Teks: Masayu Ahmad
Foto:http://nilamberkat.blogspot.com/
Fizikal
Anda akan mengalami proses akhir ketika kandungan menghampiri tarikh kelahiran. Sangat perlu untuk memastikan pengambilan pemakanan seimbang, berat badan tidak berlebihan dan juga anda kekal aktif bertenaga.
Untuk memudahkan proses bersalin, anda harus banyak bergerak, berjalan, turun naik tangga. Jangan beri alasan malas sekiranya anda mahukan prose bersalin yang lebih mudah. Selebihnya mudah atau tidak bergantung kepada rezeki. Namun anda masih boleh bersedia dengan menikmati hari-hari teakhir kelahiran dengan melakukan regangan, berjalan perlahan-lahan dan sebagainya.
Mental
Persediaan mental dengan membaca surah-surah pilihan, agar anda sentiasa tenang dan menikmati hari-hari kandungan yang semakin membesar.
Biarkan fikiran sentiasa relaks dan ketika kontraksi pertama berlaku, sematkan dalam diri bahawa masanya sudah tiba, anda harus tempuhi dengan tenang.
Jangan terbawa-bawa kisah dan pengalaman yang kurang menyenangkan perasan. Setiap wanita hamil mengalami keadaan yang berbeza.
Peralatan bayi
Buat senarai peralatan bayi, untuk memudahkan anda tahu apa yang sudah ada dan apa yang belum. Simpan dan letak di satu sudut yang memudahkan anda untuk mengemas kini.
Kelengkapan berpantang
Kelengkapan berpantang, termasuklah barut, bengkung, tungku, ubatan atau jamu untuk memulihkan kesihatan dalaman dan luaran. Menyediakan bilik berpantang juga adalah memudahkan anda berehat di bilik khusus tanpa gangguan.
Penjagaan semasa berpantang
Sama ada kelahiran sulung, anak ke dua atau ke tiga, anda perlu membuat persediaan siapa yang akan menjaga anda kelak. Sekiranya berada di rumah mertua, anda boleh selidik lebih awal gaya penjagaan ibu mertua melalui adik beradi, ipar duai atau berbincang sendiri dengan ibu mertua.
Begitu juga sekiranya dijaga suami atau adik beradik, anda boleh berbincang terlebih dahulu apa yang anda mahukan dan juga berdasarkan pengalaman mereka.
Hospital bersalin
Sangat penting menyenaraikan maklumat awal berkenaan lokasi atau tempat bersalin. Senaraikan beberapa lokasi pilihan untuk memudahkan anda ketika berada situasi kecemasan ketika kontraksi atau tanda-tanda bersalin sudah ada.
Informasi wanita hamil dan penjagaan bayi
Maklumat dan info berkaitan kehamilan dan penjagaan bayi boleh didapati melalui buku-buku, artikel di majalah, laman web kehamilan, perkongsian pengalaman dan juga pertanyaan kepada pakar perbidanan. Gunakan masa yang ada untuk meningkatkan informasi anda berkaitan kehamilan dan penjagaan bayi, agar memudahkan anda membuat persediaan dengan lebih sempurna dan teratur
No comments:
Post a Comment