Thursday, July 15, 2010

Pengalaman pantang Nur Hidayah Nazahiyah

Nama: Nur Hidayah Nazahiyah Bt Erham


Email: nnazahiyah@gmail.com

Blog: http://hidanaza.blogspot.com/

Kategori: A & B

Buku pilihan: Buku 3

Sudah lama saya ingin menaip tentang pengalaman berpantang semasa melahirkan dua orang anak saya, baru hari ini selesai akhirnya entry ini. Saja nak memeriahkan peraduan yang dianjurkan oleh Kak Masayu. (-:

Semasa melahirkan Harith dahulu saya berpantang di rumah ibubapa saya. Kalau tak silap, bulan puasa. Setiap pagi emak saya akan memanaskan sebiji batu bata. Setelah cukup panas, batu tersebut dibungkus di dalam kain. Itulah alat untuk saya bertungku. Berbarut pula saya gunakan minyak herba yang dibeli sekali dalam set ubat bersalin. Pilis pula kalau tak silap emak saya guna halia merah.

 Mandi pula hanya sekali sehari. Itu pun setelah menjelang tengahari. Air mandian dicampur daun-daun yang emak beli dari orang kampung yang mahir. Bab makan pula, saya minum milo dan makan bubur nasi untuk menambah susu badan. Makan tengahari dan malam pula nasi panas dengan sup ayam atau ayam kukus dicampur kacang mar. Ikan bilis dan halia goreng pula adalah menu wajib. Sekali saja emak membeli ikan haruan kerana saya kurang gemar kerana tidak biasa makan. Minum petang pula milo dan biskut kering. Saya juga minum air periuk iaitu air rebusan akar-akar kayu yang kelat rasanya. Selain dari itu, saya habiskan makan kapsul herba set bersalin yang dibeli. Habis ubat bersalin, emak menyuruh saya makan makjun pula.


Pengalaman berpantang yang terkini pula, ibubapa saya yang datang membantu. 2 bulan mereka di sini kerana bimbang tiada orang menolong saya berpantang. Alhamdulillah. Bantuan mereka amatlah diperlukan kerana anak sulong saya masih belum pandai berdikari manakala suami juga tidak begitu mahir dengan bab-bab pantang terutama tentang makanan. Saya membeli set bersalin herba yang berlainan jenis untuk berpantang kali ini.

Terdapat tungku herba di dalam set ini, maka emak saya hanya perlu mengukus tungku tersebut setiap pagi dan petang. Selain dari itu, emak menyuruh saya bersandar pada heater yang panas pada minggu terawal tempoh berpantang. Saya menggunakan gel susut perut untuk berbengkung kali ini. Lebih mudah cuma agak mahal. Jika emak saya agak sibuk untuk membantu mengikat bengkung tradisional, saya akan menggunakan bengkung moden yang lebih mudah. Pilis pula sudah diubahsuai seperti krim.

Bab makan pula, menu masih lebih kurang serupa semasa berpantang kali pertama cuma saya banyak makan buah prune kerana kita mudah sembelit semasa berpantang kerana banyak sayur yang tidak boleh dimakan. Saya juga makan bijirin dan oat yang dicampur susu segar untuk sarapan pagi. Selain itu, saya makan gel gamat untuk cepat menyembuhkan luka. Saya juga tuang sedikit minyak gamat pada tuala wanita untuk melegakan rasa tidak selesa pada jahitan. Habis kapsul bersalin, saya juga makan sedikit madu asli.

Itu saja pengalaman berpantang saya. Nak kata ketat sangat tidak juga. Apabila terasa sangat panas, saya tidak pula memaksa diri berstokin dan berbaju panas. Emak saya pun tak larat nak bising. Cuma katanya, asalkan saya sentiasa panas itu tandanya bagus. Jika sejuk, itu yang bahaya. Cuma emak sangat ambil berat tentang makanan kerana bayi saya menyusu badan. Maka minggu-minggu terawal memang sayur dan buah tidak ada dalam menu harian saya. Setelah masuk usia bayi sebulan barulah saya boleh makan sedikit sayur sawi dan buah epal. Sebab itulah sembelit kalau tak makan buah prune. (-:

2 comments:

Norita said...

Pengalaman yang byk membantu..syukran

Norita said...

Pengalaman yang byk membantu..syukran