Tuesday, May 20, 2008

Khasiat teh hijau untuk nyah toksin

green tea

Urutan refleksologi mampu lancarkan aliran darah

reflexology

Refleksologi lazimnya dikenali sebagai seni pijatan atau urutan untuk meransang urat saraf. Bagi penggemar dan pengamal kesihatan, inilah salah satu terapi tradisional Cina yang semakin digemari kini. Urutan ini memberi tumpuan kepada titik refleks untuk meredakan ketegangan.

Titik-titik saraf pada bahagian kaki yang bermasalah diberi tumpuan, dengan urutan yang melegakan. Pada bahagian tertentu yang bermasalah, terasa sedikit kesakitan apabila diurut dengan lebih teliti. Tapak kaki adalah kawasan yang merangkumi seluruh anggota badan. Manfaatnya amat baik untuk melancarkan peredaran darah, lenguh-lenguh anggota badan dan melegakan tekanan.

Refleksologi berasaskan kepercayaan setiap bahagian kaki adalah cermin kepada anggota badan (kaki kiri untuk anggota belah kiri dan kaki kanan pula menggambarkan anggota kanan badan. Pakar terapi refleksologi juga mampu boleh mengesan pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, usus, buah pinggang, migrain dan sukar tidur.

Urutan bermula pada bahagian kaki, tangan dan telingga. Untuk lebih mengesankan, urutan pada bahagian belakang, bahu dan tengkuk amat melegakan. Apatah lagi bagi mereka yang saban hari sentiasa sibuk dengan urusan kerja. Sesuai juga pada anda yang kurang gemar bersenam. Inilah salah satu cara untuk memanjakan tubuh agar relaks dan kembali bertenaga.

Monday, May 19, 2008

Kongsi pengalaman sihat

Kepada anda yang mempunyai masalah,pengalaman, petua dan apa-apa pandangan tentang penjagaan kesihatan, bolehlah berkongsi pengalaman tersebut di blog ini. Hantarkan terus kepada saya melalui email: pn.masayu@gmail.com. Artikel yang menarik akan disiarkan di blog ini dan akan disunting terlebih dahulu.

Sunday, May 18, 2008

Tangani stress dengan bijak

spa_floating

Arif adalah seorang eksekutif muda di sebuah syarikat besar dan berprestij. Semestinya dia ingin memberi komitmen yang tinggi pada syarikat. Namun diluar jangkaan apabila rakan-rakan sepejabat lebih senior mengambil kesempatan memberi beban tugas yang tidak sepatutnya dia lakukan. Keghairahan untuk menyiapkan tugasan dengan baik dan cepat, tergendala kerana beban tugas tidak pula makin menyusut, tetapi makin menimbun. Selalunya Arif sangat bermotivasi untuk ke tempat kerja. Tetapi lama-kelamaan semangat juang semakin merudum. Tambahan pula pada waktu malam dia sukar untuk melelapkan mata, lantaran memikirkan tugasan yang tidak selesai dan semakin banyak. Pernahkan anda menghadapi situasi seperti Arif?

Sakit kepala, keletihan, tidak fokus, insomnia (tidak boleh tidur), sakit pada bahagian bahu adalah tanda-tanda anda mengalami stress. Dalam situasi ini mungkin mengambil masa di antara dua hingga tiga jam untuk kembali pulih kepada keadaan normal. Kadangkala ketegangan sebegini memberi beban kepada badan setiap hari tanpa disedari. Masalah kewangan, situasi di tempat kerja, bebanan tugasan, konflik dalam keluarga adalah antara faktor yang menjadi punca stress.

Keadaan ketegangan yang semakin hari semakin bertambah menyebabkan badan cepat letih, kurang fokus, kadangkala sakit kepala. Jika berlaku terlalu kerap badan akan berada dalam kesakitan. Tekanan dalam kadar sederhana adalah perlu untuk memacu diri agar bertindak dengan cepat dan berkesan. Tetapi jika keterlaluan, ianya membahayakan kesihatan.

Sebaik-baiknya dalam apa situasi dan masalah, belajarlah untuk relaks dan tenang. Regangan badan adalah salah satu cara untuk menjadikan badan setiasa dalam keadaan relaks. Regangan pada lengan, muka, bahu, perut dan kaki boleh dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Menarik nafas dan menghembus dengan cara yang betul mampu memberi ruang aliran oksigen ke dalam tubuh. Jika tekanan sudah tidak terkawal lagi, anda perlu menemui pakar untuk nasihat selanjutnya.

Saturday, May 17, 2008

Monday, May 12, 2008

Kekebalan sistem tubuh dengan sayuran

alien-salad

Pemakanan seimbang adalah tabiat memilih makanan bertujuan memperbaiki atau mengekalkan kesihatan. Makanan seimbang mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin, garam galian, dan serat dalam kadar yang betul. Ini dapat diperolehi daripada buah, sayuran, daging, ikan, susu, bijiran dan lain-lain.

Serat atau serabut dalam diet permakanan membantu penghadaman dan mengelak sembelit. Sayuran dan buah segar (termasuk buah kering) dan bijirin adalah sumber serat penting. Untuk meningkatkan kebaikan serat, amat penting untuk minum banyak air.

Zat galian yang mengandungi bahan bukan organik yang penting untuk pemakanan manusia. Ia berperanan dalam pembentukan struktur tulang dan unsur yang diperlukan dalam tisu organik dan cairan badan seperti hemoglobin darah. Zat mineral banyak terdapat dalam susu dan telur. Ia juga banyak terdapat dalam buah dan sayuran.

Sayur-sayuran biasa boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja. Ini termasuklah sayur-sayuran seperti timun, kubis dan terung. Selain daripada sayur-sayuran biasa, terdapat satu lagi kumpulan ulam iaitu ulam tradisional. Ulam tradisional lebih meluas penggunaannya termasuk digunakan sebagai ulam biasa, sebagai bahan masakan seperti dalam penyediaan nasi ulam atau nasi kerabu dan masakan sayur lemak. Ianya juga sebagai bahan perubatan seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Oleh kerana ulam dimakan tanpa dimasak lama terlebih dahulu, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama seperti kalsium, fosforus , besi natrium dan kalium di dalam ulam tidak termusnah oleh haba. Ulam juga membekalkan serat yang amat di perlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan pergerakan najis dalam saluran usus.

Bahaya Msg dalam makanan segera

burger

Monosodium glutamat (MSG), juga dikenali sebagai Ajinomoto atau Vetsin, ialah sejenis garam natrium berasaskan asid glutamik yang dipergunakan sebagai sejenis bahan tambahan makanan dan dipasarkan secara umum sebagai "penambah perisa". Nama-namanya yang lain termasuk:
natrium glutamat
penambah perisa 621
Kod bahan tambahan makan EU: E621
Kod HS: 29224220
IUPAC: asid 2-aminopentanedioik, juga dikenali sebagai asid 2-aminoglutarik.
MSG ditemui dan dipatenkan pada tahun 1909 oleh Perbadanan Ajinomoto di Jepun. Dalam bentuk tulennya, ia merupakan sejenis serbuk berhablur putih, tetapi apabila dilarut di dalam air (atau air liur), ia berpisah dengan pantas menjadi ion-ion natrium dan glutamat yang bebas. Glutamat ialah anion asid glutamik, sejenis asid amino yang wujud secara semula jadiWalaupun glumat dan asid-asid amino yang lain wujud secara semula jadi di dalam banyak makanan rasa yang disebabkan oleh kesemua ini hanya dikenal pasti secara saintifik pada awal abad ke-20.

Pada tahun 1907 Kikunae Ikeda, penyelidik Jepun dari Universiti Imperial Tokyo mengenal pasti hablur-hablur perang yang ditinggalkan selepas menyejatkan sejumlah besar sup kombu sebagai asid glutamik. Hablur-hablur ini apabila dirasai, menghasilkan rasa tidak terperi yang dikesani dalam banyak makanan, terutamanya rumpai laut. Profesor Ikeda mengistilahkan rasa ini sebagai rasa "umami." Beliau kemudian mempatenkan suatu kaedah untuk menghasilkan asid glutamik berbentuk hablur secara besar-besaran.

Rujukan: Wikipedia Melayu

Sunday, May 11, 2008

Pakar syor makan segenggam nasi jimat beras

KUALA LUMPUR 11 Mei – Rakyat Malaysia dinasihatkan mengamalkan makan hanya segenggam nasi atau separuh pinggan setiap kali mengambil makanan itu demi menjaga kesihatan selain mengurangkan penggunaan beras.

Jumlah pengambilan nasi yang ideal untuk seorang dewasa adalah pada kadar segenggam atau 20 peratus daripada mangkuk sukatan nasi yang biasa digunakan di restoran-restoran.
Penasihat pemakanan terkenal, Kevin Zahri berkata, langkah itu perlu memandangkan pengambilan nasi tidak boleh diberhentikan serta-merta sebaliknya ia menjadi makanan ruji pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, pengurangan pengambilan nasi setiap hari oleh setiap rakyat sekurang-kurangnya dapat mengatasi masalah kekurangan beras di negara ini.
“Jika makan di kedai atau restoran, orang ramai perlu melatih diri dengan memesan nasi separuh pinggan. Oleh itu, para peniaga juga perlu mengenakan separuh harga.
“Ada sesetengah restoran didapati mengambil kesempatan dengan mengenakan harga penuh walaupun pelanggan mereka hanya memesan nasi separuh pinggan. Mereka memberi alasan harga beras sudah naik,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai golongan yang bekerja kuat seperti buruh binaan, Kevin menasihatkan supaya golongan itu mengekalkan makan nasi pada kadar sederhana dan mengambilnya pada kadar yang lebih kerap.
Jelasnya, ini kerana golongan tersebut memerlukan tenaga yang lebih tinggi dan ia perlu ditampung melalui kekerapan pengambilannya.

Kevin turut menggalakkan golongan itu mengambil makanan dari sumber lain seperti buah-buahan, roti, air yang bergula dan sebagainya bagi meningkatkan tenaga.
Antara lain, beliau mendapati usaha mengurangkan jumlah nasi dalam setiap hidangan seperti itu dapat menggalakkan orang ramai meminimumkan pengambilan nasi dan seterusnya mengelakkan pembaziran.

“Jika pengambilannya dihentikan serta-merta, ia akan memberi satu kesan psikologi kepada seseorang akibat kekurangan sumber tenaga yang berpunca karbohidrat walaupun ia boleh diperoleh dari roti,” jelasnya.
Menurut Kevin lagi, beliau tidak menafikan bahawa nasi boleh digantikan dengan makanan alternatif yang lain seperti roti, pasta, kentang dan buah-buahan.
Namun, katanya, kalori yang dibekalkan oleh nasi dapat memberi lebih vitamin dan zat dalam membantu mengekalkan kesihatan.

Beliau yang juga penulis buku Cergas 24/7 memberitahu, pengambilan makanan alternatif yang mempunyai kandungan fiber yang tinggi digalakkan tetapi bukan memberhentikan terus pengambilan nasi kerana ia akan menyekat kadar metabolisme badan.
Jelasnya, selain menjimatkan kos dan mengurangkan pembaziran, pengambilan nasi yang sedikit juga secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko penyakit seperti obesiti, osteoporosis dan juga barah.

“Apa yang paling penting ialah setiap orang perlu mengamalkan gaya hidup yang seimbang dengan memilih makanan yang sihat dan berkualiti supaya kita dapat menikmati makanan kegemaran kita sepanjang hayat,” ujarnya.
Petikan, Utusan Malaysia 12 Mei 2008.

Syukuri nikmat Tuhan

pisang goreng

Terkedu dan terkesima buat seketika apabila membaca laporan taufan Nargis yang melanda negara Myanmar minggu lalu menyebabkan lebih 22,500 mangsa korban manakala lebih 41,000 lagi hilang.
Apa tidaknya dalam keadaan rakyat Malaysia hidup dengan aman sejahtera, bermewah-mewah dengan makanan, kita hanya menerima tempias masalah kekurangan beras sahaja. Tetapi itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada mereka yang asyik dengan dunia sendiri. Kemewahan yang dinikmati sepatutnya diselit rasa syukur kepadaNya.
Baru-baru ini saya berkesempatan untuk membuat satu bancian kemiskinan di kawasan bandar. Hati dipagut secebis kasihan melihatkan masih ada anak-anak kecil di bumi bertuah ini yang masih tidak dapat menikmati kenikmatan hidup.
Sewaktu tiba di kediaman mereka, saya melihat ibu anak-anak comel ini menghidangkan mee maggi sebagai hidangan sarapan pagi. Mereka tekun menikmati hidangan tersebut tanpa soal. Mungkin bagi si ibu hidangan yang tidak seberapa itu adalah menu terbaik untuk mengalas perut pada pagi itu. Berkhasiat atau tidak itu bukan soalnya. Tiada pilihan dan pilihan yang terbaik adalah mee maggi. Terkedu saya seketika. Lantaran membandingkan anak-anak sendiri yang setiap kali tiba waktu makan sudah ada menu sihat yang akan disediakan setiap hari. Mungkin bukan saya sendiri, bagi ibu-ibu di luar sana yang mementingkan kesihatan dan kecerdasan anak-anak, penyediaan makanan berkhasiat sangat dititikberatkan. Mungkin tidak sukar bagi mereka yang mampu. Tetapi, bagaimana pula bagi mereka yang tidak berkemampuan?

Friday, May 2, 2008

Nikmatilah makanan

Walaubagaimana sibuk anda, apabila tiba sahaja waktu makan beri perhatian pada masa penting ini. Semat dalam fikiran untuk dapatkan kesihatan terbaik bermula dengan kunyahan pertama yang betul-betul dinikmati. Sebaik-baik kunyahan adalah 40 kali kunyahan, agar makanan betul-betul hancur dan membantu proses penghadaman.

Pencernaan bermula dari dalam mulut ketika mengunyah dan menghancur makan. Lebih lama makanan dikunyah, lebih banyak enzim daripada air liur bercampur dengan makanan. Ianya sangat membantu proses pencernaan.

Ajaran Islam sejak zaman Rasulullah s.w.t turut menekankan amalan makan secara perlahan mampu membantu mengurangkan berat badan. Bukan hanya memperlihatkan tentang sopan dan adab ketika menjamah rezeki. Ia turut berkait secara biologi memberi ruang kepada tubuh untuk berfungsi dengan baik. Isyarat akan diberi dan dikenalpasti bahawa kita sudah kenyang secara tidak langsung mendisplikan kita makan sekadar yang cukup.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.” Baginda juga menasihatkan: “Berpuasalah! Nescaya kamu akan sihat.”

Dalam sebuah hadis lain ada menyebut: “Janganlah dibunuh hati kamu seumpama buah, malah seumpama ladang yang binasa akibat terlampau banyak air. Begitulah hati akan binasa dengan banyak makan dan minum."

Gerakkan badan anda

Mulakannya sekarang! Anda hanya bermimpi jika hanya memberi perhatian menjaga disiplin pemakanan semata-mata. Kaedah untuk menurunkan berat dengan lebih efektif adalah dengan melakukan aktiviti fizikal yang berterusan tetapi tidak keterlaluan.

Maksudnya jalani apa- apa aktiviti riadah yang kegemaran anda sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi tiga kali seminggu. Ia sangat bagus untuk menurunkan paras glukosa darah serta lipid yang tidak baik, di samping meningkatkan jumlah kolesterol HDL yang baik.

Berjalan laju, aerobik, bermain badminton, berenang adalah contoh senaman yang boleh dilakukan mengikut minat individu. Mula dengan aktiviti kecergasan yang paling anda gemar lakukan. Selain membantu anda konsisten setiap minggu, ia juga mempengaruhi usaha untuk tampil sihat dan cergas.

Thursday, May 1, 2008

Amalkan pemakanan seimbang, senaman konsisten





Dalam penjagaan kesihatan yang baik, amalan pemakanan seimbang dan senaman konsisten sekurang-kurangnya tiga kali seminggu amat disyorkan oleh pakar-pakar pemakanan. Tidak ramai di kalangan kita yang mempunyai disiplin yang tingi dalam soal pemakanan. Ditambah pula dengan selera kita yang begitu memberi keutamaan tentang soal makan. Sebagaimana rutin pagi tidak sah rasanya jika tidak menjamah nasi lemak dan teh tarik gelas besar.

Ayam goreng berempah, gulai masak lemak, kari kepala ikan antara pilihan untuk santapan tengahari. Jika tiba waktu senggang, kononnya ingin melepaskan lelah seketika pisang goreng dan cekodok goreng pula menunya. Inilah senarai menu yang seringkali menjadi kegemaran rakyat Malaysia umumnya. Tidak cukup dengan itu istilah makan lewat malam dengan pilihan gerai mamak yang begitu menjadi trend ketika ini. Capati, roti canai dan pelbagai pilihan lagi menjadi alas perut walaupun larut malam sudah pun menjengah.

Alasan tiada masa untuk bersenam, ditambah pula kesibukan mengejar waktu bekerja sehingga petang membuatkan ramai di kalangan kita terlupa soal senaman atau apa sahaja aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh.

Disiplin mengambil nutrien yang secukupnya banyak memberi manfaat untuk meningkatkan tahap kesihatan, selain memberi tenaga secukupnya kegiatan sepanjang hari. Namun ianya menjadi satu cabaran yang besar di kalangan kita yang mempunyai gaya hidup yang sibuk.
Aktiviti fizikal dapat membantu menurukan tekanan darah dan paras kolesterol, selain menguatkan jantung dan otot-otot tulang. Jika dilakukan secara kerap membantu melancarkan darah dan memudahkan kelenturan sendi-sendi.