Wednesday, April 30, 2008

Selera masyarakat kita

Punca penduduk makan nasi banyak

KUALA TERENGGANU 29 April - Penduduk Terengganu dan Kelantan paling banyak makan nasi kerana mereka tidak suka memasak sendiri, sebaliknya lebih gemar membeli makanan di gerai yang kebanyakan menu pilihan mereka adalah berasaskan nasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, sikap tersebut merupakan antara faktor penduduk kedua-dua negeri ini banyak makan nasi selain ia merupakan makanan ruji.

Menurutnya, Terengganu dan Kelantan terkenal dengan jualan nasi berlauk, nasi dagang dan nasi minyak untuk sarapan pagi, manakala tengah hari dan malam pula adalah nasi campur dan pelbagai lagi seperti nasi goreng.

Katanya, ini berbeza dengan penduduk di Pantai Barat Semenanjung yang mempunyai menu pelbagai seperti karipap dan mi goreng untuk sarapan pagi.
''Orang Terengganu dan Kelantan apabila mahu bersarapan mereka beli nasi dagang atau nasi berlauk yang sudah siap dibungkus.
''Ini budaya penduduk di kedua-dua negeri ini, mereka suka membeli tetapi tidak suka memasak dan kebanyakan gerai pula menjual menu berasaskan nasi sepanjang masa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Md. Yusof Maidin berkata, penduduk Terengganu dan Kelantan paling banyak makan nasi dengan setiap seorang daripada mereka menghabiskan 86 kilogram beras sepanjang tahun lepas.

Dr. A. Rahman berkata, makan nasi banyak tidak mendatangkan masalah kepada mereka yang tidak mempunyai penyakit seperti kencing manis dan masalah kegemukan, cuma kenaikan harga beras akan menyebabkan harga nasi juga akan meningkat.

Bagaimanapun, ujarnya, di Terengganu dan Kelantan walaupun penduduknya paling banyak makan nasi, namun menu yang diambil tidak mengandungi diet yang seimbang daripada segi membekalkan keperluan zat untuk tubuh badan.

''Nasi berlauk dan nasi dagang umpamanya, hanya ada lauk ikan seketul dengan kuah tetapi tidak ada sayur dan daging. Ia bukan diet yang seimbang," ujarnya.
Menurutnya, pengambilan nasi yang baik adalah pada waktu pagi dan tengah hari iaitu untuk tujuan membekalkan tenaga sepanjang hari.

''Malam pula adalah waktu untuk tidur, jadi kalau makan nasi berlebihan kita akan jadi gemuk kerana karbohidrat yang ditukar menjadi gula tidak digunakan sebagai tenaga.
''Untuk orang yang mempunyai kencing manis dan masalah kegemukan, perkara ini tidak bagus selain menyebabkan pernafasan terganggu apabila berbaring kerana perut terlalu kenyang," ujarnya lagi. Petikan Utusan Malaysia

No comments: