Sunday, November 23, 2008

Terapi tubuh dan minda untuk cergas seharian



Bekerja jam 8 pagi hingga 6 petang. Setiap hari menempuh kesesakan lalu lintas. Sampai di pejabat perlu pula menyelesaikan timbunan tugas. Itu tidak termasuk melayan kerenah manusia. Arahan bos perlu diikut, kerenah teman sepejabat kadangkala juga membuatkan anda pening kepala.

Pulang ke rumah, perlu berhadapan dengan tugasan rumah dan kerenah anak-anak. Situasi ini sesiapa sahaja tidak boleh mengelak. Menempuh suasana sibuk sepanjang hari memerlukan anda bersiap sedia dengan perisai tenaga yang sepatutnya. Tenaga perlu dipulihkan selalu agar anda setiasa nampak tenang dan ceria sepanjang hari. Apa rahsianya, tip berikut boleh membantu.


Tidur dan rehat yang cukup

Tetapkan waktu tidur setiap hari. Rutin ini memberikan peluang kepada sistem tubuh untuk berehat. Tidur yang berkualiti mampu memulihkan tenaga kembali cergas. Pilih ruang tidur yang bersih dan lapang. Elak meletakkan pelbagai alatan yang tidak sepatutnya di ruang tidur anda.

Elak perkara-perkara yang boleh mengangu tidur anda seperti pakaian kotor yang berselerak, cadar yang tidak bertukar berbulan-bulan dan habuk di sana sini.
Harmonikan ruang istirehat dengan warna yang menyamankan seperti biru lembut. Sebelum tidur boleh menyalakan lilin wangian. Bagi yang beragama islam membaca quran dan berzikir sebelum tidur adalah penawar paling mujarab untuk ubat tidur lena.


Tubuh yang bersih

Mandi adalah satu terapi sihat untuk memberikan kesegaran pada tubuh. Pada masa yang sama membuang kekotoran yang melekat. Peluh dan keringat yang melekat, bau yang kurang menyenangkan perlu dinyahkan segera. Gunalah mandian dan pembersih yang bersesuaian dengan kulit anda.

Saat air bersih mengalir dan membasahi seluruh tubuh anda mampu merasakan satu terapi yang baik untuk menenangkan diri anda. Usap tubuh badan untuk mengeluarkan kotoran yang tidak diperlukan. Seusai mandi gunakan haruman yang sepatutnya mengikut kegemaran anda. Pilih pakaian yang bersih. Nah kali ini anda sudah bersedia untuk rutin harian yang sibuk.

Bersenam

Bersenam selepas bangun tidur selama 5 hingga 10 minit sangat bagus untuk kesihatan. Lakukan sedikit aktiviti regangan, kaedah yang sangat praktikal untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Boleh juga berlari setempat atau turun naik tangga untuk beberapa ketika. Hanya menggunakan ruang dan kemudahan yang sudah ada di rumah. Kebiasaan sihat sebegini sangat bagus untuk melancarkan peredaran darah.

Tiga tip mudah di atas tidak memerlukan kos yang besar hanya kemahuan sahaja yang boleh menggerakkan usaha anda. Pastikan anda mendisplinkan diri melalukan perkara-perkara yang mudah ini agar anda sentiasa sihat dan gembira.

No comments: