Thursday, May 1, 2008

Amalkan pemakanan seimbang, senaman konsisten





Dalam penjagaan kesihatan yang baik, amalan pemakanan seimbang dan senaman konsisten sekurang-kurangnya tiga kali seminggu amat disyorkan oleh pakar-pakar pemakanan. Tidak ramai di kalangan kita yang mempunyai disiplin yang tingi dalam soal pemakanan. Ditambah pula dengan selera kita yang begitu memberi keutamaan tentang soal makan. Sebagaimana rutin pagi tidak sah rasanya jika tidak menjamah nasi lemak dan teh tarik gelas besar.

Ayam goreng berempah, gulai masak lemak, kari kepala ikan antara pilihan untuk santapan tengahari. Jika tiba waktu senggang, kononnya ingin melepaskan lelah seketika pisang goreng dan cekodok goreng pula menunya. Inilah senarai menu yang seringkali menjadi kegemaran rakyat Malaysia umumnya. Tidak cukup dengan itu istilah makan lewat malam dengan pilihan gerai mamak yang begitu menjadi trend ketika ini. Capati, roti canai dan pelbagai pilihan lagi menjadi alas perut walaupun larut malam sudah pun menjengah.

Alasan tiada masa untuk bersenam, ditambah pula kesibukan mengejar waktu bekerja sehingga petang membuatkan ramai di kalangan kita terlupa soal senaman atau apa sahaja aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh.

Disiplin mengambil nutrien yang secukupnya banyak memberi manfaat untuk meningkatkan tahap kesihatan, selain memberi tenaga secukupnya kegiatan sepanjang hari. Namun ianya menjadi satu cabaran yang besar di kalangan kita yang mempunyai gaya hidup yang sibuk.
Aktiviti fizikal dapat membantu menurukan tekanan darah dan paras kolesterol, selain menguatkan jantung dan otot-otot tulang. Jika dilakukan secara kerap membantu melancarkan darah dan memudahkan kelenturan sendi-sendi.

No comments: