Tuesday, June 28, 2011

Kemutan kuatkan otot

Sumber: Berita Harian, 19 Mei 2011

Oleh: Nor Afzan Mohamed Yusof

Dalam sehari berapa kali anda terkucil? Bagi yang kurang faham maksudnya, terkucil merujuk pada masalah kerap membuang air kecil. Jika anda mengalami keadaan ini, jangan ambil mudah, anda mungkin berhadapan keadaan inkontinens atau lemah kawalan pundi kencing (LUL).

Keadaan inkontinens terjadi apabila wujud masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Secara lazimnya, kebarangkalian wanita mendapat masalah LUL adalah lebih tinggi, khususnya wanita berusia dan yang kerap melahirkan anak, disebabkan struktur tubuh wanita serta faktor melahirkan anak.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Seri Suniza Sufian, berkata keadaan inkontinens terjadi apabila ada masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar.

Punci kencing menyimpan air kencing. Ia mengembang untuk menampung 350 mililiter (ml) hingga 550 ml air kencing. Individu biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan punci kencing lebih kurang 150 hingga 200 ml.

Desakan buang air kecil meningkat apabila isi punci kencing bertambah kepada 250 ml hingga 300 ml dan apabila ia mencapai 500 ml, punci kencing perlu dikosongkan segera.

Pembuangan air kencing membabitkan dua peringkat iaitu pengisian serta penyimpanan air kencing dan peringkat kedua iaitu pengosongan punci kencing.

Ketika pembuangan air kencing, otot yang 'memegang' punci dan spinchter perlu bertindak serentak. Kegagalan pada mana-mana bahagian, sama ada pundi, otot spinchter,

Bersambung

Wednesday, June 15, 2011

Gaya hidup sihat elak kencing manis

Sumber: Berita Harian, Khamis 19 Mei 2011
Oleh: Mona Ahmad



Kemanisan kuih muih dan minuman berperisa serta bergas pastinya membuka selera. Memang tidak dapat dinafikan makanan yang manis menjadi pilihan kerana keenakannya.

Tetapi disebalik keenakannya itu, ia boleh menjejaskan kesihatan dan mengundang pelbagai jenis penyakit jika ia diambil berlebihan.

Makanan yang diproses dan makanan manis seperti kek coklat dan aiskrim mengandungi banyak gula yang memberikan sejumlah besar kalori tanpa khasiat makanan atau serat.

Kehadiran gula juga mengantikan makanan yang berkhasiat dan menyingkirkan beberapa vitamn dan galian dari tubuh.

Memakan gula yang berlebihan bermakna anda menanggung risiko kerosakan gigi, kegemukan dan masalah lain yang dikaitkan dengan kencing manis, serangan jantung dan sebagainya.

Sehingga kini diabetis tidak berupaya sembuh sepenuhnya tetapi dengan  pengurusan yang baik, kadar gula dalam darah boleh dikawal sekaligus komplikasi diabetes boleh dilewatkan.

Tanpa pengurusan yang baik, diabetes akan menjadi pencetus kepada pelbagai komplikasi yang membawa maut. Justeru, bukan aneh apabila faktor majoriti kes kematian membabitkan pesakit diabetes adalah komplikasi makrovaskular.

Komplikasi makrovaskular adalah kelaziman di kalangan pesakit diabetes.

Mengikut kajian, lima tahun lalu (2010) dianggarkan 171 juta penduduk dunia berpenyakit diabetes, sejenis penyakit progresif dan serius yang boleh mendedahkan penghidapnya kepada pelbagai masalah kesihatan dan komplikasi, termasuk buta, amputasi dan penyakit kardiavaskular (CVD).

Menjelang 2030, jumlah pesakit diabetes atau dikenali juga sebagai kencing manis dijangka meningkat dua kali ganda. Diabetes disifatkan sebagai faktor risiko dan punca utama kepada penyakit CVD.

Mereka yang menghidap diabetes aalah dua hingga empat kali lebih berisiko mengalami serangan sakit jantung atau strok berbanding mereka yang tidak berpenyakit itu.

Diabetes dan komplikasinya pasti akan muncul sebagai satu ancaman utama terhadap sumber kesihatan awam sedunia pada masa hadapan dengan kos ekonomi dan sosial sangat besar, terutama bagi negara membangun.

Justeru, mencegah lebih baik dari mengubati. Mulakan dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Kawal nafsu makan kerana setiap hari berdepan dengan makanan dan makanan enak terutama yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Untuk membantu mencegah diabets dan komplikasinya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengesyorkan supaya orang ramai mencapauu dan mengekalkan berat badan yang unggul, sentiasa cergas iaitu bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

Mereka perlu menekankan betapa pentingnya mengubah gaya hidup agar dapat menghalang penyakit itu melarat dan jika dibiarkan akan mengakibatkan komplikasi yang membawa maut.

Monday, June 6, 2011

Cegah obesiti bermula di rumah

Sumber: Harian metro online

http://www.hmetro.com.my/articles/Cegahobesitibermuladirumah/Article

SEBELUM membeli, berapa ramai yang sanggup meneliti label pemakanan sesuatu produk bagi menyemak kandungan nutrisinya?


Jangan tertipu kerana pada kebanyakan label, bahan yang disarankan untuk dikurangkan pengambilannya seperti gula tambahan dan lemak mempunyai pelbagai nama yang mengelirukan.

Dalam senarai label pemakanan, apabila perkataan gula diletakkan paling awal bermakna ia bahan utama dalam produk berkenaan.

Namun, tahukah anda jika pihak pengeluar meletakkan perkataan sirap atau sukrosa dalam senarai kandungan nutrisi itu, ia sebenarnya adalah sejenis gula tambahan?

Gula semula jadi banyak ditemui dalam makanan yang tidak diproses seperti susu segar, buah-buahan dan sayuran manakala gula tambahan banyak didapati dalam produk yang sudah diproses seperti susu tepung, ais krim, kek, biskut serta minuman sedia diminum dan minuman ringan berkarbonat.

Perunding Pemakanan, Indra Balaratnam, berkata terdapat pelbagai jenis gula pada label menggunakan nama berbeza, tetapi ramai orang tidak mengetahuinya.

Kebanyakan nama gula tambahan yang banyak terkandung dalam susu tumbesaran ialah sukrosa, pepejal sirap jagung dan pepejal sirap glukosa.

Secara umum, gula juga disenaraikan sebagai sebahagian daripada karbohidrat. Ia adalah karbohidrat ringkas membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap tubuh.

Ini menunjukkan bahawa jika lebih tinggi paras karbohidrat, secara lazimnya ia bermakna lebih tinggi paras gula tambahan.

Secara semula jadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa dan susu dalam bentuk laktosa.

Selain terdapat dalam bentuk semula jadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa penyediaan atau pemprosesan.

Namun sering berlaku pengambilan gula berlebihan kerana kita tidak sedar kandungan gula tambahan yang tidak diperlukan lantaran gula boleh diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.

Kata Indra, ibu bapa mungkin tidak akan memberikan gula dalam bentuk pasir dalam hidangan anak mereka jadi perhatikan nama bahan berkenaan pada senarai label.

“Jangan menganggap hanya gula adalah gula kerana ia sebenarnya boleh dijelmakan dalam pelbagai bentuk yang kita perlu ketahui.

“Kebanyakan gula tambahan dimasukkan dalam makanan dan minuman untuk memastikan rasanya lebih sedap serta manis.

“Gula tambahan ini tidak mempunyai kandungan vitamin atau mineral dan hanya memiliki rasa manis semata-mata selain membahayakan kesihatan kerana turut mengandungi kalori yang tinggi,” katanya.

Menurut Indra, Panduan Pemakanan Malaysia diterbitkan Kementerian Kesihatan, mengesyorkan orang ramai mengambil makanan dan minuman yang kurang kandungan gula.

Katanya, paras maksimum pengambilan gula tambahan seharian yang disarankan untuk kanak-kanak berusia antara setahun hingga tiga tahun adalah lima sudu teh bersamaan 23 gram hingga 25 gram manakala kanak-kanak empat tahun hingga enam tahun, tujuh sudu teh (32 gram hingga 34 gram) berbanding dewasa iaitu 10 sudu teh sehari.

“Mengurangkan pengambilan gula tambahan memang digalakkan berbanding paras maksimum seperti yang disarankan kerana kehadiran pemanis tiruan itu sebenarnya boleh didapati dalam pelbagai jenis makanan dan bukan hanya dalam susu. Ini kerana, satu sudu teh bersamaan dengan lima gram gula,” katanya.

Pengambilan gula tambahan yang berlebihan juga mendorong kepada peningkatan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak.

Masalah berkenaan bukan sesuatu yang baru untuk diperkatakan tetapi kini menjadi polemik utama di seluruh dunia termasuk Malaysia sendiri.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak prasekolah berlebihan berat badan di Asia dijangka meningkat 4.9 peratus menjelang 2020 berbanding hanya 3.2 peratus pada 1990.

Di Malaysia, kanak-kanak prasekolah yang berlebihan berat badan adalah 6.4 peratus pada 2006, menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga (NHMS III) Kementerian Kesihatan Malaysia.


Kanak-kanak yang obes cenderung membesar sebagai seorang yang obes jika tidak diatasi sejak kecil.

Mereka berisiko menghadapi pelbagai masalah kesihatan termasuk masalah gigi, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi serta barah apabila meningkat dewasa.

Indra berkata, mencegah obesiti dan masalah berat badan berlebihan pada kanak-kanak sebenarnya bermula dari rumah dan ibu bapa adalah contoh terdekat.

Ini kerana kanak-kanak tidak arif mengenai kandungan serta khasiat makanan diambil sepanjang proses tumbesaran justeru, orang dewasa perlu memantau atau mendidik kanak-kanak mengenai pengambilan makanan untuk kesihatan.

Dia berkata, secawan minuman coklat mengandungi enam sudu teh gula manakala minuman soda pula lapan sudu teh gula.

Katanya, semua bahaya itu tidak diketahui oleh kanak-kanak kerana bagi mereka apa yang ibu bapa sediakan itulah yang dianggap terbaik.

“Bayangkan jika mengambil dua jenis minuman ini dalam sehari, sudah tentu ia melebihi jumlah gula diperlukan dalam sehari. Apa yang paling menyedihkan, kajian turut mendapati purata rakyat Malaysia mengambil sebanyak 24 sudu teh sehari.

“Ibu bapa perlu mengawal pengambilan gula tambahan oleh anak dan pastikan tidak melebihi jumlah yang disarankan atau terlalu mengikut selera mereka.

“Bertindak segera untuk menggalakkan anak anda mengamalkan gaya hidup sihat. Amalkan tabiat makan secara sihat, awasi pengambilan makanan yang tinggi lemak dan gula serta galakkan mereka melakukan aktiviti fizikal,” katanya yang turut menggalakkan ibu memasak sendiri makanan di rumah untuk anak mereka.

Bagaimana mengenal kandungan gula tambahan?

Baca label senarai kandungan yang disediakan pengeluar dan jika terdapat perkataan yang berakhir dengan ose (bahasa Inggeris) atau osa, ia mengandungi gula tambahan.

Selain itu, madu, gula perang, molas, sirap jagung, sirap glukos, gula Melaka, sorbitol, xylitol atau froktosa juga sebenarnya adalah gula tambahan yang membahayakan.

Gula tambahan yang banyak digunakan dalam pembuatan susu tumbesaran kanak-kanak adalah sirap glukos, sukrosa dan sirap jagung.

Cara untuk mengurangkan pengambilan gula tambahan.


Pengambilan gula tambahan berlebihan boleh dihindari seandainya kita mengetahui jenis makanan yang banyak mengandungi gula berkenaan.

Contoh hidangan yang nyata mengandungi kandungan gula tambahan adalah biskut, piza, snek, sos barbeku, kicap, sos pada salad, sup, yogurt, minuman coklat, minuman soda serta kek.

Namun, daripada terlalu fokus kepada jumlah gula pada setiap gram makanan atau minuman, lebih digalakkan supaya menyemak istilah yang digunakan seperti sukrosa, sirap jagung, gula merah, fruktosa, madu, maltosa atau sirap malt.

Beberapa tanda yang terdapat pada label makanan yang harus diperhatikan iaitu ‘No Added Sugars’, ertinya tanpa gula atau gula tambahan selama proses pengolahan dan ‘Sugar Free’ ertinya tidak ada gula dalam makanan, meskipun kerap diganti pemanis buatan.


INFO


>Saranan hidangan sihat untuk kanak-kanak dua tahun hingga 10 tahun

Bijirin - empat hingga

enam hidangan

Buah-buahan - satu hingga dua hidangan

Sayur-sayuran - satu hingga tiga hidangan

Daging dan protein - satu hingga dua hidangan

Produk tenusu - satu hingga tiga hidangan

Gula pasir





Ia adalah gula hasil kristalisasi cairan tebu dan biasanya berwarna putih. Ia dikenali sebagai gula pasir kerana bentuknya seperti pasir dan banyak digunakan untuk pemanis dalam minuman dan makanan.



Gula pasir kasar

Gula ini terhasil daripada proses kristalisasi cairan tebu. Berbeza dengan gula pasir, gula ini memiliki tekstur yang lebih kasar manakala warnanya juga lebih berwarna-warni. Biasanya gula jenis ini banyak digunakan untuk ditaburkan pada permukaan makanan sebelum dibakar kerana ia tidak meleleh dalam suhu ketuhar.


Gula kastor

Gula kastor memiliki bentuk yang lebih halus daripada gula pasir dan berwarna putih bersih. Sifatnya mudah bercampur dan banyak digunakan sebagai bahan campuran untuk pemanis dalam adunan kuih, biskut dan kek.


Gula aising
Gula aising adalah sejenis gula yang mengalami proses penghalusan sehingga berbentuk debu. Teksturnya sangat halus dan ia menjadi pilihan utama untuk membuat krim hiasan kek.

Gula dadu
Sesuai dengan namanya, gula dadu memiliki bentuk seperti dadu. Berbeza dengan gula biasa, ia memiliki kualiti yang sangat tinggi dan lazim digunakan sebagai pemanis dalam minuman teh atau kopi.



Gula perang
Gula ini berwarna coklat dan wangi seperti karamel. Rasanya tidak semanis gula biasa dan banyak digunakan untuk pembuatan biskut.


Gula jeli
Ia adalah larutan gula yang warnanya kuning dan kental sehingga menyerupai jeli. Ia sering digunakan sebagai campuran dalam adunan krim mentega.


Sirap mapel
Sirap yang diperoleh daripada pohon mapel yang banyak terdapat di wilayah Amerika Utara. Ia mengandungi larutan 70 peratus sukrosa dan glukosa dalam air. Paling menjadi pilihan untuk dinikmati bersama penkek.

Sirap jagung
Sirap jenis ini diperbuat daripada pati jagung dan rasanya tidak semanis gula biasa. Ia mampu menyerlahkan kesan lebih lembap pada kuih atau kek.

Gula maltosa
Terhasil daripada fermentasi bijirin yang sudah direndam dan dikeringkan sebelum menjalani proses panggang dan penggilingan.

Bentuknya menyerupai madu namun rasanya lebih manis daripada madu.

Karamel
Produk yang diperoleh dengan pemanasan gula. Ia biasanya hadir dalam warna coklat dan hitam serta memiliki bau wangi yang tersendiri.Gula ini banyak digunakan sebagai pewarna dan perisa tambahan pada makanan bagi menambah aroma serta rasa.

Minyak, gula dan garam - sedikit

Saturday, June 4, 2011

Perkembangan otak bayi

Sumber: Risalah Anmum,
Tahun pertama bayi, perjalanan untuk perkembangan minda
Pic: Google


"Kasih sayang dan asuhan yang diterima anak-anak pada tahun-tahun pertama ataupun kekurangannya, akan meninggalkan kesan mendalam pada kinda muda," UNICEF. The state of the Worlds's Children, 2001

"Kembangkanlah perasaan ingin tahun anak anda yang tidak terbatas terhadap dunia sekelilingnya dan tanggapan bahawa pembelajaran adalah sesuatu yang menggembirakan" Dr. Adele Diamond, ahli perkembangan neuropsikologi.

Apakah yang berlaku dalam otak bayi?

Bayi dilahirkan dengan lebih 100 billion sel otak. Sejak dilahirkan, otak bayi mula membina sistem 'pendawaian. Kebanyakan sel-sel otak belum berhubung antara satu sama lain. Ia perlu diaturkan menjadi satu rangkaian yang memerlukan jutaan hubungan atau sinaps antara sel-sel otak.

Sinaps ini terbentuk apabila otak menerima ransangan. Lebih banyak ransangan yang diterima oleh bayi, lebih banyak sel-sel otak akan berhubung.

Bermula daripada suku saiz otak orang dewasa, otak bayi berkembang pesat pada tiga tahun pertama dengan membina berjuta-juta hubungan di antara sel-sel otaknya. Perhubungan sel-sel inilah yang menyebabkan pembelajaran dan perkembangan berlaku sejak dari saat kelahiran.