Tuesday, June 23, 2009

Cegah dan kawal penyakit wanita

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH, adawiyah.koh@utusan.com.my
Petikan: Utusan Malaysia
ARKIB : 10/05/2009

PERSEDIAAN menghadapi peringkat menopaus perlu mengurangkan tekanan.

KITA sering mengungkap kasih ibu membawa ke syurga. Sentuhan ibu juga yang mengeratkan hubungan anak serta membina kesejahteraan keluarga. Bukan itu sahaja, peranan wanita yang bergelar ibu cukup besar dalam menguruskan rutin keluarga, malahan, mereka yang bekerja terpaksa menguruskan dua tugas setiap hari.

Walaupun masa mereka terhad, seorang ibu akan berusaha melaksanakan tugas di rumah dan pejabat dengan sempurna. Di sebalik wajah yang tabah dan tenang, golongan ini tidak akan lari daripada risiko serangan penyakit berbahaya.

Bahkan, peranan seorang ibu bukan sedar mendidik atau membesarkan anak tetapi dia merupakan wanita pertama yang hadir dalam hidup setiap insan. Ibu jugalah mengandungkan kita selama sembilan bulan dan kita menghuni rahimnya, sebelum kita melihat dunia. Tidak hanya itu, ibu jugalah yang bertarung nyawa, menjaga, membelai, membesarkan dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kita yang bergelar anak.

Hakikatnya, membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga memang memenatkan buat wanita moden kini. Ada kalanya tiada masa untuk memikirkan diri sendiri.

Ada juga yang mengambil berat soal kesihatan tetapi terlalu sibuk untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kandungan khasiat pada label makanan. Ada juga yang tidak pasti jika ia membekalkan pelbagai khasiat diperlukan untuk kehidupan seharian.

Kekurangan khasiat penting boleh mengakibatkan seseorang itu tidak mampu berfungsi pada tahap sewajarnya. Ia boleh menyebabkan keletihan, mudah dijangkiti penyakit dan tiada rangsangan untuk melakukan kerja seharian.

Apabila tahap tenaga semakin rendah, kita sangat mudah untuk tidak melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan ini menganggu gaya hidup wanita.

Emosi wanita sebagai isteri, ibu dan pengurus rumah tangga mempunyai pengaruh besar kepada seisi keluarga. Masalah akan bertambah teruk jika suami dan anak tidak faham apa yang dilalui wanita sehingga ada yang mengalami tekanan dan kemurungan.

Jadi wanita berkemungkinan berasa rendah diri atau malu kerana mereka mempunyai gejala penyakit seperti gangguan hormon ketika kehamilan, menopaus dan sebagainya hingga gangguan emosi.

Sempena hari ibu yang jatuh pada hari ini, seisi keluarga perlu memahami penyakit-penyakit yang boleh menyerang seorang ibu.

Tidak hanya meraikan hari istimewa ini di tempat-tempat makan malam seperti hotel, namun sebagai suami dan anak, anda perlu memahami keperluan kesihatan ibu.

Pencegahan awal dan penjagaan berterusan kesihatan ibu amat penting untung membina kesejahteraan keluarga dan membendung kemurungan emosi golongan ini.

Dalam membicarakan penyakit serius wanita, terdapat empat peringkat umur yang harus difahami wanita.

Keempat-empat peringkat ini termasuk 18 hingga 30 tahun, 30 hingga 50 tahun, 50 hingga 70 tahun dan 70 tahun ke atas.

Masing-masing mempunyai risiko penyakit yang berbeza.

Bagi golongan ibu, terdapat enam penyakit yang sering dihidapi iaitu kanser payu dara, kanser rahim atau serviks, menopaus, serangan jantung, kehamilan dan osteoporosis.

Namun, terdapat juga penyakit puan lain yang sering dialami seperti penyakit seksual dan mata.

Kehadiran penyakit ini dalam diri wanita memberi impak terhadap emosi wanita kerana ketidakstabilan perasaan.

Menurut Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Sakit Puan, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, kanser payu dara masih menjadi penyakit umum wanita di seluruh dunia.

Menurut nisbah penyakit ini, 19 wanita daripada jumlah penduduk mempunyai risiko menghidap penyakit ini.

"Kanser payu dara ialah ketumbuhan atau tumor payu dara boleh jadi berkanser atau benigna (tumor bukan barah). Ketumbuhan mungkin disebabkan oleh fibroadenoma dan penyakit fibrosistik. Kedua-dua bengkak ini bagaimanapun hampir tidak pernah bertukar menjadi kanser," katanya pada bengkel media anjuran Weber Shandwick dengan sokongan Novartis.

Gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, disusuli dengan lelehan yang keluar dari puting, kadang kala mengandungi darah.

Bagi mengesan awal penyakit ini, wanita yang berumur 50 tahun ke atas disarankan melakukan pemeriksaan mamogram. Namun, wanita berumur 40 hingga 49 tahun yang mempunyai sejarah keluarga berkaitan kanser ini perlu melakukan pemeriksaan mamogram awal.

"Selain mamogram, kaedah pemeriksaan payu dara sendiri (BSE) membantu wanita mengenali tubuh sendiri dan dapat mengesan keganjilan pada payu dara mereka.

Tidak dapat dinafikan masih ramai wanita malu untuk memeriksa dan berasa tidak selesa menyentuh tubuh sendiri. Jika ada benjolan, segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Usah tunggu benjolan menjadi sakit kerana risiko penyakit bertambah buruk sangat tinggi," ujarnya.

Selain kanser payu dara, seorang ibu juga berisiko tinggi diserang kanser rahim atau serviks..

Menurut laporan Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan, kanser ini merupakan jumlah kanser kedua tertinggi.

Jumlah 12.9 peratus pesakit kanser wanita dengan 19.7 peratus kes daripada 10 000 penduduk.

"Pendarahan selepas mengadakan hubungan seks antara tanda penting barah kian membesar. Oleh kerana tiada tanda atau kesakitan pada peringkat awal barah pangkal rahim, ramai wanita kurang memberi perhatian pada penyakit ini. Barah pangkal rahim boleh dikesan melalui ujian lumuran pap (pap smear) yang diperkenalkan sejak 60 tahun lalu," jelas Dr. Nor Ashikin.

Sebenarnya semua wanita terdedah pada jangkitan HPV, tetapi biasanya sistem imun badan dapat menghapuskannya dalam masa satu atau dua tahun.

Namun dalam sesetengah keadaan, virus ini terus tinggal dalam badan sehingga wanita tua tanpa menyebabkan barah.

" Virus akan membiak dan mula menyebabkan barah apabila sistem imun badan lemah. Proses ini mengambil masa lama; antara lima hingga 10 tahun untuk membentuk fasa pra kanser. Dari fasa ini ia mengambil masa lima hingga 10 tahun lagi untuk menjadi kanser. Ini sebabnya wanita disaran menjalani ujian lumuran pap yang boleh mengesan kehadiran sel kanser dari peringkat awal," jelasnya.

Tidak ketinggalan, seorang ibu yang meningkat usia, mereka akan melalui fasa menopaus. Kebanyakan orang ada persepsi kurang menyenangkan terhadap menopaus, terutama apabila ia dikaitkan dengan perubahan sikap dan emosi wanita.

"Hakikatnya, perubahan emosi wanita yang di ambang atau menjalani proses menopaus bukan dibuat-buat kerana semuanya berkaitan dengan perubahan hormon estrogen dan progesteron.

Menopaus adalah proses yang berlaku secara perlahan-lahan dan diiringi beberapa gejala seperti selaran kepanasan, perubahan emosi, kekeringan dan sukar tidur malam," jelasnya.

Seseorang wanita hanya dikatakan menopaus apabila haidnya terhenti selama setahun. Selepas setahun bebas haid, sebarang pendarahan vagina dianggap tidak normal dan jika ia berlaku pada anda, segera berjumpa pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut.

Kekurangan maklumat dan kewujudan pelbagai teori tidak tepat menyebabkan ramai orang, termasuk wanita, mempunyai persepsi negatif terhadap menopaus.

Kaedah terapi penggantian hormon (HRT) penting untuk mencegah penyakit jantung dan osteoporosis.

Namun yang lebih penting ialah kesejahteraan seseorang wanita selepas menopaus khususnya kestabilan emosi.

Sebagai persediaan, setiap wanita perlu bersedia menghadapi fasa menopaus dengan sikap terbuka dan berfikiran positif.

Selain tiga penyakit ini, Dr. Nor Ashikin memberitahu, wanita juga berisiko menghidap serangan jantung.

Sakit jantung menjadi faktor utama kematian lelaki dan wanita di seluruh dunia termasuk 22.5 peratus penyebab kematian wanita Malaysia ialah sakit jantung.

"Apabila wanita mencapai umur 50 tahun, dia mudah diserang sakit jantung. Wanita yang mengalami menopaus, peningkatan umur, sejarah keluarga, merokok, kandungan kolestrol yang tinggi dan kurang aktiviti fizikal berisiko menghidap menyakit ini," jelasnya.

Bagi menjaga kesihatan jantung, anda perlu mengurangkan atau menjauhi asap rokok, menjaga berat badan, bersenam sekurang-kurangnya 30 hingga 40 minit untuk lima kali seminggu, berdiet dam merawat atau kawal aras gula dalam darah (diabetes), kolestrol dan tekanan darah.

Sementara itu, perubahan hormon ketika kehamilan juga mempengaruhi kesihatan bakal ibu.

Mana tidaknya, tekanan dan kebimbangan yang dirasai boleh menganggu emosi.

Dr. Nor Ashikin berkata, persedian ibu perlu dilakukan bermula saat kehamilan hingga kelahiran.

Misalnya, bakal ibu boleh mereka mengalami masalah pedih ulu hati dan morning sickness, ia pasti menimbulkan kesakitan dan ketidakselesaan berpanjangan.

Tidak ketinggalan, wanita juga akan mengalami masalah penyakit ketika datang haid, kesuburan, pencegah kehamilan dan gejala jangkitan akibat seks STD.

Penyakit-penyakit ini mempengaruhi perubahan emosi wanita dan menganggu rutin harian mereka.

Pada bengkel media yang sama, Pakar Perunding Kanan Endrokrinologis, Profesor Chan Siew Pheng turut melahirkan kebimbangan tentang kurangnya kepekaan wanita tentang kesihatan tulang iaitu osteoporosis.

Peningkatan usia, pemakanan dan gaya hidup menjadi antara faktor risiko osteoporosis.

"Semakin lanjut usia seseorang, semakin tinggi risiko mendapat penyakit ini dan tulang menjadi lebih cepat rapuh jika merokok, tidak bersenam dan kurang memberi penekanan terhadap penjagaan makanan.

"Selain itu, sejarah keluarga, berat badan, minum alkohol, menopaus dan pengambilan ubat-ubatan," jelasnya.

Apabila umur meningkat, kita mengalami proses kehilangan jisim tulang dan osteoporosis lebih banyak berlaku pada wanita kerana lelaki mempunyai rangka tulang lebih besar.

Selain meminum susu khusus untuk menguatkan kalsium, wanita boleh mengambil suplemen kalsium kerana susu bukan jaminan untuk memperolehi kalsium. Selain itu, berjemur di bawah cahaya matahari, dapat memberi tambahan vitamin D terutamanya ketika matahari sedang sederhana terik dan bukannya pada awal pagi dan lewat petang.

Sebagai ibu, melakukan senaman dapat membantu mengawal osteoporosis.

1 comment:

armouris said...

info tentang kanser payudara kat sini - Pengesanan Awal Kanser Payudara