Tuesday, June 23, 2009

Risiko bersalin rapat

Arkib: Berita Harian

Kekerapan melahirkan secara pembedahan boleh sebabkan bayi lahir tak cukup bulan

SOALAN

SAYA berusia 33 tahun dan mempunyai tiga anak. Anak sulung lahir normal, kedua dan ketiga secara pembedahan. Soalan saya, jika ingin mengandung lagi, bilakah masa yang sesuai kerana pada pembedahan kedua saya mengalami jangkitan pada bekas jahitan. Jahitan dibuka semula dan kesan jahitan baru sangat ketara di perut saya, seolah-olah ada 'ruang' pada ari-ari. Saya bimbang jika hamil lagi, kandungan memberi tekanan pada kawasan bekas jahitan.

Soalan kedua pula, jika selepas tiga kali kelahiran pembedahan, doktor selalu mencadangkan salur falopian diikat. Bagaimanakah kitaran haid selepas salur itu diikat? Apa yang saya faham, jika salur diikat, ovum tidak boleh keluar dan tidak boleh disenyawakan sperma. Namun bagaimana kitaran haid masih berlaku?

Puan Suria

JAWAPAN:

Puan Suria, sebenarnya tiada kajian perubatan yang khusus untuk jarak masa sesuai untuk kehamilan seterusnya selepas menjalani kelahiran secara pembedahan. Secara amnya, doktor akan mencadangkan untuk menunggu sehingga selepas dua tahun untuk kembali hamil.

Kajian yang ada sehingga kini adalah secara umum untuk semua wanita yang mana didapati tempoh yang dicadangkan ialah di antara setahun setengah dan dua tahun. Kebanyakan kajian perubatan mendapati bahawa jikalau kehamilan seterusnya sangat rapat, bayi lebih berisiko untuk dilahirkan pramatang dan tidak cukup berat badannya.

Tambahan, tentunya wanita memerlukan masa untuk pulih dan menggantikan zat yang hilang daripada badan selepas melahirkan anak. Khususnya, wanita yang menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi, mereka didapati akan kehilangan dua kali lebih banyak darah berbanding wanita yang bersalin secara biasa. Hakikatnya bukan saja mereka perlu pulih daripada perubahan kehamilan, tetapi juga pulih selepas menjalani pembedahan besar.

Namun begitu, jika kehamilan ketiga puan tidak lama selepas pembedahan kedua, tidak perlu khuatir kerana memang ada wanita yang mengalami keadaan sama tidak mempunyai masalah pun. Untuk wanita berusia lewat 30-an mungkin tidak dapat menunggu terlalu lama kerana mereka lebih sukar mengandung dengan peningkatan usia.

Jadi, dalam membuat perancangan mengenai masa paling sesuai untuk kehamilan seterusnya adalah berbeza daripada seseorang wanita dengan yang lain dan puan perlu berbincang dengan suami kerana selain faktor perubatan, ada perkara lain yang perlu puan pertimbangkan seperti faktor penjagaan bayi dan persediaan puan sekeluarga. Apabila sudah bersedia berjumpa dan berbincanglah dengan doktor perbidanan untuk nasihat perubatan.

Mengenai jangkitan kuman pada jahitan pembedahan yang kedua, sememangnya tidak kira apa jenisnya, pembedahan akan menyebabkan seseorang itu terdedah kepada risiko jangkitan kuman. Namun begitu, masalah ini sebenarnya tidaklah kerap terjadi dan dianggarkan hanya tiga hingga lima peratus wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan mengalami jangkitan kuman pada lukanya.

Jangkitan pada luka pembedahan akan menyebabkan ia menjadi kemerah-merahan, sakit dan bengkak di kawasan sepanjang luka dan seterusnya boleh menyebabkan nanah mengalir keluar dari luka itu. Apabila luka bernanah rawatan antibiotik akan diberikan dan luka itu akan diberikan rawatan susulan. Luka pembedahan perlu dibuka semula untuk mengeluarkan semua nanah dan kawasan jangkitan perlu dibersihkan dan ini biasanya akan mengambil lebih masa untuk sembuh. Parut yang terbentuk pada luka pembedahan yang mengalami jangkitan kuman boleh menjadi lebih tebal dan lebih ketara. Pada pendapat saya inilah yang berlaku kepada puan.

Namun begitu apabila puan mengandung sekali lagi tidak perlu khuatir kandungan memberikan tekanan kepada kawasan berparut itu. Kandungan puan berada dalam rahim dan parut kulit bekas yang dulunya ada jangkitan kuman hanya di kulit perut dan kedudukannya di luar rahim. Namun begitu, seperti parut pembedahan yang lain, puan biasanya akan mengalami perubahan kepada deria rasa pada kulit seperti kebas dan perasaan ngilu tetapi ini tidak memudaratkan puan. Kesan parut yang ketara ini tidak menyebabkan puan perlu menunggu lebih lama daripada tempoh kebiasaannya sebelum kehamilan yang seterusnya.

Puan juga boleh berbincang dengan doktor perbidanan yang membuat pembedahan yang ketiga nanti untuk cuba membaiki tempat luka pembedahan berkenaan.

Mengenai salur falopian yang diikat ketika pembedahan ketiga, ia adalah kaedah perancangan kekal yang dilakukan melalui kaedah pembedahan yang mana salur falopian disekat biasanya dengan kaedah ikatan atau menggunakan alat seperti klip dan cincin. Ini menyebabkan telur tidak dapat meneruskan perjalanannya ke dalam salur falopian dan juga sperma tidak dapat bertemu dengan telur. Oleh itu persenyawaan tidak kan berlaku. Namun begitu seperti kebiasaannya setiap bulan telur yang dilepaskan dari kilang telur (ovari) akan bergerak ke dalam salur falopian dan apabila tiba di tempat ikatan pergerakannya akan berhenti di sana. Telur ini kemudian akan diserap oleh badan. Ikatan salur falopian yang dilakukan ketika pembedahan tidak mengambil masa yang lama dan ia tidak menyebabkan puan terdedah kepada risiko yang lebih tinggi ketika pembedahan itu ataupun memberikan kesan terhadap proses pemulihan selepas pembedahan.

Prosedur ini didapati tidak menyebabkan perubahan ketara kepada kitaran haid bulanan dan puan akan mengalami pendarahan haid seperti kebiasaannya. Ini kerana fungsi kilang telur tidak terjejas dan masih menghasilkan hormonnya. Hormon ini akan mempengaruhi lapisan dalam rahim (endometrium) dan bergantung dengan paras hormon itu, dinding ini akan luruh setiap bulan sebagai darah haid.

No comments: