Saturday, July 26, 2008

Aerobik senaman yang mengujakan

Gema alunan muzik rancak, tumpuan dan irama bergerak seiring beramai-ramai. Peluh memercik, denyutan nadi kian pantas. Lagu rancak diudarakan kemudian lagu berirama perlahan dimainkan. Gerakan pantas dan perlahan mengikut panduan coach di hadapan.

Senaman ini boleh diikut oleh remaja mahu pun dewasa. Di padang mahupun di studio, ianya amat mengujakan jika dilakukan beramai-ramai. Selama satu jam pun masih lagi tidak terasa. Apabila selesai, peluh sudah membasahi baju. Aktiviti ini sangat digemari kaum hawa, namun lelaki juga tidak perlu malu jika ingin mencuba.

Kini banyak pilihan dan tempat. Mahu berbayar atau tidak, itu pilihan anda. Pada hujung minggu sudah banyak lokasi terutamanya di kawasan rekriasi, pada waktu pagi sudah ramai yang berhimpun untuk beraerobik. Jika anda berwang, pilih saja mana-mana studio yang menyediakan kelas berbayar.

Wednesday, July 23, 2008

Kepentingan pengambilan sayur dan buah

KITA semua tahu bahawa sayur-sayuran dan buah-buahan sememangnya mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan tubuh badan. Namun, berapa ramai daripada kita yang
mengamalkan pengambilan dua bahan ini dalam pemakanan seharian malah ada juga yang tidak menyentuhnya langsung. Alasannya, sayur-sayuran dan buah-buahan ‘tiada rasa’ berbanding hidangan lain seperti nasi, daging, ayam dan makanan laut.

Biarpun berkali-kali maklumat mengenai khasiat buah-buahan dan sayur-sayuran didedahkan, kesedaran tentangnya masih rendah di kalangan masyarakat kita.
Puncanya mungkin daripada amalan pemakanan kita yang sekian lama kurang menitikberatkan pengambilan dua bahan ini. Menjadikan kita lebih selesa dengan ‘piramid’ makanan rekaan sendiri dan meminggirkan saranan oleh mereka yang pakar.

“Secara asasnya saya percaya kebanyakan penyakit berpunca daripada sel yang berfungsi secara tidak sempurna, disebabkan kekurangan nutrisi seperti vitamin, mineral, asid amino, asid lemak dan fitonutrien, sejenis bahan yang terkandung dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Ini ditambah pula dengan keracunan bahan kimia dan metal yang mempengaruhi aktiviti enzim seterusnya menjejaskan fungsi sel,” kata pakar perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan Pencegah Marin, California, Dr. Elson Haas.

Beliau berkata demikian dalam satu bengkel kempen hidup sihat anjuran Elken Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang turut memperkenalkan produk Fitorac, keluaran syarikat tersebut.

Dr. Haas yang menjurus kepada kepakaran perubatan nutrisi dan keluarga, serta detoksifikasi dan program kesihatan individu berkata, berdasarkan fakta rakyat Malaysia sememangnya tidak mengambil hidangan buah-
buahan segar dan sayur-sayuran yang betul iaitu antara tujuh hingga sembilan hidangan setiap hari terutama sayuran hijau.

Katanya, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2003 menunjukkan secara purata 88.3 peratus rakyat Malaysia mengambil kurang daripada saranan harian pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Peratusan ini sangatlah rendah berbanding saranan Institut Kanser Kebangsaan yang mencadangkan pengambilannya sebanyak tujuh hingga 12 hidangan setiap hari bagi mengelak masalah kesihatan kronik.

Statistik daripada Kementerian Kesihatan pula menyatakan satu daripada empat rakyat Malaysia berisiko mendapat kanser dan perkara ini disebabkan kekurangan pengambilan sayur dan buah dalam diet mereka.

Kata Dr. Haas yang pernah menulis tujuh buah buku mengenai kesihatan dan nutrisi, fitonutrien yang terkandung dalam buah-buahan dan sayur-sayuran terkenal kerana keupayaannya menggalakkan liang-liang kesihatan.

Ia mengandungi bahan antioksidan kuat yang berkesan dalam menyeimbangkan radikal bebas, menggalakkan fungsi sel imunisasi dan menyuburkan pemulihan liang-liang rongga.
“Jika kita menyeimbangkan sel dalam badan dengan mengambil makanan seperti apa yang badan perlukan, ia dapat mengelak toksin sebanyak yang mungkin. Bukankah ia mudah?” soalnya.

Menurut beliau lagi, yang menjadi masalah di kebanyakan tempat ialah sikap individu yang gemar mengambil satu atau lebih bahagian gula, nikotin, alkohol, kafein dan bahan kimia dalam pengambilan makanan harian mereka.
Seperti di Asia katanya, masyarakat di sini terlalu gemar kepada makanan dan minuman yang diproses.

“Saya bersenam dan mencari makanan terbaik untuk menyeimbangkan kesihatan tubuh badan.
``Pengambilan makanan tidak seimbang menyekat fungsi badan normal. Cara kita memasak makanan juga menyebabkan bahan berkhasiat yang terkandung di dalamnya hilang,” ujarnya.
Beliau menyarankan buah-buahan dan sayur-sayuran dimakan mentah atau dibuat salad dan juga boleh dimasak dengan cara stim, panggang, rebus tetapi jangan terlebih masak.
Jelas Dr. Haas lagi, pengambilan buah-buahan dan sayuran yang secukupnya mengurangkan risiko berkaitan kanser termasuk menghalang sesetengah jenis kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes dan lain-lain penyakit kronik.

“Kita perlu memastikan pengambilan sayur dan buah datangnya daripada lima jenis kumpulan warna berlainan iaitu merah, kuning-jingga, putih, hijau dan biru-ungu,” saran Dr. Haas.
Fitonutrien berlainan katanya mempunyai fungsi pengoksidaan berbeza dalam sel kita, di mana lebih warna yang diambil, lagi tinggi tahap perlindungan yang kita peroleh.

Jelas beliau, mengambil makanan yang kaya antioksidan memang baik untuk kesihatan. Namun, bagaimana kita menyukat kadar antioksidan yang terkandung dalam makanan?

“Kapasiti Penyerapan Radikal Oksigen (ORAC) boleh menyukat kebolehan makanan untuk melawan radikal bebas. Kajian menunjukkan memakan makanan yang tinggi kandungan ORAC boleh meningkatkan kuasa antioksidan dalam darah manusia sebanyak 10 hingga 25 peratus,” tambah beliau.
Sebagai penggantian kepada pengambilan sayur dan buah yang secukupnya, beliau turut menyarankan pengambilan suplemen yang mengandungi bahan fitonutrien yang terdapat di pasaran.

Petikan Utusan Malaysia : 20/07/2008

Kawal peningkatan kolesterol dengan herba

‘‘SAYA mempunyai badan yang berisi. Dua minggu yang lalu saya membuat pemeriksaan kolesterol dan mendapati terdapatnya peningkatan kolesterol dalam darah.
Mengikut doktor, ia masih boleh dikawal dengan perubahan diet dan membuat senaman. Ahli farmasi turut mencadangkan saya menambahkan suplemen herba agar pengawalan lebih baik sebelum ia dikategorikan berkolesterol tinggi memandangkan saya mempunyai sejarah keluarga dengan kolesterol tinggi dan berisiko tinggi menghidap masalah serupa’’.

JAWAPAN:
Pokok guggulu (Commiphora mukul) iaitu tumbuhan asal dari India, menghasilkan guggul yang juga dikenali sebagai guggulu atau guggulipid.

Guggul telah digunakan dalam perubatan Ayurveda selama beribu-ribu tahun untuk merawat artritis dan obesiti, selain mengawal peningkatan kolesterol.

Kesan penurunan kolesterol dipercayai disebabkan oleh keupayaannya menghalang sintesis (penghasilan) kolesterol dalam hati dan juga meningkatkan pemecahan serta penyingkiran kolesterol.

Penggunaan dalam jangka panjang membantu merendahkan kolesterol secara keseluruhan, kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol berketumpatan tinggi (HDL).
Guggulipid juga mempunyai bahan mencairkan darah yang bermanfaat untuk merendahkan tekanan darah.

Suplemen guggulipid yang mengandungi 2.5 peratus guggulsterone (bahan aktif) adalah bermanfaat dan selamat digunakan.
Diet dan gaya hidup

Antara tip untuk mengekalkan paras kolesterol yang sihat:

1. Buangkan semua lemak dan kulit daripada daging, ayam dan itik sebelum makan. Tukar cara masakan dari menggoreng kepada membakar atau memanggang.

2. Elakkan kuah dan sos yang berlemak. Gantikan krim dengan yogurt sebagai sos dan hiasan. Pilihlah buah-buahan segar sebagai pencuci mulut dan bukannya kek atau biskut.

3. Guna minyak sayuran seperti kanola, kesumbar dan zaitun dalam kuantiti yang kecil untuk menggoreng. Kurangkan penggunaan marjerin kerana ia mengandungi minyak separa ter-hidrogen (asid lemak trans).

4. Hadkan pengambilan makanan yang mengandungi minyak kelapa sawit, minyak kelapa, minyak khinzir, mentega, telur kuning dan lemak susu.

5. Udang dan kerang-kerangan boleh diambil sekali-sekala kerana kandungan kolesterolnya lebih rendah daripada yang disangkakan dan ia mengandungi lemak tepu yang rendah.

6. Tambahkan serat ke dalam diet anda terutamanya serat oat. Pilih bijirin penuh apabila membeli roti atau bijirin.

7. Hadkan pengambilan organ dalaman haiwan seperti hati, ginjal, otak dan limpa yang tinggi dengan kolesterol.

8. Senaman adalah senjata penting untuk menentang kolesterol tinggi dan penyakit jantung. Kajian menunjukkan senaman yang kerap (kira-kira 30 minit sebanyak tiga hingga lima kali seminggu) dapat meningkatkan paras HDL serta menyingkirkan kolesterol LDL berlebihan daripada darah. Anda boleh melakukan senaman aerobik, berenang, angkat berat, berjalan kaki dan menari.

Petikan Utusan Malaysia 20/07/2008

Saturday, July 12, 2008

Hari Minggu Yang Indah

Alhamdulillah hari ini, masih lagi diberi kesempatan untuk bernafas dan menghirup udara segar pagi hari. Syukur, kepadaNYA kerana masih lagi mampu meneruskan kudrat untuk berlegar meraih rezeki dan bersama keluarga tersayang.

Pagi yang menyegarkan, kabus masih lagi berlopak-lopak di balik pokok-pokok rimbun. Kebetulan kedudukan rumah saya berdepan dengan matahari naik. Terjahan sinarannya, mampu membangkitkan suasana pagi yang cukup harmoni.

Seusai menyediakan keperluan keluarga, sebagaimana biasa menyediakan sarapan dan perlu menyenaraikan beberapa keperluan untuk minggu ini. Tugasan di rumah perlu diselesaikan sebelum membuat perkara-perkara lain. Itu perlu diutamakan. Kepada yang sudi menjengah ke blog ini salam singgah, salam ziarah dan salam ukhwah. Moga-moga setiap apa yang dititipkan di sini dapat dikongsi untuk kebaikan.