Friday, September 12, 2008

Puasa cara terbaik nyah toksin

Kita sudah melewati minggu pertengahan ramadhan. Banyak di kalangan kita yang menggunakan kesempatan di bulan ini untuk meningkatkan kesihatan badan. Tidak terkecuali bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan.

Selain menjalani ibadah, berpuasa dari sudut kesihatan adalah salah satu cara terbaik untuk memperbaiki sistem pencernaan dalaman. Pada bulan-bulan yang lain enjin pencernaan bekerja hampir 24 jam dan 11 bulan lamanya.

Boleh juga diumpamakan sebuah kenderaan, jika digunakan tanpa diservis boleh cepat rosak. Begitu juga halnya dengan tubuh badan manusia, sistem dalamannya juga perlu berehat seketika. Ini sangat memberi manfaat kepada tubuh untuk memperbaiki mana-mana sistem yang rosak dan untuk memberi kekuatan semula untuk bekerja.

Pengambilan makanan yang tidak seimbang, pengaruh ubatan, bahan kimia dan merokok boleh menyebabkan berlakunya pengumpulan toksin dalam organ tubuh. Toksin perlu dikeluarkan secara semulajadi. Usus dan hati memainkan peranan penting dalam pembersihan sisa toksin.

Justeru adalah penting untuk menjaga kesihatan usus dan hati. Manfaat puasa, mampu meningkatkan proses membuang zat-zat beracun atau toksin. Hati berfungsi untuk menapis toksin di di dalam badan. Enzim yang dikeluarkan boleh membuang atau mengurangkan toksin.

Pelihara usus dengan mengambil makanan yang berserat dan minum banyak air untuk memudahkan lagi pengeluaran toksin dari badan melalui proses pencernaan. Elak sumber makanan berlemak, bergoreng, segera, kafein dan minuman bergas.
Gunakan sepenuhnya disiplin di bulan ini untuk penjagaan kesihatan terbaik pada bulan-bulan seterusnya. Pastikan juga anda mengambil makanan seimbang, air secukupnya dan jus buah amat digalakkan.

2 comments:

Norlela Zubir said...

Assalamualaikum.

Saya suka entri ini. Benar sekali apa yang puan tulis. Sepanjang Ramadan ini saya merasa sihat. Syukur Alhamdulillah.

Moga-moga dapat saya meneruskan amalan berpuasa sunat pula selepas ini. Hmmm, saya selalu memasang niat begini tetapi kemudian ter-kantoi, hihihi!

Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat puan dan famili.

Masayu Ahmad said...

Alaikumussalam,

Itulah, menulis untuk diri sendiri dan manfaat orang lain juga.

Selamat Menyambut Lebaran dari saya sekeluarga buat Puan Lela dan famili. Hati-hati di jalan raya.