Tuesday, February 16, 2010

Nida berpantang ditemani ibu- Peserta pertama kategori B

Gambar anakku Nur Hanisah ketika berusia 10 hari

Peserta pertama kategori B; http://along-nidar.blogspot.com/2010/02/peraduan-pengalaman-berpantang.html

Proses berpantang selepas melahirkan bayi merupakan satu pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan oleh seorang ibu. Sebaik sahaja bayi lahir ke dunia, bermulalah proses berpantang ini.


Aku bernasib baik kerana masih mempunyai ibu di sisi yang menjaga aku ketika berpantang. Sedikit sebanyak ilmu berpantang dapat ku pelajari darinya. Selepas bayiku diazankan dan diiqamatkan, kemudian perlulah ditahnikkan (belah mulut) dahulu.

Aku memulakan proses mengurut pada hari ketiga selepas bersalin kerana menurut ibuku tidak elok seandainya proses mengurut dilakukan awal ini kerana segala urat saraf masih kembang dan badan masih terlalu lemah untuk diurut. Selama tujuh hari aku diurut oleh tukang urut di kampungku.

Dari segi makanan aku tidaklah terlalu berpantang sangat, mungkin kerana ibuku juga begitu. Tetapi ada juga sesetengah makanan yang aku dilarang memakannya selama tempoh berpantang, antaranya ikan yang berbisa (sembilang, pari dan lain-lain), buah-buahan yang sejuk dan tajam (tembikai, nenas dll), makanan yang sudah bermalam, makanan yang terlalu pedas, air minuman hendaklah sentiasa suam, air batu ditegah sama sekali.

Aku wajib meminum air kosong dengan banyak, setiap malam sebelum tidur akan ku isikan 1.0 liter air ke dalam botol dan ku letakkan di meja sisi katil serta ku disiplinkan diri agar sebelum pagi menjelang air tersebut perlulah ku habiskan. Ada pendapat yang mengatakan tidak elok meminum air dengan banyak kerana dikhuatiri rahim akan lambat mengecut, tapi bagi aku air perlu untuk pembentukan susu, menggantikan semula darah yang banyak hilang ketika proses bersalin dan yang paling penting untuk mengelakkan sembelit, dan Alhamdulillah aku merupakan guru Biologi, sekurang-kurangnya ilmu Sains ini dapat ku aplikasikan semasa aku berpantang.

Selepas mandi dengan air suam, bermulalah proses bertungku kerana menurut ibuku ia dapat memecahkan darah-darah yang beku di dalam rahim, dan ia sememangnya benar, setiap kali selepas aku bertungku, aku dapati banyak darah yang akan keluar. Kemudian aku lumurkan param ke seluruh tubuhku.

Untuk bahagian perut, aku lumurkan kapur yang dicampur dengan limau nipis (untuk mengecutkan bahagian perut). Dibahagian dahi pula, aku lumurkan dengan pilis dan ku ikatkan rambut sekuat yang mungkin, ini adalah untuk membuang angin dibahagian kepala. Perkara terakhir yang akan kubuat ialah berbengkung. Aku menggunakan bengkung Jawa, iaitu melilitkan kain yang sepanjang 2.5 meter dari pangkal peha hingga ke bahagian atas perut. Biasanya aku dibantu oleh ibuku semasa dalam proses melilit bengkung Jawa ini. Dalam bab berpantang, aku amat menitik beratkan proses membengkung kerana bagi aku dapat mengekalkan bentuk badan selain membantu proses pengecutan rahim.

Biasanya aku akan memandikan bayi selepas aku menyiapkan diriku. Setelah aku memandikan bayi, aku akan menuam perut bayi dengan daun sirih. Ini dapat membantu mengurangkan angin diperut bayi. Selama dalam proses berpantang juga aku banyak meminum susu (Anmum) dan makan lobak putih untuk memperbanyakkan susu badan.

Selama 44 hari aku tidak lepas dari meminum air akar kayu yang aku beli dari orang kampungku, walaupun rasanya pahit tapi aku rasa bertenaga selepas meminum air ini. Tiga hari pertama selepas aku bersalin, ibuku telah menyiapkan air kunyit yang dicampurkan dengan madu untukku minum kerana menurutnya dalam menyembuhkan luka dalaman. Nasib baik ditambah madu, kalau tidak mustahil dapat ku habiskan air kunyit tersebut.

Aku ini agak aktif orangnya, bila melalui proses berpantang ini, perkara yang aku lemah ialah terpaksa jalan seperti orang Jepun. Bukaan langkah hendaklah kecil, duduk pun tak boleh bersila kena duduk bersimpuh, naik tangga pun perlu perlahan-lahan.

Kebanyakan orang mengamalkan tangas ketika dalam berpantang, tetapi tidak bagiku. Aku lebih menitik beratkan bertungku dan berbengkung. Sehinggakan pada waktu malam juga aku turut berbengkung. Tapi lain orang lain caranya, yang penting pesan ibuku, berpantanglah seboleh yang mungkin kerana ia adalah kunci kebahagiaan suami dan kesihatan diri.

Nota penganjur: Setiap peserta mohon sertakan maklumat berikut,
 
Nama penuh (mengikut kad pengenalan):
Email:
Blog:

4 comments:

Nida n' Hanafi said...

Salam..

Terima kasih kerana menyiarkan secebis pengalaman Nida ini.. sekadar perkongsian pengalaman selain untuk memeriahkan contest yang dianjurkan..

Wish me luck..aminnnn

Masayu Ahmad said...

salam nida

jangan lupa detail ya

nama (ic):
email:
blog:

Nida n' Hanafi said...

W.salam..

Nida dah masukkan dalam entri pertandingan.. tapi Nida sertakan sekali lagi di sini:

Nama: Hasnidar binti Muhammadon
Email: radinsah@gmail.com
Blog: http://along-nidar.blogspot.com/

Masayu Ahmad said...

nida

ok, terima kasih ya, saya tak perasan sebab baca dengan laju. ;D