Tuesday, June 23, 2009

Cegah dan kawal penyakit wanita

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH, adawiyah.koh@utusan.com.my
Petikan: Utusan Malaysia
ARKIB : 10/05/2009

PERSEDIAAN menghadapi peringkat menopaus perlu mengurangkan tekanan.

KITA sering mengungkap kasih ibu membawa ke syurga. Sentuhan ibu juga yang mengeratkan hubungan anak serta membina kesejahteraan keluarga. Bukan itu sahaja, peranan wanita yang bergelar ibu cukup besar dalam menguruskan rutin keluarga, malahan, mereka yang bekerja terpaksa menguruskan dua tugas setiap hari.

Walaupun masa mereka terhad, seorang ibu akan berusaha melaksanakan tugas di rumah dan pejabat dengan sempurna. Di sebalik wajah yang tabah dan tenang, golongan ini tidak akan lari daripada risiko serangan penyakit berbahaya.

Bahkan, peranan seorang ibu bukan sedar mendidik atau membesarkan anak tetapi dia merupakan wanita pertama yang hadir dalam hidup setiap insan. Ibu jugalah mengandungkan kita selama sembilan bulan dan kita menghuni rahimnya, sebelum kita melihat dunia. Tidak hanya itu, ibu jugalah yang bertarung nyawa, menjaga, membelai, membesarkan dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kita yang bergelar anak.

Hakikatnya, membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga memang memenatkan buat wanita moden kini. Ada kalanya tiada masa untuk memikirkan diri sendiri.

Ada juga yang mengambil berat soal kesihatan tetapi terlalu sibuk untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kandungan khasiat pada label makanan. Ada juga yang tidak pasti jika ia membekalkan pelbagai khasiat diperlukan untuk kehidupan seharian.

Kekurangan khasiat penting boleh mengakibatkan seseorang itu tidak mampu berfungsi pada tahap sewajarnya. Ia boleh menyebabkan keletihan, mudah dijangkiti penyakit dan tiada rangsangan untuk melakukan kerja seharian.

Apabila tahap tenaga semakin rendah, kita sangat mudah untuk tidak melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan ini menganggu gaya hidup wanita.

Emosi wanita sebagai isteri, ibu dan pengurus rumah tangga mempunyai pengaruh besar kepada seisi keluarga. Masalah akan bertambah teruk jika suami dan anak tidak faham apa yang dilalui wanita sehingga ada yang mengalami tekanan dan kemurungan.

Jadi wanita berkemungkinan berasa rendah diri atau malu kerana mereka mempunyai gejala penyakit seperti gangguan hormon ketika kehamilan, menopaus dan sebagainya hingga gangguan emosi.

Sempena hari ibu yang jatuh pada hari ini, seisi keluarga perlu memahami penyakit-penyakit yang boleh menyerang seorang ibu.

Tidak hanya meraikan hari istimewa ini di tempat-tempat makan malam seperti hotel, namun sebagai suami dan anak, anda perlu memahami keperluan kesihatan ibu.

Pencegahan awal dan penjagaan berterusan kesihatan ibu amat penting untung membina kesejahteraan keluarga dan membendung kemurungan emosi golongan ini.

Dalam membicarakan penyakit serius wanita, terdapat empat peringkat umur yang harus difahami wanita.

Keempat-empat peringkat ini termasuk 18 hingga 30 tahun, 30 hingga 50 tahun, 50 hingga 70 tahun dan 70 tahun ke atas.

Masing-masing mempunyai risiko penyakit yang berbeza.

Bagi golongan ibu, terdapat enam penyakit yang sering dihidapi iaitu kanser payu dara, kanser rahim atau serviks, menopaus, serangan jantung, kehamilan dan osteoporosis.

Namun, terdapat juga penyakit puan lain yang sering dialami seperti penyakit seksual dan mata.

Kehadiran penyakit ini dalam diri wanita memberi impak terhadap emosi wanita kerana ketidakstabilan perasaan.

Menurut Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Sakit Puan, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, kanser payu dara masih menjadi penyakit umum wanita di seluruh dunia.

Menurut nisbah penyakit ini, 19 wanita daripada jumlah penduduk mempunyai risiko menghidap penyakit ini.

"Kanser payu dara ialah ketumbuhan atau tumor payu dara boleh jadi berkanser atau benigna (tumor bukan barah). Ketumbuhan mungkin disebabkan oleh fibroadenoma dan penyakit fibrosistik. Kedua-dua bengkak ini bagaimanapun hampir tidak pernah bertukar menjadi kanser," katanya pada bengkel media anjuran Weber Shandwick dengan sokongan Novartis.

Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, disusuli dengan lelehan yang keluar dari puting, kadang kala mengandungi darah.

Bagi mengesan awal penyakit ini, wanita yang berumur 50 tahun ke atas disarankan melakukan pemeriksaan mamogram. Namun, wanita berumur 40 hingga 49 tahun yang mempunyai sejarah keluarga berkaitan kanser ini perlu melakukan pemeriksaan mamogram awal.

"Selain mamogram, kaedah pemeriksaan payu dara sendiri (BSE) membantu wanita mengenali tubuh sendiri dan dapat mengesan keganjilan pada payu dara mereka.

Tidak dapat dinafikan masih ramai wanita malu untuk memeriksa dan berasa tidak selesa menyentuh tubuh sendiri. Jika ada benjolan, segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Usah tunggu benjolan menjadi sakit kerana risiko penyakit bertambah buruk sangat tinggi," ujarnya.

Selain kanser payu dara, seorang ibu juga berisiko tinggi diserang kanser rahim atau serviks..

Menurut laporan Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan, kanser ini merupakan jumlah kanser kedua tertinggi.

Jumlah 12.9 peratus pesakit kanser wanita dengan 19.7 peratus kes daripada 10 000 penduduk.

"Pendarahan selepas mengadakan hubungan seks antara tanda penting barah kian membesar. Oleh kerana tiada tanda atau kesakitan pada peringkat awal barah pangkal rahim, ramai wanita kurang memberi perhatian pada penyakit ini. Barah pangkal rahim boleh dikesan melalui ujian lumuran pap (pap smear) yang diperkenalkan sejak 60 tahun lalu," jelas Dr. Nor Ashikin.

Sebenarnya semua wanita terdedah pada jangkitan HPV, tetapi biasanya sistem imun badan dapat menghapuskannya dalam masa satu atau dua tahun.

Namun dalam sesetengah keadaan, virus ini terus tinggal dalam badan sehingga wanita tua tanpa menyebabkan barah.

" Virus akan membiak dan mula menyebabkan barah apabila sistem imun badan lemah. Proses ini mengambil masa lama; antara lima hingga 10 tahun untuk membentuk fasa pra kanser. Dari fasa ini ia mengambil masa lima hingga 10 tahun lagi untuk menjadi kanser. Ini sebabnya wanita disaran menjalani ujian lumuran pap yang boleh mengesan kehadiran sel kanser dari peringkat awal," jelasnya.

Tidak ketinggalan, seorang ibu yang meningkat usia, mereka akan melalui fasa menopaus. Kebanyakan orang ada persepsi kurang menyenangkan terhadap menopaus, terutama apabila ia dikaitkan dengan perubahan sikap dan emosi wanita.

"Hakikatnya, perubahan emosi wanita yang di ambang atau menjalani proses menopaus bukan dibuat-buat kerana semuanya berkaitan dengan perubahan hormon estrogen dan progesteron.

Menopaus adalah proses yang berlaku secara perlahan-lahan dan diiringi beberapa gejala seperti selaran kepanasan, perubahan emosi, kekeringan dan sukar tidur malam," jelasnya.

Seseorang wanita hanya dikatakan menopaus apabila haidnya terhenti selama setahun. Selepas setahun bebas haid, sebarang pendarahan vagina dianggap tidak normal dan jika ia berlaku pada anda, segera berjumpa pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut.

Kekurangan maklumat dan kewujudan pelbagai teori tidak tepat menyebabkan ramai orang, termasuk wanita, mempunyai persepsi negatif terhadap menopaus.

Kaedah terapi penggantian hormon (HRT) penting untuk mencegah penyakit jantung dan osteoporosis.

Namun yang lebih penting ialah kesejahteraan seseorang wanita selepas menopaus khususnya kestabilan emosi.

Sebagai persediaan, setiap wanita perlu bersedia menghadapi fasa menopaus dengan sikap terbuka dan berfikiran positif.

Selain tiga penyakit ini, Dr. Nor Ashikin memberitahu, wanita juga berisiko menghidap serangan jantung.

Sakit jantung menjadi faktor utama kematian lelaki dan wanita di seluruh dunia termasuk 22.5 peratus penyebab kematian wanita Malaysia ialah sakit jantung.

"Apabila wanita mencapai umur 50 tahun, dia mudah diserang sakit jantung. Wanita yang mengalami menopaus, peningkatan umur, sejarah keluarga, merokok, kandungan kolestrol yang tinggi dan kurang aktiviti fizikal berisiko menghidap menyakit ini," jelasnya.

Bagi menjaga kesihatan jantung, anda perlu mengurangkan atau menjauhi asap rokok, menjaga berat badan, bersenam sekurang-kurangnya 30 hingga 40 minit untuk lima kali seminggu, berdiet dam merawat atau kawal aras gula dalam darah (diabetes), kolestrol dan tekanan darah.

Sementara itu, perubahan hormon ketika kehamilan juga mempengaruhi kesihatan bakal ibu.

Mana tidaknya, tekanan dan kebimbangan yang dirasai boleh menganggu emosi.

Dr. Nor Ashikin berkata, persedian ibu perlu dilakukan bermula saat kehamilan hingga kelahiran.

Misalnya, bakal ibu boleh mereka mengalami masalah pedih ulu hati dan morning sickness, ia pasti menimbulkan kesakitan dan ketidakselesaan berpanjangan.

Tidak ketinggalan, wanita juga akan mengalami masalah penyakit ketika datang haid, kesuburan, pencegah kehamilan dan gejala jangkitan akibat seks STD.

Penyakit-penyakit ini mempengaruhi perubahan emosi wanita dan menganggu rutin harian mereka.

Pada bengkel media yang sama, Pakar Perunding Kanan Endrokrinologis, Profesor Chan Siew Pheng turut melahirkan kebimbangan tentang kurangnya kepekaan wanita tentang kesihatan tulang iaitu osteoporosis.

Peningkatan usia, pemakanan dan gaya hidup menjadi antara faktor risiko osteoporosis.

"Semakin lanjut usia seseorang, semakin tinggi risiko mendapat penyakit ini dan tulang menjadi lebih cepat rapuh jika merokok, tidak bersenam dan kurang memberi penekanan terhadap penjagaan makanan.

"Selain itu, sejarah keluarga, berat badan, minum alkohol, menopaus dan pengambilan ubat-ubatan," jelasnya.

Apabila umur meningkat, kita mengalami proses kehilangan jisim tulang dan osteoporosis lebih banyak berlaku pada wanita kerana lelaki mempunyai rangka tulang lebih besar.

Selain meminum susu khusus untuk menguatkan kalsium, wanita boleh mengambil suplemen kalsium kerana susu bukan jaminan untuk memperolehi kalsium. Selain itu, berjemur di bawah cahaya matahari, dapat memberi tambahan vitamin D terutamanya ketika matahari sedang sederhana terik dan bukannya pada awal pagi dan lewat petang.

Sebagai ibu, melakukan senaman dapat membantu mengawal osteoporosis.

Risiko bersalin rapat

Arkib: Berita Harian

Kekerapan melahirkan secara pembedahan boleh sebabkan bayi lahir tak cukup bulan

SOALAN

SAYA berusia 33 tahun dan mempunyai tiga anak. Anak sulung lahir normal, kedua dan ketiga secara pembedahan. Soalan saya, jika ingin mengandung lagi, bilakah masa yang sesuai kerana pada pembedahan kedua saya mengalami jangkitan pada bekas jahitan. Jahitan dibuka semula dan kesan jahitan baru sangat ketara di perut saya, seolah-olah ada 'ruang' pada ari-ari. Saya bimbang jika hamil lagi, kandungan memberi tekanan pada kawasan bekas jahitan.

Soalan kedua pula, jika selepas tiga kali kelahiran pembedahan, doktor selalu mencadangkan salur falopian diikat. Bagaimanakah kitaran haid selepas salur itu diikat? Apa yang saya faham, jika salur diikat, ovum tidak boleh keluar dan tidak boleh disenyawakan sperma. Namun bagaimana kitaran haid masih berlaku?

Puan Suria

JAWAPAN:

Puan Suria, sebenarnya tiada kajian perubatan yang khusus untuk jarak masa sesuai untuk kehamilan seterusnya selepas menjalani kelahiran secara pembedahan. Secara amnya, doktor akan mencadangkan untuk menunggu sehingga selepas dua tahun untuk kembali hamil.

Kajian yang ada sehingga kini adalah secara umum untuk semua wanita yang mana didapati tempoh yang dicadangkan ialah di antara setahun setengah dan dua tahun. Kebanyakan kajian perubatan mendapati bahawa jikalau kehamilan seterusnya sangat rapat, bayi lebih berisiko untuk dilahirkan pramatang dan tidak cukup berat badannya.

Tambahan, tentunya wanita memerlukan masa untuk pulih dan menggantikan zat yang hilang daripada badan selepas melahirkan anak. Khususnya, wanita yang menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi, mereka didapati akan kehilangan dua kali lebih banyak darah berbanding wanita yang bersalin secara biasa. Hakikatnya bukan saja mereka perlu pulih daripada perubahan kehamilan, tetapi juga pulih selepas menjalani pembedahan besar.

Namun begitu, jika kehamilan ketiga puan tidak lama selepas pembedahan kedua, tidak perlu khuatir kerana memang ada wanita yang mengalami keadaan sama tidak mempunyai masalah pun. Untuk wanita berusia lewat 30-an mungkin tidak dapat menunggu terlalu lama kerana mereka lebih sukar mengandung dengan peningkatan usia.

Jadi, dalam membuat perancangan mengenai masa paling sesuai untuk kehamilan seterusnya adalah berbeza daripada seseorang wanita dengan yang lain dan puan perlu berbincang dengan suami kerana selain faktor perubatan, ada perkara lain yang perlu puan pertimbangkan seperti faktor penjagaan bayi dan persediaan puan sekeluarga. Apabila sudah bersedia berjumpa dan berbincanglah dengan doktor perbidanan untuk nasihat perubatan.

Mengenai jangkitan kuman pada jahitan pembedahan yang kedua, sememangnya tidak kira apa jenisnya, pembedahan akan menyebabkan seseorang itu terdedah kepada risiko jangkitan kuman. Namun begitu, masalah ini sebenarnya tidaklah kerap terjadi dan dianggarkan hanya tiga hingga lima peratus wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan mengalami jangkitan kuman pada lukanya.

Jangkitan pada luka pembedahan akan menyebabkan ia menjadi kemerah-merahan, sakit dan bengkak di kawasan sepanjang luka dan seterusnya boleh menyebabkan nanah mengalir keluar dari luka itu. Apabila luka bernanah rawatan antibiotik akan diberikan dan luka itu akan diberikan rawatan susulan. Luka pembedahan perlu dibuka semula untuk mengeluarkan semua nanah dan kawasan jangkitan perlu dibersihkan dan ini biasanya akan mengambil lebih masa untuk sembuh. Parut yang terbentuk pada luka pembedahan yang mengalami jangkitan kuman boleh menjadi lebih tebal dan lebih ketara. Pada pendapat saya inilah yang berlaku kepada puan.

Namun begitu apabila puan mengandung sekali lagi tidak perlu khuatir kandungan memberikan tekanan kepada kawasan berparut itu. Kandungan puan berada dalam rahim dan parut kulit bekas yang dulunya ada jangkitan kuman hanya di kulit perut dan kedudukannya di luar rahim. Namun begitu, seperti parut pembedahan yang lain, puan biasanya akan mengalami perubahan kepada deria rasa pada kulit seperti kebas dan perasaan ngilu tetapi ini tidak memudaratkan puan. Kesan parut yang ketara ini tidak menyebabkan puan perlu menunggu lebih lama daripada tempoh kebiasaannya sebelum kehamilan yang seterusnya.

Puan juga boleh berbincang dengan doktor perbidanan yang membuat pembedahan yang ketiga nanti untuk cuba membaiki tempat luka pembedahan berkenaan.

Mengenai salur falopian yang diikat ketika pembedahan ketiga, ia adalah kaedah perancangan kekal yang dilakukan melalui kaedah pembedahan yang mana salur falopian disekat biasanya dengan kaedah ikatan atau menggunakan alat seperti klip dan cincin. Ini menyebabkan telur tidak dapat meneruskan perjalanannya ke dalam salur falopian dan juga sperma tidak dapat bertemu dengan telur. Oleh itu persenyawaan tidak kan berlaku. Namun begitu seperti kebiasaannya setiap bulan telur yang dilepaskan dari kilang telur (ovari) akan bergerak ke dalam salur falopian dan apabila tiba di tempat ikatan pergerakannya akan berhenti di sana. Telur ini kemudian akan diserap oleh badan. Ikatan salur falopian yang dilakukan ketika pembedahan tidak mengambil masa yang lama dan ia tidak menyebabkan puan terdedah kepada risiko yang lebih tinggi ketika pembedahan itu ataupun memberikan kesan terhadap proses pemulihan selepas pembedahan.

Prosedur ini didapati tidak menyebabkan perubahan ketara kepada kitaran haid bulanan dan puan akan mengalami pendarahan haid seperti kebiasaannya. Ini kerana fungsi kilang telur tidak terjejas dan masih menghasilkan hormonnya. Hormon ini akan mempengaruhi lapisan dalam rahim (endometrium) dan bergantung dengan paras hormon itu, dinding ini akan luruh setiap bulan sebagai darah haid.

Santai dan relaks.

Berehat di sini.

Foto:kolkata.regency.hyatt.com

Berendam.

Foto:jakuziwww.jakarta.grand.hyatt.com

Sangat seronok diurut begini

Foto:SpaTreatment+z.about.com

Santai begini.

Foto:www.gaylordhotels.com

Teks: Masayu Ahmad

Kepenatan bekerja, mengasah minda membuatkan anda letih dan lesu. Cari kaedah yang sesuai untuk kembalikan kecergasan diri. Spa adalah pilihan destinasi rawat dan rehat. Cari kelainan untuk mendapatkan rehat dan juga servis badan.

Untuk kekal cergas dalam gaya hidup sibuk, anda boleh memperuntukkan sedikit bajet untuk memulihkan tenaga badan. Tidak perlu terlalu mahal, carilah rawatan yang sesuai dengan bajet dan kocek.

Refleksologi, bekam dan urutan tradisional salah satu rawatan yang cukup mengujakan sekiranya sudah lama tidak dilakukan. Membuang toksin yang berkumpul akibat pemakanan tidak seimbang dan stress membuatkan anda rasa sakit-sakit badan, sukar tidur, daya tumpuan berkurang.

Carilah masa yang sesuai hujung minggu ataupun selepas pulang dari kerja. Sayangilah diri anda sendiri. Masih jauh perjalanan yang akan dilalui. Warnai kehidupan seadanya.

Monday, June 22, 2009

Budaya asal sedap

Oleh Rahayu Mohd Salleh
ayu@nstp.com.my
Arkib: Harian Metro

ADA yang berasa sarapannya tidak lengkap tanpa hidangan nasi lemak.

Ada juga yang hanya terbuka selera apabila roti canai atau roti 'banjir' di depan mata.

Tidak kurang yang berasa hidupnya lebih ceria dengan hanya menjamah burger dan kentang goreng.

Mahu diakui atau tidak, kebanyakan makanan kegemaran rakyat negara ini boleh dikategorikan sebagai makanan yang mempunyai kandungan khasiat tidak seimbang.
Tetapi tidak ramai yang mengendahkan kandungan kalori makanan kegemaran mereka asalkan ia mampu memuaskan keinginan masing-masing atau lebih tepat dipanggil budaya asal sedap.

Makanan kegemaran ini biasanya mengandungi kandungan kalori dan lemak yang tinggi manakala kandungan serat daripada sayur-sayuran pula sangat kurang.

"Bayangkan sebungkus nasi lemak berserta telur goreng, ikan bilis dan sambal saja sudah mencecah hampir 500 kalori. Itu belum ditambah lauk-pauk lain seperti ayam rendang, ayam goreng, sambal sotong atau sambal udang.

"Timun dalam sajian nasi lemak pula tidak seberapa yang biasanya hanya ada beberapa keping sedangkan satu sajian sayuran disarankan pengambilannya sebanyak satu cawan sayuran segar atau setengah cawan sayuran masak," kata Pakar Pemakanan Kanan Pusat Maklumat Pengurusan Berat Badan (WMIC), Premila Muthukumaran.

Jika tergerak hati untuk bersenam bagi menghapuskan sejumlah 500 kalori itu pula berlari setengah jam pun tidak memadai kerana ia memerlukan seseorang itu untuk berjoging lebih satu jam bagi mengurangkan jumlah kalori berkenaan.

Sekeping roti canai kosong pula sudah menjangkau 300 kalori dengan kandungan 31 peratus lemak. Itu belum roti 'banjir' yang mempunyai kalori lebih tinggi.

"Roti canai memang mengenyangkan apatah lagi ia murah. Untuk penggemar roti pisang, ia juga tidak begitu menyihatkan walaupun rasanya enak.

"Tambahan pisang saja boleh mencecah 80 kalori. Berserta tambahan gula atau susu pekat, sekeping roti pisang boleh menjangkau sehingga 400 kalori. Capati lebih berkhasiat, tetapi apabila membuat pesanan, mintalah capati tanpa sapuan minyak sapi," katanya ketika ditemui di pejabat WMIC di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Lambakan kalori dalam makanan berkenaan mungkin menakutkan namun, menurutnya, pengubahsuaian terhadap makanan boleh dilakukan untuk mengurangkan kandungan kurang menyihatkan terutama bagi mereka yang mementingkan pemakanan seimbang.

Beliau tidak menafikan lebih mudah melakukan pengubahsuaian makanan jika memasak sendiri, tetapi ia tetap boleh dilakukan sewaktu makan di luar.

"Roti canai misalnya, jika biasa makan dua keping, tidak salah jika mengurangkannya kepada sekeping saja. Selain itu, lebih bijak jika kekerapan pengambilan makanan ini dikurangkan dalam diet seharian," katanya.

Makanan segera yang ramai penggemarnya, malah penghantarannya boleh dilakukan ke pejabat atau rumah, juga seakan sudah sebati dengan masyarakat kini.

"Mengehadkan pengambilannya antara cara yang baik di samping beberapa kaedah lain. Contohnya, pilih saiz hidangan kecil (bermakna kurang kalori) berbanding hidangan bersaiz besar dan tidak salah memilih hidangan kanak-kanak yang bersaiz kecil.

"Ada kajian saintifik melaporkan, jika seseorang itu diberi banyak makanan sekalipun, ia tetap habis, tetapi jika diberi kuantiti makanan yang sedikit, ia tetap mencukupi," katanya.

Ayam goreng yang sering menjadi pilihan di restoran makanan segera boleh dimakan dengan membuang kulitnya manakala pilihan ayam yang dipanggang lebih digalakkan.

Hidangan yang mengandungi lebihan keju pula boleh dielakkan, begitu juga dengan minuman berkarbonat yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.

"Kentang goreng dan nuget cukup digemari kanak-kanak serta orang dewasa kerana ia dianggap makanan yang begitu ringkas. Ramai juga yang menjadikannya sajian ringan di rumah sedangkan 50 peratus kandungan makanan itu terdiri daripada lemak.

"Memang sukar menghalang pengambilan makanan sebegini kerana rata-rata, tiada siapa menyatakan ia tidak elok untuk kesihatan apatah lagi ia mudah didapati. Tetapi atas kesedaran masing-masing, pengambilannya boleh dikurangkan untuk manfaat kesihatan jangka panjang," katanya.

Santan memang tidak dapat dipisahkan daripada makanan orang Asia, malah ada yang beranggapan makanan jadi hambar jika tidak bersantan.

Apa sekalipun yang diperkatakan mengenai kandungan santan yang kurang menyihatkan, memang sukar untuk mengurangkan apatah lagi menggantikan ramuan ini.

"Santan kelapa perahan pertama yang pekat memang tinggi kalori dengan lemak setinggi 90 peratus. Jika perlu menggunakan santan, pastikan perahan kedua dicairkan dan kemudian dipekatkan semula menggunakan susu rendah lemak.

"Selain itu, lebihkan bahan seperti daun pandan, serai, halia dan bawang untuk meningkatkan bau masakan kerana rata-rata, santan menjadi pilihan kerana aromanya," katanya.

Pilihan susu untuk menggantikan santan termasuk susu penuh krim, separa skim (susu tanpa lemak) atau skim. Susu tanpa lemak antara pilihan sangat sesuai kerana ia rata-rata mengandungi lima peratus lemak berbanding susu penuh krim yang mencapai 35 peratus lemak untuk kandungan serupa.

Untuk mereka yang inginkan nasihat pemakanan lanjut, WMIC menyediakan laman web yang boleh dilayari di www.weightmanagement.org.my.

Berikut antara kandungan kalori dan lemak dalam beberapa makanan kegemaran rakyat Malaysia:



Nasi lemak (210 gram berserta nasi dengan santan, telur goreng, ikan bilis dan sambal) - 494 kalori


Roti canai (95 gram) - 301 kalori, 31 peratus lemak


Mi kari (410 gram) - 529 kalori, 63 peratus lemak


Laksa lemak (540 gram) - 591 kalori, 54 peratus lemak


Nasi ayam tanpa lauk (230 gram) - 278 kalori, 10 peratus lemak


Mi goreng (325 gram) - 598 kalori, 44 peratus lemak


Kuetiau goreng (170 gram) - 312 kalori, 43 peratus lemak


Kentang goreng (349 gram) - 1,124 kalori, 50 peratus lemak


Burger daging (194 gram) - 496 kalori, 32 peratus lemak

Mengelak obesiti

Susunan Rahayu Mohd Salleh
Arkib: Harian Metro

AKTIVITI fizikal memang terbukti memiliki pelbagai manfaat kesihatan.

Antara lain, ia menguatkan tulang dan otot, meningkatkan kesihatan mental dan mood, mengurangkan tekanan darah, membaiki tahap kolesterol serta mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, kencing manis, barah payudara dan barah usus.

Otak turut mendapat tempias apabila seseorang itu bersenam. Bagaimanapun, ia mungkin bukanlah penawar untuk mereka yang menghadapi masalah obesiti.

Pemakanan yang lebih berkhasiat disertakan dengan senaman sememangnya penawar mujarab untuk mengurangkan berat badan sekali gus mengelakkan masalah kegemukan.

Satu kajian terkini menyarankan pemakanan seimbang seharusnya memainkan peranan penting apabila memperkatakan topik penjagaan berat badan.

Penyelidik daripada Sistem Kesihatan Universiti Loyola, Chicago, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa pusat berkaitan, membandingkan wanita Afrika-Amerika di kota metropolitan Chicago dengan wanita di pedalaman Nigeria.

Secara purata, wanita Chicago mempunyai berat kira-kira 83 kilogram (kg) dan wanita Nigeria sekitar 58kg.

Penyelidik sudah menjangka, wanita Nigeria yang lebih kurus sememangnya lebih aktif secara fizikal. Namun, penyelidik agak terperanjat apabila mendapati tiada perbezaan ketara antara dua kumpulan terbabit dari segi jumlah kalori yang dibakar ketika menjalani aktiviti fizikal.

"Aktiviti fizikal yang kurang bukanlah punca utama masalah obesiti," kata Pakar Pemakanan Universiti Loyola, Amy Luke, yang juga anggota pasukan penyelidik itu.

Garis panduan kerajaan Amerika Syarikat menyatakan setiap minggu, seorang dewasa memerlukan sekurang-kurangnya dua setengah jam aktiviti aerobik sederhana (seperti berjalan pantas) atau 75 minit aktiviti lebih cergas seperti berjoging. Golongan dewasa juga perlu melakukan aktiviti untuk menguatkan otot seperti mengangkat berat atau senaman bangun duduk, sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Manfaatnya untuk kesihatan secara keseluruhan memang jelas. Malah senaman turut menunjukkan ia mampu meningkatkan prestasi akademik kanak-kanak.

Apabila bersenam, lebih banyak berlaku pembakaran kalori. Masalahnya, mereka yang bersenam mempunyai kecenderungan untuk makan lebih banyak, kata Pengerusi Jabatan Perubatan Pencegahan dan Epidemiologi universiti berkenaan, Richard Cooper.

Pemakanan juga lebih dikaitkan dengan keadaan wanita Chicago yang rata-rata mempunyai badan lebih berat daripada wanita Nigeria, kata Amy.

Menurutnya, pemakanan wanita Nigeria tinggi dengan serat dan karbohidrat serta rendah lemak dan protein haiwan. Sebaliknya, pemakanan wanita Chicago itu pula mengandungi 40 hingga 45 peratus lemak serta tinggi kandungan makanan proses.

Bagaimanapun, lebih banyak penyelidikan diperlukan apatah lagi penemuan terbaru juga bercanggah dengan kajian lain.

Satu kajian diterbitkan dalam keluaran jurnal Arkib Perubatan Dalaman mendapati masyarakat Amish lama yang mempunyai genetik berkait obesiti dapat mengekalkan tubuh langsing kerana mereka banyak melakukan senaman.

Hasil kajian terkini itu (yang diterbitkan dalam keluaran jurnal Obesiti September 2008) juga serupa dengan kajian pada 2007 membabitkan lelaki dan wanita di Jamaica. Penyelidik daripada Universiti Loyola dan pusat lain mendapati tiada kaitan antara pertambahan berat badan dan kalori yang dibakar ketika melakukan aktiviti fizikal.

"Semakin banyak bukti terkumpul menyatakan pengambilan pemakanan mungkin lebih penting berbanding tahap penggunaan tenaga.

"Pengurangan berat badan tidak mungkin berlaku tanpa kekangan dari segi pemakanan," kata Amy.

Pusat lain yang terbabit dalam kajian berkenaan termasuk Universiti Ibadan di Nigeria, Universiti Howard, Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins dan Universiti Wisconsin.

Pada masa sama, kelembapan ekonomi pula mungkin menyebabkan ramai yang mengurangkan perbelanjaan ke atas makanan tetapi beberapa pakar bimbang ia mungkin menyebabkan ramai mengalami pertambahan berat badan.

Ada beberapa kajian mengaitkan obesiti dengan tabiat pemakanan kurang menyihatkan di kalangan penduduk berpendapatan rendah.

Penyelidik rata-rata bimbang apabila masyarakat mula mengurangkan perbelanjaan ke atas makanan, mereka turut mengurangkan perbelanjaan makanan menyihatkan yang lazimnya lebih mahal seperti ikan segar dan buah-buahan, sebaliknya lebih cenderung membelanjakan wang untuk pilihan makanan lebih murah yang kaya dengan kandungan gula dan lemak tepu.

"Apabila orang ramai menjimatkan wang dari segi pembelian makanan, mereka akan memilih makanan yang mempunyai kandungan yang tinggi dari segi gula dan lemak tepu yang lebih murah," kata Pengarah Program Sains Pemakanan, Universiti Washington, Adam Drewnowski.

Malah, menurutnya, keadaan mungkin akan jadi lebih buruk apabila obesiti berlaku akibat kegagalan persekitaran ekonomi.

Kajian Drewnowski sendiri mengemukakan kaitan antara pendapatan dan obesiti.

"Di Seattle, kami mendapati terdapat lima kali ganda perbezaan dari segi kadar obesiti berdasarkan tempat tinggal mereka iaitu, mereka yang tinggal di kawasan berpendapatan rendah mempunyai lebih ramai bilangan penduduk yang mengalami masalah kegemukan," katanya.

Menurutnya, kajian di California menyarankan peningkatan kemiskinan sebanyak 10 peratus boleh mengakibatkan enam peratus peningkatan masalah obesiti di kalangan orang dewasa.

Amerika Syarikat mendahului negara lain di dunia dari segi obesiti. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, lebih satu pertiga golongan dewasa AS iaitu lebih daripada 72 juta orang dan 16 peratus kanak-kanak mengalami masalah kegemukan.

"Kami mengaitkan kemiskinan dengan kegemukan kerana makanan yang padat dengan tenaga adalah lebih murah. Kemiskinan tidak bermakna seseorang itu perlu jadi gemuk tetapi hakikatnya, ia mampu membuatkan seseorang bertambah berat badan akibat kemiskinan," kata bekas Presiden Persatuan Jantung Amerika, Dr Robert Eckel.

Bagi Drewnowski, masyarakat boleh menikmati makanan menyihatkan yang mampu dibeli misalnya dengan mengutamakan makanan asas seperti pernah dialami warga AS ketika zaman kemelesetan sekitar 1930-an.

"Antara makanan yang mampu dimiliki dan berkhasiat termasuk kekacang, daging, susu, keju, lobak merah, kentang, sup dan nasi," katanya yang menggelarkan makanan terbabit sebagai 'diet untuk zaman baru kemelesetan.'

Sunday, June 21, 2009

Keperluan pemakanan mengikut umur

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

PEMAKANAN sihat mengikut kumpulan makanan yang betul dapat menjamin kesihatan yang baik. Namun, keperluan kandungan perlu dititik beratkan agar tidak berlaku lebihan atau kekurangan zat.

Pemakanan sihat merupakan pengambilan makanan yang seimbang mengikut kumpulan makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, protein, kekacang, susu dan tenusu.

Amat penting kita menuju ke arah pemakanan seimbang untuk kesihatan badan dan jantung.

Bukan setakat makanan sedap tetapi kesederhanaan pemakanan penting untuk jantung misalnya, pengambilan karbohidrat yang sederhana, mengawal kolestrol dan banyak memakan buah-buahan.

Menurut Penasihat Pemakanan Korporat Nestle, Tracy Lew, individu perlu mengurangkan protein yang terlalu banyak lemak.

"Contohnya kita perlu memakan ayam tetapi jangan makan kulitnya. Jika perlu memakan daging, pilihlah yang kurang berlemak

Ini kerana untuk penjagaan jantung, kita perlu mengelakkan lemak tepu yang biasanya ia boleh diperolehi daripada lemak haiwan," katanya yang ditemui di pejabat Nestel Products Sdn Bhd, Petaling Jaya, Selangor.

Bagi pengambilan susu, orang ramai khususnya yang dewasa digalakkan minum susu yang kurang krim dan lemak.

Ini kerana lemak dan kolestrol yang tinggi boleh menjejaskan kesihatan badan.

Sementara itu, untuk mengurangkan kolestrol, orang ramai boleh mengurang pengambilan telur kuning dan makanan laut seperti udang, ketam dan kerang.

"Di Nestle misalnya, kami ada proses memperbaiki produk seperti mengkaji kandungan lemak dan garam.

Misalnya, susu omega plus dihasilkan khusus untuk jantung kerana mengandungi rendah kolestrol dan mempunyai nilai tambahan yang baik seperti sterol tumbuhan," jelasnya.

Tambah Tracy, pemakanan sihat sebenar bermula daripada peringkat kanak-kanak lagi mengikut piramid pemakanan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagi kanak-kanak, mereka memerlukan kalsium untuk pembinaan tulang mengikut peningkatan usia. Namun, jumlah pengambilan kalsium mengikut peringkat umur memang berbeza.

"Kebiasaannya susu kanak-kanak yang elok mengandungi bakteria khusus yang baik untuk usus perut.

Begitu juga jumlah lemak yang perlu diambil iaitu mereka yang dewasa perlu mengurangkan lemak kerana berat badan yang berlebihan boleh menyebabkan risiko penyakit jantung," katanya.

Justeru itu, orang ramai perlu memeriksa makanan yang dibeli dari segi kandungan.

Misalnya, Nestle menyediakan panduan kesihatan yang mudah pada pembungkusan makanan. Adanya talian khusus untuk pelanggan, 1800-88-3433 juga dapat memberi panduan kepada orang ramai tentang pemakanan.

Namun, bukan setakat pemakanan, orang ramai dinasihatkan melakukan lebih aktiviti luar, sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

"Ini penting untuk mengelakkan berat badan yang berlebihan atau obesiti.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan juga penting untuk memastikan tiada darah tinggi dan diabetes. Orang ramai juga diminta tidak merokok kerana ia merupakan punca pelbagai penyakit," jelasnya yang menggalakkan orang ramai menyertai aktiviti luar termasuk berjalan seperti Walk A Mile.

ARKIB : 24/05/2009

Golongan muda lebih ramai hidap diabetis di Asia

JAKARTA 27 Mei - Penyakit diabetis semakin meningkat di Asia tetapi tidak di negara Barat, kebanyakan yang menghidap penyakit ini terdiri daripada golongan muda dan mereka yang obesiti, menurut satu kajian terbaru.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal Persatuan Perubatan Amerika hari ini berkata, peyakit tersebut telah menjadi masalah dunia, dengan jumlah pesakitnya dijangka meningkat dari 240 juta pada 2007 kepada 380 juta orang pada 2025.

Lebih 60 peratus daripadanya berkembang di Asia, rantau yang mengalami pertumbuhan yang paling pesat di dunia dengan negara yang mempunyai pendapatan antara rendah ke sederhana paling tinggi menghidapinya.

India menunjukkan peningkatan dari 40 juta kepada hampir 70 juta; China 39 juta kepada 59 juta; dan Bangladesh 3.8 juta kepada 7.4 juta, kata pengarangnya yang memetik laporan Persekutuan Diabetis Antarabangsa.

Indonesia, Filipina, Malaysia, Vietnam dan lain-lain negara juga menunjukkan peningkatan mendadak. - AP

ARKIB : 27/05/2009, Utusan Malaysia

Risiko obesiti

APABILA membincangkan tentang isu kesihatan dan kesejahteraan, berat badan yang berlebihan sering dikait dengan penyakit jantung.

Apatah lagi sekarang ini, bilangan rakyat yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti kian meningkat.

Faktor pemakanan yang tidak seimbang dan kurang melakukan senaman dikatakan antara punca masalah ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih satu bilion manusia seluruh dunia mengalami masalah berat badan dan jika berterusan kadar obesiti akan meningkat sehingga 1.5 bilion menjelang 2015.

Lebih membimbangkan, obesiti merupakan punca utama risiko penyakit jantung.

Tanpa kesedaran mengambil makanan sihat dan senaman, penyakit ini agak sukar dikawal.

Justeru itu, pendidikan tentang gaya hidup sihat perlu diterapkan sejak peringkat kanak-kanak lagi.

Menurut Pakar Diet Pusat Perubatan Sunway (PPS), Ho Wan Mi, walaupun risiko mendapat serangan jantung di kalangan kanak-kanak tidak tinggi, didikan pemakanan sihat amat penting.

"Trend kanak-kanak sekarang yang semakin gemuk, menyedarkan masyarakat tentang perlunya mengawal berat badan. Misalnya, jika golongan remaja yang berumur 15 tahun mempunyai berat 100 kilogram, ia merupakan petanda yang dia mudah mendapat serangan jantung kelak," jelasnya yang ditemui di PPS, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jika kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan, mereka perlu mengurangkan pengambilan makanan manis atau berlemak tinggi.

Sebaliknya, jika mereka mempunyai berat badan normal, pemakanan seperti biasa adalah memadai.

Justeru itu, keluarga perlu memainkan peranan penting dalam mengawal pemakanan kanak-kanak.

"Di PPS misalnya, diwujudkan Lean Club yang terbahagi kepada dua kategori iaitu kanak-kanak dan dewasa. Bagi kanak-kanak, pendidikan tentang diet yang betul akan diterapkan melalui program ke sekolah yang terpilih.

Amat penting bagi kanak-kanak mengekalkan berat badan yang seimbang untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.

Apabila masuk ke alam dewasa, ditakuti kanak-kanak tidak mampu mengawal berat badan yang mengundang serangan jantung," jelasnya.

Bagi golongan dewasa, mengawal kolestrol, darah tinggi dan diabetes amat perlu untuk mencegah diserang penyakit jantung.

Namun, pengambilan pemakanan yang sihat perlu untuk memberi tenaga.

"Orang ramai digalakkan mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi kolestrol dan lemak tepu.

Bagi mereka yang menghidap darah tinggi dan kencing manis, pesakit perlu mengurangkan pengambilan garam dan gula," katanya.

Secara keseluruhannya, golongan dewasa perlu mengambil diet sihat mengikut piramid makanan.

Mengulas tentang keperluan susu untuk kesihatan jantung, Wan Mi memberitahu, ia bergantung kepada kandungan susu tersebut.

Susu baik untuk kesihatan dan ia mungkin boleh dijadikan sebahagian pengambilan makanan diet.

Namun, gaya hidup yang sihat ditambah penjagaan pemakanan dapat mengurangkan risiko menghidap sakit jantung.

- RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Program Walk A Mile akan diadakan pada 21 Jun 2009 (Ahad) di Kuantan, Pahang. .Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Dino / Zura di talian 03-92877777 sambungan 259/392

ARKIB : 14/06/2009, Utusan Malaysia

Ibu bapa galak anak lebih aktif

Oleh ROSMAWATI MION
ARKIB : 18/06/2009, Utusan Malaysia

MASYARAKAT Malaysia kini semakin dihimpit masalah kegemukan atau obesiti. Lebih membimbangkan gejala yang sebahagian besarnya berpunca daripada gaya hidup tidak sihat, turut membabitkan golongan kanak-kanak.

Berdasarkan statistik, kira-kira 15 peratus kanak-kanak di seluruh negara mengalami masalah obesiti dan lebih menakutkan mereka ini akan membesar sebagai orang dewasa yang obes.

Malah, angka itu juga dilihat meningkat mencecah antara 30 hingga 40 peratus di kawasan bandar seperti di Lembah Klang.

Menurut Timbalan Pengarah (Akademi) dan Pensyarah Kanan Fisiologi Senaman, Universiti Malaya, Dr. Ahmad Munir Che Muhamed, keadaan itu berlaku disebabkan sikap ibu bapa zaman ini yang terlalu mementingkan akademik sehingga tidak menggalakkan anak-anak terlibat dalam aktiviti fizikal termasuk bersukan.

Katanya, berbeza dahulu apabila kebanyakan kanak-kanak lazimnya tidak betah duduk di rumah apatah lagi pada waktu petang.

Mereka bebas berbasikal, bermain bola ataupun melakukan aktiviti luaran lain tanpa ibu bapa perlu berasa bimbang atau marah.

Malangnya kata Dr. Ahmad Munir, senario sekarang jauh berbeza sehinggakan 'kebebasan' bermain menjadi sesuatu yang asing pada diri anak-anak.

''Kebanyakan ibu bapa hari ini beranggapan jika anak-anak mereka aktif dalam kokurikulum atau sebarang aktiviti sukan di sekolah, pelajaran mereka akan tercicir dan merosot. Sebab itu, anak-anak lebih digalakkan menumpukan perhatian pada akademik.

''Amalan boleh dianggap tidak sihat, kerana sepatutnya sebagai ibu bapa mereka yang perlu menunjukkan teladan dan memainkan peranan penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat dalam keluarga.

''Sebab itu bagi saya, kita kena berbalik kepada perkara asas iaitu peranan ibu bapa," katanya ketika ditemui di Pusat Sukan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Ahmad Munir, berpendapat tidak ramai ibu bapa yang mengajak anaknya bersukan, tidak kira pergi berjogging, berenang mahupun melakukan senaman ringkas.

Sebaliknya, mereka lebih menggalakkan anak-anak menghadiri kelas tuisyen bukan sahaja selepas tamat waktu persekolahan, malah pada setiap hujung minggu.

Paling tidak pun katanya, ibu bapa hari ini lebih gemar menghabiskan masa hujung minggu dengan berjalan-jalan di pusat membeli-belah berbanding membawa anak mereka ke taman permainan.

"Biarpun ada yang menyatakan berjalan itu juga merupakan salah satu senaman ringkas, tetapi ia sebenarnya tidak mencukupi apatah lagi dalam usaha untuk menyemai budaya hidup sihat dan cergas di kalangan anak-anak," katanya.

Secara amnya jelas beliau, seorang individu termasuk kanak-kanak perlu melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

Aktiviti fizikal yang dilakukan tersebut hendaklah membabitkan pergerakan otot dan sistem saraf.

"Perlu diketahui bahawa antara punca berlakunya obesiti bukan hanya disebabkan oleh faktor pemakanan yang tidak terkawal tetapi juga kurangnya aktiviti fizikal.

''Memang tidak dinafikan di sekolah wujudnya kokurikulum termasuk aktiviti sukan untuk disertai oleh para pelajar. Cuma, apakah faedah yang diperoleh kanak-kanak itu jika mereka hanya melakukan aktiviti fizikal tersebut selama satu atau dua jam dalam seminggu?

''Mungkin ibu bapa kurang menyedari bahawa aktiviti fizikal dapat membantu tumbesaran dan merangsang pergerakan otak kanak-kanak. Malah, anak-anak yang aktif bersukan selalunya menonjolkan kemahiran insaniah tidak kira berkaitan keyakinan diri atau komunikasi.

''Bersukan sebenarnya boleh menyelesaikan masalah kanak-kanak yang kurang bercakap dan tidak ada keyakinan diri. Kanak-kanak mempunyai sikap yang pasif dan lemah ekoran daripada persekitaran di rumah yang tidak aktif.

"Mereka akhirnya akan berasa janggal untuk bergaul apabila kehidupan hanya tertumpu kepada akademik semata-mata tanpa langsung memberi ruang untuk bersosial termasuk bersukan," ujar Dr. Ahmad Munir.

Beliau menambah, faktor keselamatan mungkin antara punca ibu bapa bertindak melarang atau kurang memberi kebebasan kepada anak-anak mereka untuk terlibat dalam aktiviti fizikal di luar rumah biarpun untuk bermain di taman permainan.

Sebab itu, aktiviti sukan yang diadakan dalam dewan seperti futsal semakin mendapat perhatian golongan kanak-kanak dan remaja kerana dilihat ia lebih selamat dan selesa.

''Mengadakan aktiviti sukan di tempat tertutup sebenarnya satu idea yang baik. Selain dapat mengurangkan bahang panas cuaca di luar, ia juga memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa untuk melepaskan anak-anaknya bergiat aktif dalam kegiatan sukan," katanya.

Namun katanya, bergiat aktif dalam aktiviti sukan tidak bermakna anak-anak itu akan bergelar atlet negara.

Apa yang penting, jika mereka telah digalakkan melakukan aktiviti fizikal sejak kecil, ia secara tidak langsung telah membuka laluan untuk membentuk sebuah generasi sihat di masa hadapan.

Jelas beliau, sebaiknya kanak-kanak didedahkan dengan aktiviti fizikal seawal usia satu setengah tahun atau dua setengah tahun.

Tetapi sebelum itu, iaitu pada peringkat awal, ibu bapa seharusnya mengambil langkah membawa anak mereka keluar melihat kehijauan alam. Cara itu boleh membantu menggalakkan mereka menggerakkan fizikalnya.

Sekiranya kanak-kanak tersebut sudah mampu berdikari, tidak kira seawal usia enam atau tujuh tahun, mereka sebenarnya sudah boleh digalakkan untuk membabitkan diri dalam kegiatan sukan.

Kanser kolon: Adakah anda berisiko?

KANSER kolon (usus besar) adalah salah satu daripada penyakit penghadaman yang boleh mengancam nyawa.Lebih membimbangkan, kanser kolon adalah antara kanser yang paling kerap dihidapi di seluruh dunia.

Di Malaysia, laporan Pendaftaran Kanser Negara 2003-2005 mendedahkan bahawa kanser kolon adalah kanser yang paling kerap dihidapi oleh lelaki dan yang ketiga di kalangan wanita.

Kanser kolon juga kanser yang paling kerap dihidapi oleh wanita berusia melebihi 70 tahun.

Permulaan kanser

Kanser kolon biasanya bermula sebagai polip, iaitu bonjol kecil pada permukaan dalam kolon. Kebanyakan polip adalah benign atau tidak berbahaya.

Tetapi, jika ia dibiarkan, ia akan membesar dan boleh menjadi malignan (barah). Proses pertukaran dari benign ke malignan juga selalunya mengambil masa yang lama.

Pada peringkat awal, kanser kolon mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda. Tetapi apabila sudah berlanjutan, pesakit mungkin mengalami perubahan seperti cirit-birit atau sembelit berdarah, kelesuan, sakit perut yang teruk, muntah, kehilangan berat badan dan juga anemia (kurang darah merah).

Pada tahap lanjut, sel-sel kanser mungkin sudah merebak dari usus besar ke organ lain menerusi proses yang dinamakan metastasis.

Ia biasanya menyerang hati, menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti jaundis atau penyakit kuning. Apabila keadaan ini berlaku, ia menunjukkan tahap kanser yang sudah teruk.

Hakikatnya, kanser kolon boleh dicegah dan boleh sembuh jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Justeru, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian secara berkala dengan doktor pakar bagi mengesan kanser kolon di peringkat awal.

Satu-satunya cara untuk mengesan kanser kolon di peringkat awal ialah dengan menjalani pemeriksaan secepat mungkin. Ini sangat penting, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Kenali faktor risiko

Kebanyakan kes kanser kolon berlaku secara rambang. Ini bermakna ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Punca sebenar kanser kolon juga masih tidak diketahui, tetapi terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan kanser ini.

Faktor yang pasti ialah sejarah penyakit ini dalam keluarga. Risiko anda lebih tinggi jika ada antara anggota keluarga anda menghidap kanser kolon.

Malah, 10 hingga 20 peratus daripada pesakit kanser kolon mempunyai sejarah penyakit dalam keluarga.

Jika ibu, bapa atau adik-beradik anda menghidap kanser kolon pada usia 30 tahun, anda mungkin perlu mula menjalani pemeriksaan lima tahun sebelum anda mencapai usia itu, atau mungkin lebih awal lagi.

Keadaan tertentu yang menyebabkan keradangan usus (seperti ulcerative colitis) juga boleh meningkatkan risiko kanser kolon. Faktor risiko lain yang dikaitkan dengan kanser kolon termasuk:

*Diet

Lebih ramai rakyat Malaysia makan terlalu banyak daging merah (lembu atau kambing) dan kurang makan serat (buah dan sayur). Penekanan hendaklah diberikan kepada bijirin, buah-buahan dan sayuran, dan kurangkan pengambilan daging merah.

*Usia

Risiko meningkat selepas usia 50 tahun. Bagaimanapun, perangkaan menunjukkan bahawa risiko penyakit ini boleh bermula seawal umur 20-an hingga 30-an. Peningkatan kes lebih ketara selepas usia 50 tahun.

*Sejarah peribadi

Wanita dengan sejarah kanser ovari, uterus dan payu dara berisiko lebih tinggi.

*Jantina

Wanita lebih berisiko daripada lelaki. Tetapi di Malaysia, risiko kanser kolon di kalangan lelaki lebih tinggi sedikit berbanding wanita (nisbah 11:10).

*Gaya hidup

Pengambilan alkohol secara berlebihan, merokok serta kurang atau langsung tidak melakukan aktiviti fizikal meletakkan anda dalam risiko. Begitu juga berat badan berlebihan.

Pilihan rawatan

Rawatan bergantung pada bila kanser kolon dikesan. Lebih awal ianya dikesan, maka lebih baik prognosisnya.

Pada peringkat awal doktor boleh merawat dan menyembuhkan penyakit ini dengan lebih berkesan.

Terdapat juga banyak kaedah rawatan di peringkat lanjutan, termasuk kemoterapi dan pembedahan. Rawatan di peringkat ini bagaimanapun lebih agresif dan biasanya tidak begitu berkesan untuk menyembuhkan penyakit tersebut.

Kurangkan risiko anda

Meskipun belum ada garis panduan pemeriksaan untuk kanser kolon di Malaysia, banyak pihak, termasuk Kementerian Kesihatan, menyedari bahawa pengesanan awal penting dan garis panduan mengenainya sedang dirangka.

Cara utama untuk mengurangkan risiko pada diri ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Anda mungkin tidak dapat menukar sejarah keluarga atau usia anda, tetapi anda boleh bersenam, menjaga berat badan dan mengamalkan diet rendah lemak dan tinggi serat.

Jadi, segera mulakan gaya hidup sihat hari ini dan jangan lupa bahawa pemeriksaan awal paling penting dalam usaha untuk mengesan dan melawan kanser kolon!

ARKIB : 21/06/2009, Utusan Malaysia

DHA bantu rangsang minda

ANAK saya berusia 3 dan 5 tahun. Bolehkah saya memulakan pemberian suplemen yang bersesuaian, terutamanya untuk rangsangan minda?

Ini kerana saya tidak mengamalkan penyusuan badan sejak kecil. Salah seorang daripada anak saya juga mengalami masalah kulit yang kering. Adakah ia ada kaitan dengan pemakanan?

Jawapan,

Anda mungkin pernah mendengar tentang kepentingan asid lemak perlu kepada kesihatan dan proses perkembangan kanak-kanak.

Kekurangannya juga boleh mempengaruhi tumbesaran yang sihat. Tanda-tanda lazim kekurangan asid lemak 'politaktepu berantai panjang' di kalangan kanak-kanak termasuklah kulit yang kering, kuku yang rapuh serta rambut yang kering dan kusam.

Kanak-kanak seawal usia begini boleh diberikan makanan tambahan seperti yang kaya dengan asid lemak perlu, seperti omega-3 (boleh diperolehi daripada minyak ikan) dan omega-6.

Mungkin apa yang lebih merunsingkan para ibu bapa adalah masalah dalam pembelajaran serta masalah tingkah laku anak.

Hasil kajian menunjukkan kanak-kanak yang bermasalah dalam pembelajaran mempunyai kandungan asid-asid lemak perlu seperti asid arakidonik (AA), asid dokosaheksanoik (DHA) dan asid gama linolenik (GLA) yang lebih rendah dalam plasma darah.

Dengan membetulkan komposisi asid lemak kanak-kanak ini, masalah tersebut boleh diperbaiki.

Ini dibuktikan dengan pelbagai penyelidikan tentang kesan pengambilan asid lemak DHA, AA dan GLA terhadap pemulihan masalah pembelajaran, khasnya kanak-kanak yang lemah dalam daya tumpuan dan hiperaktiviti (ADHD), disleksia (masalah dalam kebolehan membaca dan mengeja) serta dispraksia (masalah dalam pergerakan motor, koordinasi serta pengimbangan badan).

Dengan pengambilan asid lemak yang mencukupi boleh memastikan perkembangan dan kelancaran fungsi otak, mata serta fungsi tubuh yang lain.

Walaupun sel-sel otak sudah terbentuk sebelum kelahiran, tetapi perhubungan antara sel-sel otak giat berlaku pada peringkat awal kehidupan kanak-kanak untuk membolehkan pembelajaran berlaku.

Ini kerana ia penting bagi mengekalkan keutuhan dan keanjalan membran sel supaya penghantaran mesej atau impuls antara sel-sel saraf berlaku secara efektif.

ARKIB : 21/06/2009, Utusan Malaysia

Wednesday, June 10, 2009

Menangani tekanan dengan bijak



Teks: Masayu Ahmad (www.masayu-ahmad.com)
Foto:http://www.kf6nvr.net

Tidak ada hari yang membuatkan anda santai tanpa masalah. Setiap masalah ada punca dan sebab musabab untuk berlaku. Anda tidak boleh lari daripadanya tetapi anda perlu menanganinya secara bijak. Semakin tinggi kedudukan pangkat anda di pejabat semakin banyak tekanan yang perlu dihadapi. Semakin tinggi kesabaran anda pelbagai cabaran pula yang menghimpit. Tip berikut boleh membantu.

1.Tekanan kewangan

Semakin lama hutang piutang keliling pinggang semakin menghantu fikiran. Perbelanjaan semakin besar setiap bulan dan tahun. Mengenalpasti kemampuan kewangan dan perbelanjaan adalah punca pertama untuk menangani tekanan kewangan. Jika anda belum bersedia untuk berhutang dan sukar untuk melunaskan setiap bulan, usahakan tidak menggunakan kad kredit atau kad memudahkan anda berhutang. Beli apabila mampu atau kumpul berdikit-dikit sebelum memiliki barangan mahal yang menjadi idaman.

Belilah kereta yang mengikut kemampuan bukannya mengikut nafsu. Pilih untuk membaca buku-buku yang berkaitan pengurusan kewangan, menghadiri bengkel-bengkel yang berkaitan dengan insuran, takaful dan sebagainya. Ambil pandangan yang positif untuk mendorong anda menjadi invidu bijak dalam menguruskan kewangan keluarga dan diri sendiri. Ubah kebiasaan perbelanjaan yang tidak perlu atau buang terus sikap boros yang sememangnya tidak memberi apa-apa kebaikan.

2.Tekanan di pejabat

Politik pejabat adalah sesuatu yang lumrah, adalah perlu anda menanganinya dengan baik dan rasional. Kurangkan perkara-pekara yang berkaitan gosip, mengata teman sepejabat atau majikan. Usahakan untuk meningkatkan silaturrahim, sentiasa bersikap positif dan fokus kepada perkara yang utama sahaja. Memotivasikan diri dengan membaca buku-buku motivasi, sentiasa berfikiran positif dan banyak menjalinkan kerja berpasukan.

3.Tekanan di rumah

Setelah berumah tangga dan keahlian semakin bertambah saban tahun. Tangungjawab pula semakin besar. Saling menghormati dan ringan tulang adalah salah satu ciri-ciri yang perlu ada pada pasangan suami isteri. Saling berbincang apabila menghadapi masalah adalah satu cara mencari jalan penyelesaian apabila dilanda dugaan dalam hidup berumahtangga.

4.Tekanan dalam diri sendiri

Kemurungan, anti sosial, suka menyendiri adalah salah satu contoh tekanan kepada individu yang tidak mampu lagi mengimbangi diri dalam kehidupan. Justeru amalan keagamaan seperti solat dan membaca al-quran adalah terapi terbaik untuk kerohanian. Sokongan keluarga dan masyarakat adalah perlu agar tidak terjebak dalam kes-kes tekanan yang semakin kronik.

5.Pilih gaya hidup sihat

Mengambil makanan seimbang, melakukan senaman secara rutin, tidak merokok dan taat kepada agama adalah amalah hidup sihat yang perlu anda pilih. Ianya adalah salah satu kesinambungan untuk meneruskan kehidupan berkualiti dan bermakna.