Wednesday, October 21, 2009

Masalah kecantikan dan obesiti

Teks: Masayu Ahmad

Pelbagai istilah masalah kecantikan begitu merunsingkan wanita yang terlalu obses kepada kesempurnaan. Perut buncit, lengan mengeleber, kulit tidak bermaya, badan gemuk, selulit di sana sini adalah contoh permasalahan yang seringkali menjadi topik perbincangan.

Topik ini adalah topik yang seringkali menjadi menu utama perbualan, keluhan dan perkongsian pengalaman. Perasaan bangga terselit apabila berjaya menurunkan beberapa kilogram dalam beberapa tempoh. Sudah tentunya berita gembira ini perlu dikongsi dengan rakan-rakan.

Kadangkala akibat terlalu teruja dengan penurunan yang sedikit, setiap kali juga makanan dijadikan sebagai hadiah untuk diri sendiri. Untuk beberapa ketika jika dirasakan berat badan naik semula, maka mulalah berdiet kembali. Berpantang makan jika dirasakan perlu dan kembali berselera apabila pakaian mudah longgar. Situasi inilah banyak dijadikan amalan.

Tempoh berpantang bagi seorang wanita adalah salah satu cara untuk mendisplinkan diri dalam penjagaan kesihatan dan berat badan. Bagi yang bersungguh-sungguh, inilah cara terbaik untuk mendapatkan semula bentuk badan idaman.
Selama tempoh 44 hari dan ditambah pula 100 hari berikutnya adalah satu perjalanan disiplin yang sangat bagus dijadikan permulaan amalan kesihatan sepanjang hayat. Hasilnya bukan sahaja kembali langsing bertenaga malah berseri-seri dengan penampilan baru. Itu bagi anda yang begitu komited dan berdisplin, tetapi sebaliknya bagi yang kurang tahap kesabarannya dalam soal berpantang, maka kekallah gemuk sehingga habis pantang.

Semasa berpantang wanita tidak digalakkan mengambil makanan berlemak, berminyak dan tidak boleh mengambil dalam kuantiti yang banyak. Berurut, bertungku, bertangas dan berbengkung menguatkan lagi usaha untuk mendapatkan kembali bentuk badan yang asal. Pengambilan air suam yang ditambah halia sangat mujarab melancarkan dan membuang sisa toksin dalam badan. Amalan tradisional sebegini boleh juga dipraktikkan bagi mereka yang sudah ketandusan usaha mengembalikan semula bentuk badan.

Setelah dikomersialkan, bersauna dan berurut boleh dilakukan di pusat kecantikan. Manakala banyak herba-herba dan losyen pembakar lemak untuk menggantikan perahan limau dan kapur yang dioles pada bahagian bermasalah. Biasanya kapur dan perahan limau dicampur dan disapu rata pada bahagian perut dan pinggul dan dililit dengan bengkung, bertujuan membakar lemak merampingkan pinggang. Kaedah yang sama dimodenkan, badan diurut dan disapu krim khas kemudian dibalut dengan plastik khusus selepas 30 minit lazimnya dilakukan sebelum bersauna. Cara lama masih boleh diamalkan.
Pelansingan

Memberi fokus kepada sasaran pelanggan yang ingin menurunkan berat badan, mengembalikan semula bentuk badan yang asal dan menurunkan berat badan ke tahap berat badan ideal. Pengurusan bisnes ini memberi tumpuan kepada anilisis masalah pelanggan, memilih rawatan yang sesuai, produk yang sesuai dan sesi kaunseling semasa proses rawatan dan selepas rawatan

Rata-rata pelanggan yang ingin mengembalikan semula berat badan terdiri daripada wanita selepas bersalin, lelaki yang sukar mengamalkan gaya hidup sihat, wanita yang ingin mendirikan rumah tangga dan membuat persediaan untuk majlis-majlis tertentu. Namun sasaran pelanggan adalah wanita yang mampu dari segi kewangan dan ingin menyerahkan kepada pakar agar tubuh idaman menjadi kenyataan.

Contoh-contoh Pusat Pelansingan Badan yang sudah dikenali seperi Body Weight Management, Slimming Santuary, Mayfair Beauty dan beberapa jenama pusat pelansingan terkemuka.


www.masayu-ahmad.com
www.naufalsayang.blogspot.com

No comments: