Wednesday, May 20, 2009

Ramping selepas bersalin

Petikan: Harian Metro
Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my

KEMBALI ramping selepas bersalin antara idaman sebahagian wanita yang mementingkan penampilan. Bahkan anjakan usia dengan perubahan hormon menyebabkan resah memikirkan kesukaran untuk mengembalikan bentuk badan seperti sebelumnya.

Untuk mereka yang mahu mengembalikan bentuk badan asal, Martina Berto (M) Sdn Bhd yang memasarkan produk Sari Ayu Martha Tilaar, merumuskan ramuan herba terpilih bagi membantu mengatasi masalah itu.

“Timbunan lemak pada perut di samping menurunkan kadar lemak dalam darah serta kolestrol menjadi asas Jamu Susut Perut, Kaplet Selangking Singseng dan pelbagai lagi yang dirumus dengan cara tradisi daripada herba terpilih.

“Kebanyakan wanita selepas bersalin bimbang untuk makan banyak. Kajian menunjukkan wanita mengalami ‘kegemukan air’ disebabkan faktor hormon dialami kebanyakan mereka yang berusia.

“Selain itu, masalah kesukaran membuang air turut dialami kerana kurang serat atau pola pemakanan yang salah,” kata Pengarah Urusannya, Tan Chee Keong.


Menerusi pengambilan kapsul terbabit, ia memberi tindak balas cepat dan ramai yang berjaya menurunkan berat badan.

Menurutnya, syarikat yang bertanggungjawab terhadap aspek kecantikan itu berhasrat membantu wanita menjana kecantikan daripada ramuan herba terpilih.

Sari Ayu Martha Tilaar dari Indonesia dilakar sejak 1985 yang terus menjadi pilihan ramai termasuk pengguna di negara ini.

“Sebenarnya dalam aspek kecantikan, produk kami merangkumi pelbagai kategori. Daripada jamu hingga ke kosmetik untuk penggunaan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

“Apa yang ingin ditekankan, ujian klinikal turut dijalankan termasuk dalam aspek jamu,” katanya.

Beliau yang berpengalaman luas dalam dunia kecantikan, mengakui wanita harus menitikberatkan kedua-dua aspek iaitu cantik luar dan dalam.

“Tanggapan yang dibuat terhadap kecantikan wanita mungkin berbeza antara individu dengan individu yang lain.

“Pandangan umum menyatakan berpenampilan sehebat model, memiliki kulit mulus, putih atau gebu dengan ketinggian sepadan, menjadi kayu ukur penting dalam melabelkan kecantikan seseorang.

“Yang terpenting buat seseorang wanita adalah menjaga kecantikan dalaman kerana ia akan menyerlahkan luarannya.

“Mungkin ketika di usia 20-an, wanita itu kelihatan menawan tetapi apabila menjelang usia 30-an atau 40-an kerana banyak aspek perlu diberi tumpuan,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, pengguna tidak harus berharap kepada produk semata-mata kerana mereka perlu mempunyai pola pemakanan seimbang dengan umur dan berat badan serta senaman berterusan.

“Apa yang penting, saranan yang tertulis mesti diikut dengan cara betul. Misalnya, kalau pengambilannya dua kali sehari dengan dua kapsul, biarlah saranan itu diikuti.

“Kami tidak mahu apabila ada yang terlalu teruja untuk cepat langsing, mereka membuat perkiraan sendiri dengan pengambilan berlebihan yang boleh memudaratkan diri,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan hubungi, Martina Berto (M) Sdn Bhd di talian 03-62503232, talian bebas tol 1800-18-1300 atau e-mel kepada sariayu@martinaberto.com.my.

No comments: