Sunday, January 3, 2010

Meneroka pasaran halal dunia

Arkib: Utusan Malaysia, 15/12/2009
Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1215&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

Usahawan 1


Pakcik Harun Baba, pengusaha penternakan burung puyuh sejak 25 tahun lalu, mempunyai dua ladang ternakan puyuh seluas hampir 10 hektar di sekitar Linggi Negeri Sembilan.

Dalam satu-satu musim penternakan dianggar sebanyak 10,000 hingga 50,000 ekor puyuh diternak untuk memenuhi permintaan terhadap bekalan daging burung itu.

Atas nama mempelbagaikan produk berasaskan daging burung puyuh ini, beliau memperkenalkan menu-menu daging puyuh yang menarik, iaitu Puyuh Goreng, Puyuh Goreng Tepung, Puyuh Madu Berempah sehingga Telur Puyuh Goreng Tepung.

"Berbanding daging ayam, daging burung puyuh mengandungi khasiat pemakanan yang lebih tinggi di samping kandungan kalorinya yang rendah.

"Masakannya juga boleh dipelbagaikan seperti memasak daging ayam, tanpa ramai yang ketahui burung puyuh sebenarnya boleh menjadi ubat kepada sesetengah penyakit, terutamanya lelah atau asma," katanya.

Di samping itu, kata Harun, amalan makan daging puyuh boleh meningkatkan dan menjadi sumber tenaga kepada badan.

Beliau yang mengembangkan perniagaan berasaskan penternakan dan memasarkan daging burung puyuh ini benar-benar ingin pergi lebih jauh dalam sektor ini.

Beliau percaya burung puyuh mampu menjadi alternatif kepada sumber makanan berasaskan ternakan dan untuk itu beliau sedia menyahut apa juga cabarannya.

Usahawan 2

Anda amat mengenali sejenis sapuan pada roti yang berasaskan coklat, iaitu jenama N ini. N satu-satunya produk seumpama itu yang pasarannya cukup meluas di negara ini.

Ramai yang menggemarinya kerana teksturnya yang lembut, lazat dan kanak-kanak begitu menggemarinya.

Namun N adalah produk import dari luar yang berjaya menembusi pasaran umat Islam di negara ini kerana mempunyai standard halal yang dibenarkan.

Namun bagi pengusaha seperti Hishamuddin Shaharom, beliau melihat akan keperluan produk seperti ini perlu dikeluarkan di peringkat tempatan.

"Saya bukan bertujuan menjadi pesaing kepada produk N itu tetapi sekadar memberi alternatif yang lebih baik untuk dipilih oleh para pengguna," katanya yang memperkenalkan Coco V sejak Ogos lalu.

Malah tidak sahaja kekuatannya bergantung kepada keluaran tempatan kerana kilang memprosesnya beroperasi di Pulau Indah, Kelang namun yang lebih utama, jenama Coco V (V untuk Victory) adalah 100 peratus halal.

"Dengan harga yang lebih kompetitif murah berbanding N, Coco V tidak sahaja setaraf dan setanding kualitinya dengan N tetapi sebagai umat Islam adalah menjadi satu kefarduan mendapatkan sumber makanan yang halal. Coco V adalah salah satunya," ujar Hishamuddin.

Usahawan 3

Pernah kita digemparkan baru-baru ini dengan siaran berita mengenai kisah buah betik yang diberikan baja dari najis mughallazah atau lebih tepat najis babi dari sebuah ladang komersial di negeri P.

Walaupun betik adalah buah yang sangat halal dimakan tetapi jika dari aspek pembajaannya begitu 'kotor' adakah kita sanggup 'menikmati' buah tersebut dan menjadi darah daging dalam tubuh kita?

Si pengusaha mungkin tidak ada niat untuk menyakiti hati umat Islam kerana selagi penggunaan baja 'asli' itu memberikan kesan yang cukup baik terhadap peningkatan kualiti buah, soal halal haram bukannya menjadi kepentingannya lagi.

Justeru, soal halal haram dari aspek pembajaan atau sebarang bahan penyubur tanah, penggalak bunga dan buah sehinggalah semburan racun serangga perlulah diambil kira. Apatah lagi dari bidang pertanian menjanjikan pelbagai sumber makanan utama manusia.

Maka syarikat seperti Inspirasi RN Enterprise dari Alor Setar, Kedah mengambil tanggungjawab ini dengan mengeluarkan rangkaian baja yang halal dari perspektif Islam.

Ini termasuklah BIOST (Bio Indah Organic soil Treatment), Bokashi E-M (Baja Organik Bermikrob), Biost-Repella (Baja Siraman & Semburan Daun dengan Pengelak Serangga dan Biost Hormone (Baja Penggalak Akar).

Pengurus syarikat, Muzammil Mohammad berkata, pada asasnya baja-baja keluaran syarikat itu adalah dari hampas tebu yang diproses untuk dijadikan baja untuk apa juga jenis tanaman.

"Baja-baja yang kami keluarkan juga adalah bebas dari penggunaan sebarang bahan kimia yang kadang kala memberi kesan sampingan kepada kesihatan dan sistem ketahanan badan sama ada dari aspek penggunaan sehinggalah pemakanan," katanya.

Menurut beliau, pengeluaran baja yang tidak sahaja halal dan berkualiti wajar mendapat sambutan di kalangan umat Islam bagi memastikan sumber makanan dari hasil tanaman mereka adalah benar-benar suci dan bersih.

"Kami ingin memberi sumbangan yang terbaik kepada umat Islam di samping semua itu dihasilkan berdasarkan pengalaman pengasas pengeluar baja ini, Mohamad Bin Azoddin yang sejak tahun 1974 pernah bertugas di Jabatan Pertanian," katanya.

Usahawan 4

UBAT batuk juga sering dicemari dengan pelbagai isu, terutamanya penggunaan alkohol sebagai salah satu bahan utama dalam penyediaannya. Walaupun untuk tujuan rawatan dan kesihatan, ia bukanlah alasan untuk alkohol diterima dalam Islam.

Namun yang pasti tanpa penggunaan alkohol kita masih mempunyai pelbagai bahan lain yang tidak sahaja halal malah lebih berkesan dalam merawat batuk.

Ini terutamanya penggunaan herba dan tumbuhan-tumbuhan eksotik yang Allah kurniakan kepada manusia untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Syarikat Seikhlas Budi dari Simpang, Taiping, Perak misalnya menawarkan sejenis kaedah rawatan batuk menggunakan kaedah sapu dan aromaterapi kepada mereka yang mengalami masalah batuk.

Kaedah ini dikenali sebagai Aromatherapy plus yang berasaskan tumbuhan Tee Tree dan Lavender.

"Dari umur bayi seawal dua bulan yang mengalami batuk, ubat batuk keluaran syarikat kami ini mampu untuk melegakan kerengsaan dan tidak selesa akibat batuk.

"Dengan kaedah ini, terutamanya kepada bayi itu sendiri kita dapat mengurangkan kesan daripada penggunaan ubat cecair yang kadang kala memberi kesan sampingan," kata Pegawai Pemasarannya, Zulkefley Abdul Ghani.

Menurutnya, ubat yang mudah dibawa ke mana sahaja ini adalah alternatif apabila pesakit mengalami batuk tanpa mengira masa dan tempat.

"Tidak ada sebarang kesan sampingan seperti mengantuk dan sebagainya, malah bau harum Lavender mampu memberikan kelegaan yang lebih kepada pesakit," katanya.

Keempat-empat pengusaha di atas adalah antara sebahagian pengusaha yang mengambil bahagian dalam Persidangan Halal dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IISTHAL 2009) selama dua hari di Pusat Konvensyen Sunway, Subang, Selangor baru-baru ini.

Mereka bukan sahaja mempamerkan produk-produk keluaran untuk tujuan pengenalan atau promosi tetapi menawarkan lebih banyak produk-produk halal yang boleh menjadi pilihan kepada umat Islam.

Semua ini menunjukkan kesungguhan yang tidak sahaja untuk meraih keuntungan tetapi yang lebih penting bagi memastikan Malaysia sebagai hab halal terkemuka dunia menjadi satu realiti.

Walaupun kita mengalu-alukan penyertaan dari pelbagai pihak luar bagi merealisasikan matlamat itu namun penyertaan dari anak-anak tempatan tentunya adalah lebih dialu-alukan.

Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab berkata, untuk kebanyakan negara, industri halal adalah sektor perniagaan yang paling pantas berkembang.

Malaysia sendiri bertuah kerana mempunyai kerajaan yang telah sekian lama komited dalam membangunkan industri halal sama ada di peringkat dalam negeri mahupun antarabangsa.

"Ia melalui sentiasa bekerjasama dan melebarkan jaringan bagi memastikan perkembangan yang cerah dalam industri ini terutama antara kerajaan dan sektor swasta," katanya semasa merasmikan persidangan itu.

Sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan yang bertemakan 'Memperkukuh Industri Halal Malaysia dan Meneroka Peluang-peluang di dalamnya' itu.

Ia dianjurkan oleh Global Islamic Tourism Conference & Exhibition (GITC), Khaaz International, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan Pusat Pelancongan Islam.
Menurut Mirza, kini terdapat 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia namun malangnya negara-negara bukan Islam yang lebih mengambil untung dan manfaat dari industri halal ini.

"Bagi mengatasi ini jalan penyelesaiannya adalah mudah, iaitu seluruh negara Islam mestilah secara bersama membangunkan industri ini yang mempunyai perspektif yang sangat luas itu.

"Dengan kata lain, tidak semata-mata bergantung kepada memenuhi keperluan permintaan daging mahupun industri pertanian dan pemakanan tetapi juga segala jenis perkhidmatan yang berasaskan Islam," katanya.

No comments: