Sunday, June 21, 2009

Keperluan pemakanan mengikut umur

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

PEMAKANAN sihat mengikut kumpulan makanan yang betul dapat menjamin kesihatan yang baik. Namun, keperluan kandungan perlu dititik beratkan agar tidak berlaku lebihan atau kekurangan zat.

Pemakanan sihat merupakan pengambilan makanan yang seimbang mengikut kumpulan makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, protein, kekacang, susu dan tenusu.

Amat penting kita menuju ke arah pemakanan seimbang untuk kesihatan badan dan jantung.

Bukan setakat makanan sedap tetapi kesederhanaan pemakanan penting untuk jantung misalnya, pengambilan karbohidrat yang sederhana, mengawal kolestrol dan banyak memakan buah-buahan.

Menurut Penasihat Pemakanan Korporat Nestle, Tracy Lew, individu perlu mengurangkan protein yang terlalu banyak lemak.

"Contohnya kita perlu memakan ayam tetapi jangan makan kulitnya. Jika perlu memakan daging, pilihlah yang kurang berlemak

Ini kerana untuk penjagaan jantung, kita perlu mengelakkan lemak tepu yang biasanya ia boleh diperolehi daripada lemak haiwan," katanya yang ditemui di pejabat Nestel Products Sdn Bhd, Petaling Jaya, Selangor.

Bagi pengambilan susu, orang ramai khususnya yang dewasa digalakkan minum susu yang kurang krim dan lemak.

Ini kerana lemak dan kolestrol yang tinggi boleh menjejaskan kesihatan badan.

Sementara itu, untuk mengurangkan kolestrol, orang ramai boleh mengurang pengambilan telur kuning dan makanan laut seperti udang, ketam dan kerang.

"Di Nestle misalnya, kami ada proses memperbaiki produk seperti mengkaji kandungan lemak dan garam.

Misalnya, susu omega plus dihasilkan khusus untuk jantung kerana mengandungi rendah kolestrol dan mempunyai nilai tambahan yang baik seperti sterol tumbuhan," jelasnya.

Tambah Tracy, pemakanan sihat sebenar bermula daripada peringkat kanak-kanak lagi mengikut piramid pemakanan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagi kanak-kanak, mereka memerlukan kalsium untuk pembinaan tulang mengikut peningkatan usia. Namun, jumlah pengambilan kalsium mengikut peringkat umur memang berbeza.

"Kebiasaannya susu kanak-kanak yang elok mengandungi bakteria khusus yang baik untuk usus perut.

Begitu juga jumlah lemak yang perlu diambil iaitu mereka yang dewasa perlu mengurangkan lemak kerana berat badan yang berlebihan boleh menyebabkan risiko penyakit jantung," katanya.

Justeru itu, orang ramai perlu memeriksa makanan yang dibeli dari segi kandungan.

Misalnya, Nestle menyediakan panduan kesihatan yang mudah pada pembungkusan makanan. Adanya talian khusus untuk pelanggan, 1800-88-3433 juga dapat memberi panduan kepada orang ramai tentang pemakanan.

Namun, bukan setakat pemakanan, orang ramai dinasihatkan melakukan lebih aktiviti luar, sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

"Ini penting untuk mengelakkan berat badan yang berlebihan atau obesiti.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan juga penting untuk memastikan tiada darah tinggi dan diabetes. Orang ramai juga diminta tidak merokok kerana ia merupakan punca pelbagai penyakit," jelasnya yang menggalakkan orang ramai menyertai aktiviti luar termasuk berjalan seperti Walk A Mile.

ARKIB : 24/05/2009

No comments: