Tuesday, January 12, 2010

Khasiat aromaterapi untuk kesihatan dan kecantikan





Saturday, January 9, 2010

Pudina






Sunday, January 3, 2010

rose



Chamomile





Lavender






Bahaya herba tradisi pada ibu

Sumber: Utusan Malaysia


Dr. Azriani Ab.Rahman Pensyarah Perubatan Jabatan Perubatan MasyarakatPusat Pengajian Sains PerubatanUniversiti Sains Malaysia, Kelantan.

ADAKAH anda peminat setia ubatan tradisional? Anda perlu befikir dengan berhati-hati sebelum meneruskan niat untuk mengambil ubatan herba tradisional terutamanya jika anda disahkan berbadan dua.

Ubatan tradisional adalah ubatan yang mengandungi keseluruhan atau sebahagian daripada bahan aktifnya bersumber daripada tumbuhan ubatan (herba). Ia digunakan dengan tujuan untuk menghalang atau merawat penyakit atau juga untuk meningkatkan tahap kesihatan.

Ubatan herba diambil sama ada dalam bentuk asal bahagian tumbuhan tersebut seperti buah, bunga, rizom (ubi) atau dalam bentuk air rebusan seperti rebusan akar, batang atau daun atau juga dalam keadaan yang telah diproses di kilang ubatan sama ada dalam bentuk serbuk, ekstrak air atau ekstrak pelarut kimia yang dikeringkan dan dijadikan kapsul, pil herba atau bentuk cecair.

Kajian yang dijalankan oleh para penyelidik daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (PPSP, USM) menunjukkan bahawa pengambilan ubatan tradisional yang mengandungi tumbuhan herba adalah popular di kalangan wanita hamil di negara ini. Kajian yang dijalankan di sebuah daerah di Kelantan pada 2005 ini menunjukkan 51 peratus daripada 316 wanita yang disoal selidik mengakui mereka mengambil ubatan herba semasa hamil.

Dalam satu kajian berbeza, dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) oleh Puan Law KS dan rakan-rakan antara bulan September dan Disember 2007 menunjukkan 34.3 peratus wanita Melayu yang dimasukkan ke wad antenatal HUSM mengakui mengambil ubatan herba semasa hamil dan 73 peratus daripada mereka mengambilnya semasa bersalin.

Kajian yang dijalankan oleh penulis dan rakan-rakan pada 2005 telah cuba menyelidiki tujuan utama pengambilan ubatan herba tradisional oleh golongan wanita tersebut. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, wanita mengambil ubatan herba tradisional boleh dibahagi kepada dua golongan.

Golongan pertama ialah wanita yang mengambil herba sebelum mereka hamil. Hasil kajian menunjukkan bahawa tujuan golongan ini mengambil ubatan herba adalah untuk menjarakkan kelahiran, mengatasi masalah sakit-sakit badan serta membantu meningkatkan kepuasan hubungan kelamin. Di antara herba yang dilaporkan popular untuk memenuhi keperluan tersebut adalah manjakani, kacip fatimah dan mas cotet.

Walaupun mereka mula mengambil ubatan herba sebelum disahkan hamil lagi, ramai yang dengan tidak sengaja telah meneruskan pengambilan ubat herba tanpa menyedari yang mereka telah hamil disebabkan tidak merancang kehamilan. Apabila disahkan hamil, ada yang segera berhenti daripada mengambil ubatan herba. Namun begitu, ketika mereka membuat keputusan untuk berhenti, usia kehamilan telah mencecah beberapa minggu atau bulan.

Golongan wanita yang kedua adalah wanita yang memang mengetahui bahawa diri mereka hamil dan sengaja mengambil ubatan herba khas untuk kehamilan. Di antara ubatan herba tradisional yang menjadi pilihan golongan ini adalah sanggul fatimah, bunga kembang semangkuk yang direbus dan diminum airnya atau minyak kelapa yang dibacakan doa atau disebut 'minyak selusuh' untuk mempermudahkan proses kelahiran.

Ada juga yang beranggapan ubatan herba dapat meningkatkan tahap kesihatan dan kecerdikan janin serta mengatasi masalah lekat uri (retained placenta). Di samping itu, ada juga segelintir wanita yang mengakui pernah mengambil tumbuhan dikenali sebagai pokok celaka untuk menggugurkan kandungan atau melawaskan haid.
Persoalannya, apakah ada kajian yang telah membuktikan keberkesanan ubatan herba untuk tujuan tersebut?
Kesan

PENGAMBILAN ubat moden dan tradisional perlu dipantau bagi memastikan tidak menjejaskan kesihatan ibu dan juga janin yang dikandung.

Setakat ini tiada lagi kajian yang dijalankan di kalangan wanita hamil di negara kita untuk membuktikan keberkesanan herba tempatan dalam memenuhi keperluan dan hasrat tersebut kerana kajian sebegini agak berisiko.

Selain daripada keberkesanan, persoalan yang jauh lebih penting adalah tahap keselamatan ubatan herba tempatan! Jika anda beranggapan bahawa ubatan herba ini sudah tentu selamat daripada kesan sampingan kerana ia adalah daripada tumbuh-tumbuhan semulajadi, anda tersilap.

Menurut hasil tulisan saudara Husin, A dalam artikelnya bertajuk Adverse effects of herbs and drug-herbal interactions yang diterbitkan di dalam Malaysian Journal of Pharmacy pada 2001, keracunan dan kesan sampingan herba yang pernah dilaporkan kepada Pusat Racun Negara di antara tahun 1995 hingga tahun 2000 meliputi lapan kes pada 1995, tiga kes (1996), lima kes (1997), 11 kes (1998), tujuh kes (1999) dan sembilan kes (sehingga tahun 2000).

Di antara herba terlibat adalah jering, kulat kayu, kecubong, ubi kayu, daun mambu dan 'gel pelangsing'. Kementerian kesihatan Malaysia melaporkan 37 peratus daripada 5,000 pesakit buah pinggang di Malaysia turut dikaitkan dengan penggunaan ubatan tradisional dalam jangka masa panjang.

Walaupun bersumberkan tumbuh-tumbuhan, ubatan herba juga tidak terkecuali daripada kesan yang membahayakan kesihatan kerana beberapa faktor seperti:

tumbuhan itu sendiri mempunyai bahan aktif yang kadang kala boleh memberi kesan toksik atau bahaya kepada ibu mahupun janin. Misalnya, Jus mengkudu dilaporkan mengandungi kandungan garam kalium yang tinggi yang membahayakan sesiapa yang mempunyai masalah buah pinggang. Garam kalium yang tinggi dalam darah juga boleh mengganggu proses denyutan jantung.

ubatan herba itu boleh tercemar dengan kuman atau logam berat seperti plumbum semasa proses pengambilan, penyimpanan atau proses pemprosesan ubat itu sendiri.

Kementerian Kesihatan melaporkan 95 peratus produk ubatan herba tradisional yang tidak berdaftar mengandungi steroids

Interaksi di antara ubatan herba dan ubatan moden jika diambil pada masa yang sama boleh mengganggu proses penyerapan dan perkumuhan ubatan moden. Misalnya, ubatan tradisional yang mengandungi salicylic acid boleh berinteraksi dengan ubat aspirin yang diambil oleh pesakit jantung untuk menghalang pembekuan darah. Ini boleh mengakibatkan risiko perdarahan terutama jika pesakit mengalami luka atau menjalani pembedahan.

Sebenarnya tidak banyak kajian yang telah dilakukan terutamanya keatas herba-herba tempatan untuk menentukan kesannya kepada janin jika diambil semasa mengandung. Tumbuhan herba mengandungi bahan-bahan aktif yang boleh menyeberangi uri (plasenta) dan seterusnya meninggalkan kesan kepada janin.

 Keguguran - Kajian ke atas tikus hamil yang dijalankan oleh Profesor Madya Siti Amrah Sulaiman, pensyarah di PPSP, USM menggunakan herba yang biasa diambil oleh Komuniti Orang Asli di Negeri Sembilan sebagai herba perancang keluarga mendapati herba tersebut boleh menyebabkan keguguran janin kerana bahan aktifnya menyebabkan ketidakseimbangan hormon estrogen dan progestron yang penting dalam mengekalkan kehamilan .

Kecacatan - Ada wanita yang mengambil herba jika terlewat datang haid dengan tujuan untuk menggugurkan kandungan mereka. Ada yang berjaya, iaitu kandungan tersebut gugur. Namun begitu, tidak kurang juga yang gagal - keguguran tidak berlaku. Janin akan terus hidup dalam rahim ibu dengan pelbagai risiko akibat daripada kesan ubatan herba yang diambil tadi. Salah satu daripadanya ialah risiko kecacatan. Sekiranya ubatan herba diambil dalam tempoh awal kehamilan (3 bulan pertama), bayi yang dilahirkan mungkin akan mengalami kecacatan teruk kerana tempoh 3 bulan pertama ini adalah tempoh di mana anggota utama janin terbentuk. Bahan aktif atau toksik daripada sesetengah ubatan herba boleh mengganggu proses pembentukan anggota janin. Hasil penyelidikan yang diketuai oleh Prof Madya Siti Amrah ke atas tikus hamil turut menunjukkan sejenis herba tempatan yang begitu popular digunakan untuk rawatan darah tinggi, kencing manis dan jantung menyebabkan janin tikus cacat dengan dagu bawah yang kecil (micrognathia) dan kecacatan pada tempurung kepala janin tikus.

Bayi lemas - Ada wanita yang mengambil produk herba tempatan untuk mempercepatkan proses kelahiran bayi. Biasanya mereka akan mengambil herba ini selepas usia kehamilan mencecah 6 bulan ke atas kerana percaya herba ini boleh membantu mempercepatkan bukaan pangkal rahim. Setakat ini, tiada lagi kajian ke atas herba tempatan untuk membuktikan fakta tersebut! Namun begitu, kajian di negara lain ke atas produk ubatan herba tempatan mereka menunjukkan tumbuhan yang diambil dan dipercayai boleh mempercepatkan proses kelahiran ini memang terbukti mengandungi bahan aktif yang meningkatkan pengecutan rahim yang seterusnya membantu bukaan pangkal rahim. Bagaimanapun, pengambilan herba secara berlebihan berisiko menyebabkan peningkatan pengecutan rahim yang berlebihan dan boleh menyebabkan janin lemas kerana kekurangan oksigen. Jika pengecutan rahim yang berlebihan ini berlaku sebelum kandungan cukup matang, kelahiran 'tidak cukup bulan' boleh berlaku yang akan menimbulkan banyak masalah kepada bayi.

Kematian janin - Mengikut kajian oleh penulis sendiri dan rakan-rakan di sebuah daerah di Kelantan, pengambilan ubatan herba dalam tempoh 3 bulan pertama kehamilan menunjukkan ada kaitan dengan kadar kematian bayi semasa di dalam kandungan atau dalam tempoh 6 hari kelahiran (kematian awal bayi - early neonatal death). Namun begitu, kajian kami turut mendapati pengambilan herba seperti 'minyak kelapa' yang lebih dikenali sebagai 'selusuh' oleh ibu hamil dalam tempoh 3 bulan terakhir kehamilan (trimester ketiga) menunjukkan kaitan pengurangan kadar risiko kematian awal bayi. Walaubagaimanapun kedua-dua penemuan di atas memerlukan kajian lanjutan untuk menentukan kandungan sebenar herba tersebut dan memastikan kesannya ke atas janin.

Waspada
Memastikan sesuatu ubatan tradisional adalah benar-benar selamat sebelum mengambilnya adalah penting kerana kebanyakan ubatan tradisional boleh dibeli di kedai, farmasi atau dipesan daripada bidan kampung atau dibuat sendiri tanpa memerlukan preskripsi daripada doktor. Sebelum membeli atau mengambil sebarang Ubatan Tradisional, semak maklumat berikut:

perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia

maklumat tentang kesan sampingan

maklumat tentang kesan kepada janin

 boleh atau tidak boleh diambil oleh ibu hamil

Langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian kesihatan untuk memastikan ubatan herba selamat kepada pengguna meliputi:

Pendaftaran ubat-ubatan - Di bawah peraturan Kawalan dadah & kosmetik (Control of drugs and cosmetics regulation), sebelum boleh didaftarkan, kementerian telah menetapkan kriteria bahawa produk hendaklah telah diuji dan dipastikan selamat daripada pencemaran kuman, logam berat dan mempunyai label. Pendaftaran adalah penting kerana jika berlaku sebarang kesan sampingan, mudah bagi pihak kementerian untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap produk dan juga pengeluar produk tersebut.

Pemantauan - Bahagian penguatkuasa kawalan dadah (Drug Control Authority) adalah badan yang bertanggungjawab memantau keselamatan ubatan moden (farmaseutikal) atau pun ubatan tradisional. Anda hendaklah memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang kesan sampingan ubat-ubatan jika berlaku. Maklumkan kepada Doktor jika anda mengalami sebarang kesan sampingan daripada Ubatan Tradisional. Doktor akan melakukan pemeriksaan dan membuat pengesahan mengenai kemungkinan kesan sampingan tersebut. Doktor juga akan membuat laporan kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dengan mengisi borang khas yang terdapat di mana-mana hospital atau klinik kesihatan.

Kesimpulannya, keselamatan ubatan herba tempatan masih lagi menjadi tanda tanya kerana hanya sedikit kajian yang telah dijalankan untuk menentukan sama ada ubatan herba tempatan selamat kepada janin. Kajian yang sedia ada, walaupun dijalankan ke atas tikus, telah menunjukkan risiko kecacatan kepada janin. Oleh itu, berhati-hatilah dan ikutilah nasihat berikut:

 seboleh-bolehnya, elakkan mengambil ubatan herba semasa hamil

jika anda masih hendak mengambilnya, pastikan anda mengambil produk yang diiktiraf oleh kementerian kesihatan, ada maklumat yang sahih tentang kesan kepada kehamilan

jika anda mengambilnya dalam keadaan anda tidak hamil, pastikan anda betul-betul merancang kehamilan anda supaya dapat berhenti mengambil sebarang ubat sebelum anda hamil.

Berbincang dan dapatkan nasihat doktor sebelum anda mengambil sebarang Ubatan Tradisional semasa hamil

Penulis ingin merakamkan penghargaan kepada Prof Madya Siti Amrah Sulaiman, pensyarah di Jabatan Farmakologi, PPSP, USM.

Arkib:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0103&pub=utusan_malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm&arc=hive

Meneroka pasaran halal dunia

Arkib: Utusan Malaysia, 15/12/2009
Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1215&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Usahawan 1


Pakcik Harun Baba, pengusaha penternakan burung puyuh sejak 25 tahun lalu, mempunyai dua ladang ternakan puyuh seluas hampir 10 hektar di sekitar Linggi Negeri Sembilan.

Dalam satu-satu musim penternakan dianggar sebanyak 10,000 hingga 50,000 ekor puyuh diternak untuk memenuhi permintaan terhadap bekalan daging burung itu.

Atas nama mempelbagaikan produk berasaskan daging burung puyuh ini, beliau memperkenalkan menu-menu daging puyuh yang menarik, iaitu Puyuh Goreng, Puyuh Goreng Tepung, Puyuh Madu Berempah sehingga Telur Puyuh Goreng Tepung.

"Berbanding daging ayam, daging burung puyuh mengandungi khasiat pemakanan yang lebih tinggi di samping kandungan kalorinya yang rendah.

"Masakannya juga boleh dipelbagaikan seperti memasak daging ayam, tanpa ramai yang ketahui burung puyuh sebenarnya boleh menjadi ubat kepada sesetengah penyakit, terutamanya lelah atau asma," katanya.

Di samping itu, kata Harun, amalan makan daging puyuh boleh meningkatkan dan menjadi sumber tenaga kepada badan.

Beliau yang mengembangkan perniagaan berasaskan penternakan dan memasarkan daging burung puyuh ini benar-benar ingin pergi lebih jauh dalam sektor ini.

Beliau percaya burung puyuh mampu menjadi alternatif kepada sumber makanan berasaskan ternakan dan untuk itu beliau sedia menyahut apa juga cabarannya.

Usahawan 2

Anda amat mengenali sejenis sapuan pada roti yang berasaskan coklat, iaitu jenama N ini. N satu-satunya produk seumpama itu yang pasarannya cukup meluas di negara ini.

Ramai yang menggemarinya kerana teksturnya yang lembut, lazat dan kanak-kanak begitu menggemarinya.

Namun N adalah produk import dari luar yang berjaya menembusi pasaran umat Islam di negara ini kerana mempunyai standard halal yang dibenarkan.

Namun bagi pengusaha seperti Hishamuddin Shaharom, beliau melihat akan keperluan produk seperti ini perlu dikeluarkan di peringkat tempatan.

"Saya bukan bertujuan menjadi pesaing kepada produk N itu tetapi sekadar memberi alternatif yang lebih baik untuk dipilih oleh para pengguna," katanya yang memperkenalkan Coco V sejak Ogos lalu.

Malah tidak sahaja kekuatannya bergantung kepada keluaran tempatan kerana kilang memprosesnya beroperasi di Pulau Indah, Kelang namun yang lebih utama, jenama Coco V (V untuk Victory) adalah 100 peratus halal.

"Dengan harga yang lebih kompetitif murah berbanding N, Coco V tidak sahaja setaraf dan setanding kualitinya dengan N tetapi sebagai umat Islam adalah menjadi satu kefarduan mendapatkan sumber makanan yang halal. Coco V adalah salah satunya," ujar Hishamuddin.

Usahawan 3

Pernah kita digemparkan baru-baru ini dengan siaran berita mengenai kisah buah betik yang diberikan baja dari najis mughallazah atau lebih tepat najis babi dari sebuah ladang komersial di negeri P.

Walaupun betik adalah buah yang sangat halal dimakan tetapi jika dari aspek pembajaannya begitu 'kotor' adakah kita sanggup 'menikmati' buah tersebut dan menjadi darah daging dalam tubuh kita?

Si pengusaha mungkin tidak ada niat untuk menyakiti hati umat Islam kerana selagi penggunaan baja 'asli' itu memberikan kesan yang cukup baik terhadap peningkatan kualiti buah, soal halal haram bukannya menjadi kepentingannya lagi.

Justeru, soal halal haram dari aspek pembajaan atau sebarang bahan penyubur tanah, penggalak bunga dan buah sehinggalah semburan racun serangga perlulah diambil kira. Apatah lagi dari bidang pertanian menjanjikan pelbagai sumber makanan utama manusia.

Maka syarikat seperti Inspirasi RN Enterprise dari Alor Setar, Kedah mengambil tanggungjawab ini dengan mengeluarkan rangkaian baja yang halal dari perspektif Islam.

Ini termasuklah BIOST (Bio Indah Organic soil Treatment), Bokashi E-M (Baja Organik Bermikrob), Biost-Repella (Baja Siraman & Semburan Daun dengan Pengelak Serangga dan Biost Hormone (Baja Penggalak Akar).

Pengurus syarikat, Muzammil Mohammad berkata, pada asasnya baja-baja keluaran syarikat itu adalah dari hampas tebu yang diproses untuk dijadikan baja untuk apa juga jenis tanaman.

"Baja-baja yang kami keluarkan juga adalah bebas dari penggunaan sebarang bahan kimia yang kadang kala memberi kesan sampingan kepada kesihatan dan sistem ketahanan badan sama ada dari aspek penggunaan sehinggalah pemakanan," katanya.

Menurut beliau, pengeluaran baja yang tidak sahaja halal dan berkualiti wajar mendapat sambutan di kalangan umat Islam bagi memastikan sumber makanan dari hasil tanaman mereka adalah benar-benar suci dan bersih.

"Kami ingin memberi sumbangan yang terbaik kepada umat Islam di samping semua itu dihasilkan berdasarkan pengalaman pengasas pengeluar baja ini, Mohamad Bin Azoddin yang sejak tahun 1974 pernah bertugas di Jabatan Pertanian," katanya.

Usahawan 4

UBAT batuk juga sering dicemari dengan pelbagai isu, terutamanya penggunaan alkohol sebagai salah satu bahan utama dalam penyediaannya. Walaupun untuk tujuan rawatan dan kesihatan, ia bukanlah alasan untuk alkohol diterima dalam Islam.

Namun yang pasti tanpa penggunaan alkohol kita masih mempunyai pelbagai bahan lain yang tidak sahaja halal malah lebih berkesan dalam merawat batuk.

Ini terutamanya penggunaan herba dan tumbuhan-tumbuhan eksotik yang Allah kurniakan kepada manusia untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Syarikat Seikhlas Budi dari Simpang, Taiping, Perak misalnya menawarkan sejenis kaedah rawatan batuk menggunakan kaedah sapu dan aromaterapi kepada mereka yang mengalami masalah batuk.

Kaedah ini dikenali sebagai Aromatherapy plus yang berasaskan tumbuhan Tee Tree dan Lavender.

"Dari umur bayi seawal dua bulan yang mengalami batuk, ubat batuk keluaran syarikat kami ini mampu untuk melegakan kerengsaan dan tidak selesa akibat batuk.

"Dengan kaedah ini, terutamanya kepada bayi itu sendiri kita dapat mengurangkan kesan daripada penggunaan ubat cecair yang kadang kala memberi kesan sampingan," kata Pegawai Pemasarannya, Zulkefley Abdul Ghani.

Menurutnya, ubat yang mudah dibawa ke mana sahaja ini adalah alternatif apabila pesakit mengalami batuk tanpa mengira masa dan tempat.

"Tidak ada sebarang kesan sampingan seperti mengantuk dan sebagainya, malah bau harum Lavender mampu memberikan kelegaan yang lebih kepada pesakit," katanya.

Keempat-empat pengusaha di atas adalah antara sebahagian pengusaha yang mengambil bahagian dalam Persidangan Halal dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IISTHAL 2009) selama dua hari di Pusat Konvensyen Sunway, Subang, Selangor baru-baru ini.

Mereka bukan sahaja mempamerkan produk-produk keluaran untuk tujuan pengenalan atau promosi tetapi menawarkan lebih banyak produk-produk halal yang boleh menjadi pilihan kepada umat Islam.

Semua ini menunjukkan kesungguhan yang tidak sahaja untuk meraih keuntungan tetapi yang lebih penting bagi memastikan Malaysia sebagai hab halal terkemuka dunia menjadi satu realiti.

Walaupun kita mengalu-alukan penyertaan dari pelbagai pihak luar bagi merealisasikan matlamat itu namun penyertaan dari anak-anak tempatan tentunya adalah lebih dialu-alukan.

Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab berkata, untuk kebanyakan negara, industri halal adalah sektor perniagaan yang paling pantas berkembang.

Malaysia sendiri bertuah kerana mempunyai kerajaan yang telah sekian lama komited dalam membangunkan industri halal sama ada di peringkat dalam negeri mahupun antarabangsa.

"Ia melalui sentiasa bekerjasama dan melebarkan jaringan bagi memastikan perkembangan yang cerah dalam industri ini terutama antara kerajaan dan sektor swasta," katanya semasa merasmikan persidangan itu.

Sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan yang bertemakan 'Memperkukuh Industri Halal Malaysia dan Meneroka Peluang-peluang di dalamnya' itu.

Ia dianjurkan oleh Global Islamic Tourism Conference & Exhibition (GITC), Khaaz International, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan Pusat Pelancongan Islam.
Menurut Mirza, kini terdapat 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia namun malangnya negara-negara bukan Islam yang lebih mengambil untung dan manfaat dari industri halal ini.

"Bagi mengatasi ini jalan penyelesaiannya adalah mudah, iaitu seluruh negara Islam mestilah secara bersama membangunkan industri ini yang mempunyai perspektif yang sangat luas itu.

"Dengan kata lain, tidak semata-mata bergantung kepada memenuhi keperluan permintaan daging mahupun industri pertanian dan pemakanan tetapi juga segala jenis perkhidmatan yang berasaskan Islam," katanya.