Sunday, May 18, 2008

Tangani stress dengan bijak

spa_floating

Arif adalah seorang eksekutif muda di sebuah syarikat besar dan berprestij. Semestinya dia ingin memberi komitmen yang tinggi pada syarikat. Namun diluar jangkaan apabila rakan-rakan sepejabat lebih senior mengambil kesempatan memberi beban tugas yang tidak sepatutnya dia lakukan. Keghairahan untuk menyiapkan tugasan dengan baik dan cepat, tergendala kerana beban tugas tidak pula makin menyusut, tetapi makin menimbun. Selalunya Arif sangat bermotivasi untuk ke tempat kerja. Tetapi lama-kelamaan semangat juang semakin merudum. Tambahan pula pada waktu malam dia sukar untuk melelapkan mata, lantaran memikirkan tugasan yang tidak selesai dan semakin banyak. Pernahkan anda menghadapi situasi seperti Arif?

Sakit kepala, keletihan, tidak fokus, insomnia (tidak boleh tidur), sakit pada bahagian bahu adalah tanda-tanda anda mengalami stress. Dalam situasi ini mungkin mengambil masa di antara dua hingga tiga jam untuk kembali pulih kepada keadaan normal. Kadangkala ketegangan sebegini memberi beban kepada badan setiap hari tanpa disedari. Masalah kewangan, situasi di tempat kerja, bebanan tugasan, konflik dalam keluarga adalah antara faktor yang menjadi punca stress.

Keadaan ketegangan yang semakin hari semakin bertambah menyebabkan badan cepat letih, kurang fokus, kadangkala sakit kepala. Jika berlaku terlalu kerap badan akan berada dalam kesakitan. Tekanan dalam kadar sederhana adalah perlu untuk memacu diri agar bertindak dengan cepat dan berkesan. Tetapi jika keterlaluan, ianya membahayakan kesihatan.

Sebaik-baiknya dalam apa situasi dan masalah, belajarlah untuk relaks dan tenang. Regangan badan adalah salah satu cara untuk menjadikan badan setiasa dalam keadaan relaks. Regangan pada lengan, muka, bahu, perut dan kaki boleh dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Menarik nafas dan menghembus dengan cara yang betul mampu memberi ruang aliran oksigen ke dalam tubuh. Jika tekanan sudah tidak terkawal lagi, anda perlu menemui pakar untuk nasihat selanjutnya.

No comments: