Wednesday, April 8, 2009

Penampilan hebat tanpa gangguan masalah kesihatan

Wanita mahupun lelaki sentiasa mengimpikan penampilan hebat dan menarik. Setiap orang teruja untuk memiliki badan yang sihat dan cergas sebagai daya penarik untuk didampingi. Situasi-situasi berikut menyebabkan anda mudah rasa tersisih dan mula menjauhkan diri.

Berat badan semakin bertambah

Setiap kali anda menanam azam untuk mencapai berat badan normal, setiap kali juga rasa kecewa menyelinap apabila pakaian silih berganti bertukar saiz. Pada mulanya saiz m sahaja mula berubah L dan seterusnya XL. Setiap kali anda menimbang berat, jarum mudah sahaja bergerak dan condong ke kanan. Ini menyebabkan azam anda tinggal azam semata-mata.

Rasa malas untuk bergaul dan bersosial mula membataskan anda dengan masyarakat sekeliling. Teori pengambilan makanan seimbang, aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan tangani stress cara sihat seolah-seolah sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

Bau badan

Masalah ini memberi anda satu pandangan negatif sebagai seorang yang selekeh dan kurang menitikberatkan kebersihan. Alahan pada makanan seperti bawang dan juga peluh berlebihan antara penyebab bau badan yang kurang menyenangkan.

Sentiasa memastikan mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Pakai pakaian yang bersih dan mempunyai fabrik menyerap peluh. Sapukan losyen nyah bau badan yang bersesuaian dan mencukur bulu ketiak dijadikan satu rutin untuk mengelakkan masalah ini.

Kulit yang sihat

Muka berjerawat dan kusam menyebabkan anda rasa rendah diri dan malu untuk tampil ke hadapan. Selalunya setiap orang mempunyai jenis kulit yang berbeza iaitu kulit normal, kering dan berminyak.

Nilai pH bagi kulit normal ialah 4.2 hingga 5.6. Penjagaan kesihatan kulit boleh dilakukan dengan melakukan pembersihan rutin. Pemilihan produk yang sesuai berdasarkan jenis kulit boleh dirujuk kepada pakar kulit terlebih dahulu. Ini perlu dilakukan agar anda tidak tersalah memilih produk. Banyak kes yang berlaku produk yang kurang sesuai dengan kulit menyebabkan lebih banyak jerawat, kusam dan muncul noda-noda hitam.

Tidak kurang juga penggunaan hidrokinon yang berlebihan pada sesuatu produk meninggalkan kesan pengelupasan luar biasa dan kemerah-merahan apabila terkena panahan matahari.

Untuk mendapatkan kulit sihat, lakukan pembersihan sekurang-kurangnya dua kali sehari, menggunakan pelembap yang sesuai tetapi bagi kulit yang berminyak pelembap tidak perlu. Makan makanan seimbang dengan melebihkan serat amat bagus untuk mendapat kulit sihat. Bersenam secara konsisten mampu meningkatkan perpeluhan untuk membantu pengeluaran toksin dan melancarkan peredaran darah.

No comments: