah masa untuk berehat dan menghilangkan stress, lakukan aktiviti santai untuk melepaskan bebanan penat selama lima hari bekerja. Keluarga perlu diberi perhatian manakala anda juga dapat berehat. Aktiviti berikut boleh membantu anda berkongsi masa santai bersama keluarga.

1. Mulakan pada awal pagi, para suami bantulah isteri melakukan kerja rumah sebelum memulakan aktiviti sibuk yang lain. Mengemop lantai, menjemur pakaian, membersihkan rumah. Buat agihan tugas. Lakukan aktiviti ini bersama, tenaga yang digerakkan mampu membakar kalori pada pagi hari. Isteri pastinya tersenyum bangga melihat suami ringan tulang untuk membantu.

2. Luangkan masa bersama untuk aktiviti bersarapan. Tetapkan hari ini adalah hari masakan untuk keluarga. Sebagai isteri pilih menu menarik dan menyihatkan untuk ahli keluarga anda.

3. Buat kelainan bersarapan diluar, boleh memilih untuk restoran kegemaran, atau masak dan bawa bekal makan diluar rumah. Banyak tempat-tempat rekriasi menarik yang boleh anda sekeluarga kunjungi.

4. Waktu pagi atau petang, pilih untuk beriadah bersama. Taman tasik, tepi pantai adalah antara destinasi menarik. Sambil bersantai anda tetap meluangkan masa untuk mendapatkan terapi oksigen dalam persekitaran yang menyegarkan.

5. Anda sekeluarga gemar membeli belah. Jadikan ia sebagai satu terapi berjalan kaki. Sambil melilau dari satu kedai ke satu kedai dan dari satu kiosk ke satu kiosk, anda sudah banyak melatih untuk berjalan kaki.

6. Aktiviti berkebun juga menarik untuk dicuba bersama-sama. Landskap hijau taman membuatkan anda teruja berada di rumah sendiri. Dekorasi khas laman hijau di persekitaran laman anda membuatkan anda mahu berlama-lamaan di rumah. Sediakan sebuah meja dan kerusi santai untuk aktiviti minum pagi atau petang.

Jadikan hujung minggu penuh makna bersama keluarga. Buang peluh dan hidup penuh aktiviti sebagai pengisian untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.